August 17, 2019

LANDSKAP BUDAYA NEGARA


LANDSKAP BUDAYA  NEGARA
(Fikrah Bangi: 319),
BBB: 16 Zulhijjah 1440H. = 17 Ogos 2019M. (Sabtu).
Sesuatu yang diterima sebagai budaya, adalah sesuatu yang mantap dan indah. Berbaju melayu selengkap dengan bersamping dan bertanjak diterima sebagai pakaian budaya Melayu bagi lelaki   yang mencerminkan sebagai identiti seorang lelaki Melayu yang berjati diri Melayu. Ianya pakaian yang berstatus dan tidak dipakai sembarangan. Dipakai dalam majlis dan acara khusus.
Menyebut landskap Budaya Negara, ianya menggambarkan kedudukan budaya yang bertaraf negara dan dianggap indah. Ianya adalah sebagai realiti budaya negara yang menjadi identiti negara yang dimegahkan.
Sebagaimana sebuah landskap yang berada di dalam suatu kawasan yang muka buminya tidak semestinya rata, sebaliknya mungkin mempunyai tanah tinggi, berbukit, mempunyai lembah, anak sungai, dengan pohon-pohon yang subur dan indah. Landskap sedemikian ditambah indah dengan usaha tambahan dari pengjaganya. Misalnya dengan memotong tanah pada bahagian yang perlu dipotong, membuat denai dan jalan yang boleh dilalui, ditambah dengan tanaman-tanaman hiasan yang menambahkan kecantikan ruang dan pandangan. Pada akhir ruang landskap berkenaan menjadi menarik dan menjadi tempat yang suka dikunjungi, bahkan menjadi tempat yang menarik kehadiran bagi merehatkan minda dan melapangkan jiwa.
Landskap Budaya Negara, adalah tamsilan yang melihat budaya menyeluruh negara adalah sebagai sesuatu yang indah. Budaya negara dari segi alamiahnya adalah cantik. Ianya bergunung ganang, mempunyai hutan tebal, ada  sungai dan adalah lembah dan ada muara ke laut. Di dada bumi negara dihuni oleh penduduk luar bandar yang terdiri dari kampung-kampung yang penduduknya bertani, menanam kelapa sawit , getah dan berbagai tanaman. Mereka juga mengeluarkan hasil hutan dan ternakan, termasuk di sungai. Selain dari kampung-kampung terdapat pekan-pekan yang didiami oleh penghuni dari kaum-kaum yang lebih ramai, ada pusat pentadbiran ada kawasan perniagaan dan perusahaan. Rakyat mengusahakan berbagai kegiatan ekonomi. Pekan-pekan ini mempunyai jalan-jalan yang menghubungkan kawasan pekan dengan bandar-bandar. Bandar menjadi pusat pentadbiran. Kawasan-kawasan dikenali dengan bandar dan ibu negeri yang menjadi pusat pentadbiran dan di sini berpusat pemerintahan negeri. Negeri-negeri berkenaan berpusatkan pemerintahan Pusat yang dikenali sebagai Pusat pemerintahan.
Dari segi penduduk ada rakyat yang miskin yang biasanya berada di luar bandar, manakala di bandar dikira sebagai pusat kegiatan ekonomi. Terdapat di sini berbagai-bagai perusahaan. Di pusat ini terdapat status sosial masyarakat, di mana terdapat kalangan orang politrik yang memerintah, terdapat kalangan pentadbir, pengusaha-pengusaha, orang kaya dan berada, terdapatr rakyat dari kalangan menengah yang mendiami kawasan mewah. Di samping itu terdapat rakyat biasa, tinggal di rumah-rumah pangsa yang agak susah dan berjuabfg bagi mendapat rezeki kehidupan. Manakala kalangan anak-anak berlumba menperbaiki diri dengan mendapat pengajian terbaik bagi mendapat jaminan bahawa dengan berpelajaran, mereka mendapat peluang bekerja secara lebih baik. Pendek kata Lanskap Budaya Negara adalah ruang lingkup negara yang dihuni rakyat dari berbagai kaum dan berbagai taraf kehidupan bagi survival kehidupan.  Landskap Budaya Negara ini dilihat dari mata budaya dan seni  sebenarnya adalah indah. Ia mencerminkan wajah dan imej kehidupan rakyat dan warga  yang menjadi identiti bagi mereka dan negara.
Dengan beranalogi, bahawa ruang lanskap boleh diperbaiki dengan pengindahan  muka bumi, penambahan dengan pokok-pokok hiasan, ditambah dengan jalan-jalan, bahkan disempurnakan landskap berkenaan secara kreatif sehingga menjadi menarik dan disenangi dan dikunjungi, demikianlah secara analogi pihak pentadbir, yakni kerajaan dan pemerintah negara dan negeri tidak sepatutnya berdiam diri, sebaliknya  terus memperbaiki  segala yang berhubungan dengan  landskap negera, terutama dari segi manusia dan rakyat dan segala infra-struktur berkenaan agar terutama rakyat yang menjadi faktor landskap utama negara diberi segala kemudahan yang menggerakkan mereka menjadi maju.
Dengan demikian Lanskap Budaya Negara menjadi indah, maju dan menarik, bahkan disenangi.
Sekian.

No comments:

Post a Comment