February 1, 2021

 

ISTILAH KERAJAAN TEMPATAN PERLU DITIADAKAN

(Fikrah Bangi:  849).

BBB:  19 Jamadil-Akhir 1442H. = 01 Februari 2021M. (Isnin).

Yang ada pilihanraya di negara kita adalah dua, iaitu Pilihanraya Parlimen dan Pilihanraya Negeri yang biasanya berjalan dengan serentak. Bagi yang  memenangi peringkat parliman, maka mereka layak memerintah negara pada peringkat Federal dan bagi yang memenangi pada peringkat negeri berhak memerintah pada peringkat negeri termasuk pada bahagian bandar dan luar bandar. Wakil rakyat negeri (ADUN)  berhak mentadbir pada semua bahagian yang dimenangi, sama ada pada peringkat bandar dan luar bandar.

Pentadbiran selama ini bersifat bias dan diskriminasi dengan wujud pemisahan yang sepatutnya tidak harus wujud bagi kawasan yang dimenangi ADUN. Kawasannya adalah kawasannya sama ada bandar dan luar bandar. Diskriminasi amat ketara dengan diberi hak oleh pentadbir dengan mewujudkan kawasan yang dinamakan Bandar yang dinamakan Kerajaan Tempatan yang sebenarnya tidak sah dari segi politik. Kerajaan Tempatan yang bersifat bandar diberi keistimewaan dengan adanya Majlis Perbandaran yang ahli-ahlinya dilantik menganggotai mesyuarat Majlis Perbandaran sebagai Kerajaan Tempatan. Maka banyaklah keistimewaan yang didapati oleh mereka yang berada di bawah Kerajaan Tempatan ini sama ada dari segi infra-struktur, kemudahan urusan dari segi jabatan, kemudahan mendapat keperluan barang-barang, kemudahan komunikasi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Manakala satu bahagian lagi dipisahkan dengan istilah Luar Bandar. Mereka di dalam kategori ini tiada mendapat kemudahan, walaupun terletak di bawah Wakil Rakyat (ADUN) yang sama. Ahli mesyuarat bagi Mesyuarat  Daerah ini terdiri dari ADUN sebagai ahli biasa,  penghulu, Ketua Kampung, Polis, Wakil dari Pejabat Agama, pertanian dan beberapa yang lain. Perbincangan pula tidak kepada persoalan kemajuan seperti di bawah kerajaan Tempatan, tetapi kepada soal keselamatan, kerosakan-kerosakan yang berlaku, misalnya jambatan, soal banjir dan sebagainya. Mengapa keperluan dan masalah yang dihadapi dipisahkan ?

Anihnya dari pengalaman Penulis sebagai ADUN  Kajang (1999-2003) dan ADUN Bangi (2008-2013), sebagai ADUN Penulis tidak dianggap sebagai ahli mesyuarat bagi kawasan yang diwakilinya, sebaliknya diberitahu sahaja tarikh mesyuarat oleh pihak kawan dan jika mau menghadiri mesyuarat mesti memberitahu dan mendapat keizinan bagi kawasan yang sebenarnya dia adalah lebih berhak bagi menentukan perjalanan dan kemajuan di kawasannya. Kalau hadir berhak cuma untuk minum pagi dan makan tengahari secara ihsan bersama ahli-ahli Majlis Perbandaran.

Pembahagian bagi satu kawasan ADUN atau lebih dari satu ADUN, dapatlah dikatakan pentadbiran yang salah yang telah diamalkan selama ini. Ia adalah bersifat diskriminasi terhadap penduduk bandar dan apa yang distilah sebagai luar bandar. Kedua-dua yang berada di bawah kawasan ADUN hendaklah disatukan, dan tiada menggunakan istilah bandar dan luar bandar. Kedua-duanya di bawah ADUN yang sama dan berhak mendapat kemudahan yang sama.

Majlis Perbandaran hendaklah ditiadakan untuk menghapuskan diskriminasi terhadap rakyat, kependudukan dan kawasan. Semua kawasan hendaklah dilihat dan dilakukan pentadbiran secara sama rata dan adil. Sepatutnya pentadbiran daerah hanya satu dan sepatutnya bagi ADUN yang menang dialah berhak  mempengerusikan sebarang mesyuarat kemajuan  dan pentadbiran serta mempunyai pejabat, manakala pegawai yang berada di jabatan berfungsi sebagai Setiausaha. Berbeza daripada selama ini ADUN tidak menjadi Ahli Majlis Perbandaran, kalau hadir sebagai pemerhati dan tidak berhak bercakap. Dalam Majlis Daerah dia diberi taraf sebagai ahli sahaja. Kedua-dua kedudukan sebenarnya adalah merampas hak ADUN dari segi pentadbiran.

Sebaik-baik kedudukan dari segi pentadbiran bahawa Majlis Perbandaran yang dinamalkan kerajaan Tempatan disatukan di bawah satu pentadbiran – Majlis Daerah. ADUN berhak menyusun agenda mesyuarat dan hendaklah mempengerusikan segala mesyuarat dengan pentadbir Daerah sama ada Pegawai Daerah atau Yang Di Pertua Majlis Perbandaran yang disatukan bersifat sebagai setiausaha. Apa yang dikendalikan ADUn hendaklah menyelaras dari polisi dan agenda yang diatur pada peringkat negeri. Manakala Ahli Parlimen perlu  dijemput hadir bagi mengetahui masalah setempat untuk di bawa ke peringkat parlimen jika perlu.

Diskriminasi pada peringkat daerah jangan berlaku, jika pada peringkat negeri Ketua Parti politik peringkat negeri diangkat menjadi Menteri Besar dan exco-exco, mengapa ADUN-ADUN yang menang pada peringkat Daerah didiskriminasi sehingga tidak dibenar menjadi ahli Majlis Perbandaran dan  hanya menjadi ahli pada mesyuarat Majlis Daerah ? Ada kontradiksi dari segi  kedudukan.

Buat sementara, oleh kerana ada dua entiti  pentadbiran iaitu perbandaran dan Daerah, maka kedua-dua istilah dihapuskan dan diberi peranan, bahawa pentadbiran dilihat dari dua aspek iaitu Infrastruktur di bawah yang dulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran  dan Pembangunan yang dulu di bawah Majlis Daerah. Ahli-ahli yang dilantik adalah berfungsi bagi kedua-dua bidang dan ADUN atau ADUN-ADUN mengendalikan  mesyuarat dan pentadbiran. Soal pembangunan infra-struktur dan pembangunan hendaklah meliputi berbagai kawasan dan tidak ada pengasingan antara apa yang dikatakan bandar dan luar bandar. Mereka semua berhak menikmati pembangunan dan kemajuan.. Bagi jangka panjang pentadbiran pada peringkat daerah disatukan dan tidak didikriminasikan dengan bandar dan luar bandar.

Bagi memikul tugas seorang ADUN atau ADUN-ADUN mereka hendaklah berpengetahuan dan bijaksana dan perlu melalui kursus  keilmuan dan pentadbiran sebelum dan semasa menjadi ADUN.

Kalau ADUN-ADUN pada peringkat negeri menjadi Menteri Besar dan Exco-exco, mengapa pada peringkat daerah mereka diperkecilkan ?

Mereka harus menentukan polisi selari dengan kerajaan Negeri dan berhak menjalankan pentabbiran dan menyamaratakan kemajuan dan pembangunan pada peringkat bandar dan luar bandar yang istilah mendiskriminasikan ini tidak digalak digunakan di dalam pentadbiran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment