SAMBUTAN KEMERDEKAAN TERLAMPAU KL SENTRIK
(Fikrah Bangi 330),
BBB: 27 Zulhijjah 1440H. = 28 Ogos 2019M.
(Rabu).
Memang agak delima bagi menyambut
kemerdekaan yang benar-benar dihayati secara seimbang antara Semenanjung (Malaya) dan Sabah dan Sarawak. Ini ialah kerana
tarikh kemerdekaan di Semenanjung ialah pada 31 Ogos 1957, manakala tarikh
kemerdekaan Sabah dan Sarawak, walaupun pada awalnya diusahakan tarikh
bersamaan, iaitu pada tarikh 31 Ogos juga (1963), tetapi terpaksa dilewatkan
kepada 16 September, kerana menanti kelulusan dari Suruhanjaya PBB yang membuat
penilaian terhadap sokongan rakyat atau sebaliknya terhadap Gagasan Malaysia di
Sabah dan Sarawak. Persetujuan dari rakyat Sabah dan Sarawak dicapai, namun
tarikhnya tidak sama (16 September) dengan tarikh kemerdekaan Semenanjung
(Malaya). Di dalam hal ini ada semacam dilema bagi tarikh menyambut kemerdekaan
Malaysia.
Pendekatan yang diambil setakat ini, bahawa
tarikh ulang tahun sambutan kemerdekaan ialah
bermula dari 31 Ogos dan berterusan kepada 16 September sebagai Hari
Malaysia. Kegagalan setakat ini ialah bagaimana menyatukan sentimen menyambut
kemerdekaan, agar tidak wujud kelainan dan perbezaan.Tarikh kemerdekaan yang
dikira dari 31 Ogos dan berterusan hingga
ke Hari Malaysia (16 September), adalah pendekatan yang dapat memuaskan
rasa rakyat di Malaysia, walaupun tidak dapat diraikan secara tepat dan
konkrit.
Di samping dilema di atas, pihak Kuala Lumpur
dilihat bias dari segi acara sambutan yang nampaknya lebih berpihak kepada 31
Ogos di Semenanjung dan kurang menonjolkan kedudukan dan peranan Sabah dan
Sarawak. Adakah ianya kerana dilema yang dihadapi dari segi tarikh atau pihak
berkuasa politik kini adalah bukan dari generasi yang benar-benar berdepan dengan perjuangan
membentuk negara Malaysia ? Atau mereka kurang memahami situasi kemerdekaan
Malaysia atau pihak yang mengendalikan bidang komunikasi malas membuat
penyelidikan yang komprehensif dan menyajikan kepada rakyat Konsep Malaysia dan
sambutan yang sewajarnya diambil sebagai pendekatan.
Setakat ini watak yang memperjuangkan
pembentukan Malaysia adalah Tunku Abdul Rahman adalah benar, tetapi yang
menjadi persoalan memasukkan yang tidak releven dan meninggalkan yang releven
adalah dipersoalkan dari segi pendekatan. Dato` Onn bin Ja`far dapatlah
diterima pejuang kemerekaan peringkat awal sebelum dijuarai oleh Tunku Abdul
Rahman bagi kemerdekaan Malaya, tetapi memasukkan Tun Hussein Onn sebagai tokoh
perjuangan kemerdekaan, apa lagi Malaysia kurang tepat, sedangkan di sana ramai
lagi tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan Malaya dan Malaysia tidak diberi tempat.
Dalam keadaan sekarang tokoh-tokoh dari
Sabah dan Sarawak tidak diberi tempat sewajarnya di dalam pembentukan Malaysia,
sebaliknya ditumpu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dari Semenanjung. Adalah
dilihat di Semenanjung pula sengaja mengkesampingkan Tun Razak yang berjuang
bagi kemerdekaan Malaya dan juga Malaysia. Beliau adalah tokoh selaku Timbalan
Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan yang mempertahankan Malaysia dari
konfrontasi yang dilakukan Indonesia – khususnya Sukarno terhadap pembentukan
Malaysia dan juga penentangan dari Filipina yang pada masa itu di bawah
pemerintahan Ferdinand Marcos yang mendakwa Sabah adalah sebagai sebahagian
dari Filipina, lantaran ianya adalah sebahagian dari pemerintahan kerajaan Sulu
di bawah wilayah Filipina. Malaysia digugat dan diganyang sehingga Indonesia
pernah menghantar pasukan besenjatanya dan mendarat di Labis, Johor, kerana
ramai penduduk dari Indonesia bertempat di situ.
Tindakan diplomasi dilancarkan disebalik
konfrontasi oleh Tun Razak bertemu Adam Malik yang mengganti Subandrio di
Indonesia dan berjaya mengendurkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia.
Persoalan kita juga bukan setakat Tun Razak
dikesampingkan dari pentas penbentukan Malaysia, tetapi tokoh-tokoh yang memain
peranan penting dari Sabah dan Sarawak, bahkan dari Singapura dan Brunei tidak
dibicarakan. Kita kira ini menggores hati rakyat Sabah dan Sarawak, bahawa pimpinan
mereka tidak diberi ruang dan tempat yang wajar dalam perjuangan kemerdekaan
dan pembentukan Malaysia.
Pendekatan perlu diubah terutama oleh
Kementerian Komunikasi, agar sambutan kemerdekaan benar-benar bersifat Malaysia
dan dihayati secara seimbang oleh penduduk Semenanjunbg, Sabah dan Sarawak !
Sekian.
No comments:
Post a Comment