August 31, 2019

MERDEKA BERILMU DAN BERPERADABAN


MERDEKA: BERILMU BERPERADABAN
(Fikrah Bangi:  333),
BBB: 30 Zulhijjah 1440H. = 31 Ogos 2019M. (Sabtu).
Hari ini adalah hari ke 62 ulangtahun Kemerdekaan-Kebangsaan (Merdekabangsa). Sempenanya diadakan sambutan di berbagai tempat yang puncaknya adalah sambutan di Putrajaya. Sambutan dengan Pemeriksaan Kehormat pasukan  keselamatan oleh DYMM Seri Paduka Yang Dipertuan Agong dan ucapan ikrar rakyat pihak Pentadbir Tertinggi Negara adalah upacara hormat  rakyat terhadap Raja dan Negara disertai pembacaan Rukun Negara dilafazkan. Kemudian diikuti dengan perbarisan dari pihak tentera, pertahanan awam,  pentadbiran, berbagai agensi dan kepelbagaian di hadapan Yang Dipertuan Agong, para kabinet dan berbagai kalangan masyarakat.
Semua di atas adalah merupakan sambutan yang mempamerkan lambang kehebatan infra-struktur kedaulatan Negara Merdeka – Negara Malaysia.
Kemerdekaan sebenar seharusnya cerminan Keilmuan dan Peradaban  (Ilmuadab) yang dicapai.
Dari usia Merdekabangsa selama 62 tahun lebih dari cukup untuk dinilai sebagai cerminan masa depan. 62 tahun usia matang yang mencerminkan watak, imej, identiti dan jatidiri negara bangsa. Yang berilmu tidak menafikan sejarah kesilaman yang dilalui, kerana itulah asas tempat tegak dan darinyalah jatuh bangun negara bangsa dari kesilaman dan kekinian. Adalah satu kebongkakan bagi generasi yang merendah dan mengecam terhadap kesilaman dan sejarah yang lalu bagi membina kononya `Zaman Baharu` atau `Malaysia Baru`. Jika demikian ianya adalah cerminan  watak Setenggang yang tiada jatidiri dan tiada peribadi – Tiada peradaban.
Walau apapun sifatnya moyang pejuang, tidak semestinya yang berada pada pihak yang memegang tampuk pemerintahan, tetapi ramuan dari keseluruhan telah berjaya menegakkan rupajiwa sejarah negara merdekabangsa. Kredit keutamaan adalah kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dilihat sebenarnya amat banyak jasa dan kreativiti politiknya yang menjadi legasi perjuangan kemerdekaan tanahair dan pembinaannya . Di samping beliau ramai lagi tokoh dan watak yang sewajarnya dibariskan bersama dalam perjuangan kemerdekaan tanah air. Pada peringkat Semenanjung termasuklah Dato` Onn Ja`far, Tun Razak, Tun  Dr. Ismail, Tan Cheng Loke, Leong Yu Koh, sinavasagam dan beberapa lagi, manakala mereka yang tidak berada pada pihak yang memerintah seperti Abu Bakar al-Baqir, Dr. Burhanuddin Hilmi, Zulkifli Muhammad dan yang lain. Manakala pada peringkat negeri Sabah dan Sarawak seperti Tun Fuad Stephen, Tun Mustafa, Tan Sri Jugah anak Biring, Tun Abdul Rahman Ya`kob, Tun Abang Uping dan beberapa lagi yang nampaknya tidak diberi kedudukan sewajarnya di dalam pembentukan Malaysia.
Sambutan Merdekabangsa seharusnya tidak bersifat ulangan pesta-pestaan semata-mata, tetapi bergarispanduan bagaimana rangka meningkatkan keilmuan berterusan bagi semua lapisan generasi menjadikan mereka rakyat yang sementiasa dibekal dan mempertingkatkan ilmu melalui saluran-saluran yang releven kepada mereka. Generasi juga dibekal dengan keilmuanb sains, teknologi dan komunikasi khususnya bagi generasi muda dan pelajar. Mereka juga dibekalkan dengan keilmuan yang berhubung dengan ekonomi, perusahaan dan perdagangan. Bila terlibat dengan sektor—sektor berkenaan mereka maju dalam lapangan-lapangan berkenaan.
Generasi juga diasuh dengan ciri-ciri kreativiti dan inovasi yang menjadikan mereka kreatif dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
Pendek kata dengan keilmuan menghasilkan berbagai-bagai jaring keilmuan, pekerjaan, perusahaan, pentadbiran, komunikasi dan perhubungan yang memajukan rakyat dan negara.
Warga negara di dalam negera merdeka, tidak saja dibina secara keilmuan rasional, kreatif dan inovasi, tetapi  serentak dengan itu mereka dididik melalui pendidikan negara tentang nilai kepercayaan agama, menjaga nilai budi dan adab sopan, mengamalkan etika, adab dan akhlak dengan ibu bapa, keluarga, teman, rakan sekerja,  dengan jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Nilai-nilai dapat dihayati dari pengajian agama, pendidikan melalui masjid surau dan kehidupan keluarga.
Nilai kasih sayang adab dan rasa kemanusiaan juga dapat dipupuk melalui nilai budaya dan seni yang hidup di tengah masyarakat dan nilai-nilai seni budaya ini  seharusnya dipandang mulia  dan didukung menjadi identitti dan jati diri.
Berilmu dan Berperadaban diharap menjadi tonggak identiti,  jatidiri, jiwa  dan rupabangsa Malaysia.
Sekian.

No comments:

Post a Comment