BUDAYA PERAYAAN MENGIRATKAN HUBUNGAN
(Fikrah Bangi: 322),
BBB>
19 Zulhijjah 1440H. = 20 Ogos 2019M. (Selasa).
Salah satu aspek budaya yang penting,
khususnya bagi kita rakyat Malaysia, ialah sambutan-sambutan hariraya.
Sebagaimana kita mempunyai berbagai kaum, maka setiap kaum itu mempunyai
hari-hari perayaan bagi kaum masing-masing. Bagi Malaysia sudah menjadi adat
yang diamalkan, bahawa setiap perayaan yang disambut oleh setiap kaum itu turut
dirai, bahkan dirayakan oleh kaum-kaum yang lain di negara ini.. Selain dari
tumpang gembira, maka melalui sambutan perayaan ini sebenarnya mengeratkan
hubungan antara kaum, bahkan ianya menjadi daya tarikan bagi orang luar yang
menarik mereka datang melancung dan menyertai sama berhariraya.
Antara raya penting di negara kita ialah
Hariraya Idul Fitri, Hariraya Idul Adhha, Tahun Bartu Cina, Sambutan Hari
Ponggal, Hari Menuai bagi bumiputra di Sabah-Sarawak. Perayaan yang disambut,
walaupun asalnya ada kaitan dengan agama, tetapi yang disambut adalah dari segi
perayaan, tetapi tidak dari segi agama. Kebanyakan dari sambutan berkenaan
adalah lebih bersifat tradisi rakyat dan adat.
Perayaan yang penting yang sama dirayakan
oleh semua kaum ialah Hariraya Idul Fitri. Kemeriahan bagi kehadiran Idul Fitri
turut disertai oleh semua kaum, terutama dari segi persediaan kuih muih bagi
berbuka puasa. Kaum lain dari Islam turut sama ke pasar-pasar minggu bagi
membeli kuih muih dan makanan-makanan yang lazat. Antara adat yang baik ialah
ziarah menziarahi antara satu sama lain dan bermaaf maafan. Berlaku kunjung
mengunjung antara satu sama lain untuk ziarah dan bermaaf maafan sambil menikmati
berbagai juadah yang disediakan. Selain dari sambutan oleh individu dan
keluarga, sambtan diadakan oleh ketua, pemimpin hingga kepada Perdana Menteri
mengadakan apa yang diistilahkan sebagai Hari Terbuka dan ianya dikunjungi
berbagai kaum. Sambutan ini walaupun pada asalnya antara satu hingga tiga hari,
kini sambutan dilakukan sehingga ke sebulan.. Keceriaan terlihat pada setiap
wajah yang menyertainya. Ada yang berpendapat ianya membazir dan merugikan
masa, tetapi dilihat kepada ianya membawa keceriaan dan rasa bahagia,
sebenarnya ianya menggembirakan rakyat dan dapat melupakan tekanan-tekanan dan
menjadikan rakyat di dalam susana mesra dan gembira. Bagi orang Islam ada satu
lagi perayaan, iaitu Idul Adhha, tetapi perayaan ini lebih bersifat agama dan
penyembelihan binatang qurban, sebab itu ia tidak disertai bukan Islam
sebagaimana Idul Fitri.
Atas sifat dan semangat menyertai kemeriahan
sambutan dan bersilatul rahim, maka sambutan Tahun Baru Cina yang bersifat adat
itu, kini menjadi sambutan yang disertai berbagai kaum. Ia adalah bagi sambutan
tahun baru dan tidak ada kena mengena dengan agama. Sebab itu sambutan Tahun
Baru Cina disertai oleh semua kaum dan berlaku ziarah dan menziarah dan menyertai
jamuan yang makanannya adalah dari bahan-bahan yang halal. Sebagaimana Idul
Fitri disambut oleh individu, pemimpin dan institusi,maka demikianlah juga
dengan sambutan Hari Tahun Baru Cina. Cuma masanya terhad dan tidak selama
sambutan Idul Fitri.
Sambutan Hari Ponggal ialah sempena Hari
Menuai. Ia adalah sambutanb bagi kaum India. Mereka adakan masakan pomggal yang
boleh dinikmati oleh semua kaum. Keadaan yang sama berlaku kepada etnik di
Sabah dan Sarawak. Mereka mempunyai perayaan kaum yang berkait dengan penuaian
hasil dan disambut dengan jamuan dan pesta-pesta yang mencerminkan identiti
kaum berkenaan seperti muzik sape, tarian dan berbagai jenis pakaian yang
berwarna-warmi. Perayaan sedemikian diangkat kepada peringkat negara dan
mempunyai hari cuti bagi disertai oleh kaum yang lain.
Perayaan kaum-kaum adalah ciri budaya
penting. Perayaan kaum-kaum ini disertai kaum-kaum yang lain yang mengeratkan
hubungan antara mereka. Perayaan menceriakan rakyat dan merapatkan hubungan
antara mereka, menjadikan masyarakat di dalam harmoni. Sambutan perayaan
berbagai kaum menjadi identiti dan jatidiri rakyat Malaysia.
Sekian.
No comments:
Post a Comment