November 15, 2019

BERBAGAI PENGANGKUTAN AIR -SUNGAI


BERBAGAI PENGANGKUTAN AIR - SUNGAI
(Fikrah Bangi: 401),
BBB:  18 R. Awwal 1441H. = 15 November 201`9M. (Juma`at).
Yang menjadi pertanyaan, bagaimana rumpun Melayu bergerak di kawasan samudera yang luas di Lautan Pasifik sehingga ke perpantaian Benua Afrika. Mereka bersebar seperti biji-biji kelapa yang dibawa arus ke bagai pantai di kepulauan ruang berkenaan. Mereka juga ibarat benih-benih anak-anak penyu yang  turun dari pantai dan bergerak ke ruang lautan luas.  Namun penyebaran boleh diibarat sebagai kelapa atau penyu, tetapi manusia tidak boleh turun ke laut begitu sahaja. Mereka meneroka dan mencabar laut  secara bertahap melalui pengalaman menggunakan alat-alat pengangkutan laut secara bertahap.
Pada peringkat permulaan mereka bergerak ke  ruang yang lebih dekat bermula dari sungai dan menggunakan pengangkutan yang sesuai. Pengangkutan ini dibina semkin canggih hingga akhirnya mencabar lautan luas yang memungkinkan mereka sampai ke mana-mana destinasi di daratan pulau-pulau.
Ada beberapa kategori  penggunaan pengangkutan air dan perkembangannya. Ini dapat dikategorikan sebagai.
1)      Pengangkutan sungai
2)      Pengangkutan pesisir pantai
3)      Pengangkutan ke laut lepas.
Pengangkutan  sungai digerak oleh keperluan menfapat sumber makanan dari sungai, terutama ikan dan sebagainya. Pada peringkat permulaan bagi mendapat ikan mereka menggunakan bekas-bekas seperti upih yang dibentuk seperti bekas dan menangguk bahan-bahan hidupan dari sungai. Akhirnya mereka perlu bergerrak ke bahagian yang lebih jauh dan lebih dalam. Pada peringkat permulaan mereka menggunakan batang-batang kayu yang hanyut atau dihanyutkan ke kawasan yang lebih dalam. Mereka menggunakan tangguk, kemudian berkembang dengan menggunakan alat yang lebih canggih seperti membuat jaring, bubu dan tuwau atau lokah dan pancing  yang dapat memerangkap ikan.
Dari batang kayu membenih idea melobangkan batang kayu untuk duduk di dalamnya dan menggerakkannya dengan pengayuh  ke tengah kawasan air yang lebih jauh, Ini merupakan revolusi penggunaan kenderaan utama di air.
Penggunaan perahu adalah tahap kemajuan awal dan utama bagi pengangkutan di air. Berbagai jenis perahu direka bentuk sesuai dengan penggunaannya. Ia berkembang dari tahap:
Penggunaan batang kayu,
Penggunaan perahu (batang kayu yang dilobangkan di tenbgah).
Ada beberapa jenis perahu yang lebih digunakan di sungai seperti perahu kecil,  sampan, kolek, jalur, perhu panjang dan rakit.
Perahu keci adalah dibuat dari batang kayu yang pendek dan ditebuk di tengan sesuai untuk dinaiki seorang atau dua. Dengan perahu kecil ini mudah digerak di sungai-sungai yang kecil dan cetek. Ianya dikayuh oleh seorang pengayuh dan sesuai untuk membawa bahan atau hasil dsapatan yang sedikit.
Kolek juga kenderaan air yang kecil memuat beberapa orang  diguna untuk pergerakan atau pengangkutan yang lebih dekat seperti dari pengkalan ke pengkalan.
Manakala sampan adalah perahu yang lebih besar dan dapat memuatkan antara empat lima orang yang digunakan lebih bagi pengangkutan.
Perahu jalur adalah juga perahu yang lebih besar dan memuatkan penumpang dan barang yang lebih banyak. Ia lebih kukuh dari perahu biasa. Manakala perahu panjang adalah perahu yang berasal dari batang panjang yang dilubangkan pada bahagian tengah dan dapat memuatkan ramai penumpang dan dapat dikayuh secara beramai-ramai.
Manakala rakit ialah evolusi pengankutan sungai yang mengikat atau menambat batang-batang kayu secara bersama, termasuk menggunakan batang-batang buluh dan bergerak secara bergalah. Ianya dapat memuatkan banyak barangan pada tengah rakit berkenaan. Rakit dapat dijadikan tempat lindungan di sungai  dengan diberi atap dan dinding dan menjadi rumah rakit di tepi-tepi sungai.
Apa yang dibicarakan di atas adalah lebih merupakan kenderaan air yang digunakan di sungai-sungai. Pergerakanm masih dalam jarak yang dekat.
Sekian

No comments:

Post a Comment