February 4, 2021

 

MENGENALI DAN MENCINTAI  NEGARA  BANGSA

(Fikrah Bangi: 852),

BBB:  22 Jamadil-Akhir 1442H. = 04 Februari 2021M. (Khamis).

Bagaimana kita dapat mencintai negara bangsa kita, kalau kita tidak dapat melihatnya dari segi fizikal-geografik serta  konsepsi dan realiti tentang kewujudan manusia yang menghuni negara bangsa yang terbina identiti dan jatidiri manusia yang menghuni pada kawasan fizikal dan geografik pada kawasan tersebut.

Negara bangsa kita dari segi realiti yang kita sedang huni adalah pada bahagian selatan dari timur dan tenggara yang dikenali dengan Benua Asia. Menurut pendapat seorang pengkaji British , iaitu  Stephen Oppenheimer di dalam bukunya yang berjudul: ``Eden In The East` (1999), mengemukakan pendapatnya bahawa  kepulauan Austronesia yang bertebar di Lautan Pasifik adalah berasal dari rusuk benua di kawasan tersebut yang terdiri dari kepulauan Melayu yang asalnya bersambung pada bahagian selatan ialah Australia, pada bahagian utara hingga ke Taiwan, pada bahagian timur hingga ke Easter Islands dan pada bahagian barat ialah pinggiran Sunda – (Cocos Islands).

Menurut Oppenheimer penenggelaman tanah pinggir benua Asia ini berlaku  di dalam beberapa siri akibat dari pencairan bongkah-bongkah air batu di Kutub Selatan sejak 40,000 tahun dahulu

Kebanjiran  terakhir yang menenggelamkan daratan pinggir Sunda  Selatan-Timur ini ialah sejak 8,000 tahun dahulu. Catatan tentang `Benua Yang Hilang` ini telah dibuat oleh Plato (360sm.), menurutnya  satu kawasan yang mencapai peradaban yang tinggi dan penenggelaman berlaku dalam sehari semalam sebelum dari zamannya sekitar 9,000 tahun sebelumnya. (9,400 sm.). Waktu jangkaan Plato ini menurut Oppenheimer adalah merupakan peneggelaman kali kedua. Tanah yang tenggelam pada kali kedua ini menurut Oppenheimer adalah  kawasan yang luas,iaitu  kawasan seluas 6,000,000 square kilometer, iaitu kawasan yang lebih luas dari Benua India atau dua pertiga daripada kawasan negara China sekarang.

Oppenheimer menyatakan bahawa pewaris dari benua yang tenggelam masih diteruskan oleh penduduk di berbagai kepulauan yang ada di kawasan lautan Pasifik yang menurutnya kawasan yang mewarisi budaya tinggi yang pernah dicapai.  Sebelumnya  kawasan berkenaan adalah pemula yang membangunkan  tamadun  revolusi zaman Neolithic. Mereka adalah pemula bagi tradisi bertani seperti padi dan bahan tanaman yang lain  seawal  20,000  tahun dahulu. Iaitu lebih awal 10,000 tahun mendahului zaman peradaban yang dicapai oleh bangsa Mesir. Mereka yang mewarisi peradaban `Bumi Tenggelam` ini mendahului tradisi keturunan Turki,  Mongolian, Tibeten,Chinese dan Jepun.

Berbagai bukti dikemukakan oleh Oppenheimer tentang peradaban benua dikawanan selatan Pasifik yang dikenali kemudian sebagai  Malay Archipelago dalam erti kata yang lebih luas.

Kepelbagaian tradisi budaya yang terdapat di kepualaun benua yang karam dari Taiwan  ke Australia, dari Easter ke rusuk Sunda (Cocos Islands) mencerminkan kepelbagaian budaya yang pernah berkembang di kawasan ini. Bahan-bahan peralatan dari segi pertanian, masakan, menangkap ikan dan perhubungan kenderaan di laut menunjukkan kesamaan penggunaan penduduk yang diwarisi secara berterusan. Bahkan mereka terkenal sebagai bangsa pelaut yang mahir yang merentas lautan luas.

Oppenheimer juga membuktikan dari segi  DNA, bahawa penduduk di kawasan ini adalah dari stok DNA yang sama. Begitu juga dikaji dari segi linguistik bahasa mereka adalah dari rumpun yang sama yang cara sebutan yang bersifat suku kata. Contoh dilihat kepada bahasa Melayu mempunyai persamaan dari segi sebutan cara bersuku kata. Demikian penduduk di kawasan-kawasan lautan pasifik yang berasal dari stokbahasa yang serumpun.

Pendapat Oppenheimer ini menegakkan teori, bahawa budaya Austro-Pacific` adalah lahir dari kawasan pasifik yang asal yang kemudian antaranya dikenali sebagai Malay Archipelago`.

Pendapat ini antaranya menafikan pendapat popular sejak 1932 yang dikemukakan oleh Robert  Heine Gelden seorang pakar sejarah Austria  berdasarkan kepada bukti arkeologi pada masanya berpendapat, bahawa keurunan Melayu di Kepulauan Pasifik adalah berasal dari kawasan selatan China yang dikenali sebagai Yunnan. Teori ini melihat bahawa kawasan berjiran dengan China  adalah merupakan perluasan dari perkembangan kependudukan dan budaya China. Teori yang sebenarnya bersifat hipotesis ini tidak mempunyai bukti-bukti dan asas yang kukuh.

Teori yang dikemukakan oleh Oppenheimer adalah sebalik dari hipotesis Gelden, bahawa kawasan benua yang tenggelam telah mencapai tahap budaya yang tinggi. Bila berlaku penenggelaman, mereka tidak saja kekal di kawasan yang tidak tenggelam dan meneruskan budaya yang diwarisi, sebaliknya sebahagian dari mereka  mendarat di pinggir tanah besar Asia dan membawa  tradisi hidup mereka dari segi pertanian, pertukangan, masakan, bahasa dan percakapan di kawasan-kawasan seperti di Thailand, Burma, Lous, Vietnam, Champa, Cambodia bahkan hingga ke Taiwan dan Jepun.

Peradaban Melayu adalah berasal dari rumpun asal  di benua yang luas yang telah tenggelam. Mereka  memberi sumbangan kepada budaya kehidupan masyarakat di pinggir Asia,khususnya Asia Tenggara. (Sumber: Mohd Arof Ishak, The Malay Civilization, Persatuan Sejarah Malaysia, Kuala Lumpur: 2007).

Nenek moyang kita adalah dari keturunan yang unggul. Selepas hilangnya benua asal, mereka membangunkan pulau-pulau bertebaran  dan menjadi pelaut yang mahir yang menguasai seluruh Nusantara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment