February 22, 2021

 

MEMARTABATKAN KEWARGENEGARAAN: MENTAL – PEPERIKSAAN  SPM

(Fikrah Bangi:  870),

BBB:  10 Rejab 1442H. = 22 Februari 2021M. (Isnin).

Tugas memartabatkan mental seseorang selepas kelahiran adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa dan pihak pemerintah. Dengan lahirnya seorang anak adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa,bukan saja membesarkannya dari segi fizikal dengan makan minum,menyediakan pakaian dan hidup dalam kediaman dan alam sekitar yang bersesuaian, tetapi ibu bapa yang diamanahkan Allah dengan kurniaan zuriat adalah mendidik anak sejak dari bayi dengan asuhan keluarga, menghantar belajar tadika, sekolah rendah, menengah dan hingga ke universiti, jika anak berkelayakan.

Sebenarnya bagi ibu bapa yang penyayang dan bertanggungjawab adalah menaruh harapan yang tinggi terhadap anak agar maju dari segi pelajaran. Pihak kerajaan menyediakan saluran pengajian dengan bangunan pengajian seperti sekolah dan pengajian yang lebih tinggi bersama dengan guru-guru dan tenaga-tenaga pengajar pada peringkat yang lebih tinggi.

Bagi ibu bapa yang berkesedaran dengan pelajaran, perjuangan bagi menjadikan anak mendapat pelajaran yang baik adalah perjuangan keluarga. Keluarga menghantar anak-anak bukan saja ke sekolah, tetapi juga ada yang menghantar anak-anak ke kelas-kelas tuisyen bagi memungkinkan anak-anak berjaya dan mendapat keputusan yang baik di dalam pelajaran. Dengan keputusan yang baik, lebih berpeluang anak-anak untuk menyambung pengajian kepada peringkat yang lebih tinggi.

Gangguan pelajaran pada musim Covid-19, adalah gangguan yang dihadapi bukan saja pelajar, tetapi ibu bapa, guru dan pihak sekolah dan kerajaan. Orang ramai juga prihatin terhadap pelajaran. Pada tahun ini setahun pelajar-pelajar tidak dapat menghadapi pelajaran dengan baik. Berbagai kaedah digunakan bagi menampung pengajian,. Antaranya pengajian melalui talian. Pihak pelajar yang menghadapi peperiksaan SPM, STPM, SPVM, STAM paling terganggu dan tidak mendapat pengajian yang sempurna. Mereka menghadapi berbagai-bagai perubahan. Setelah lama tak bersemuka dengan guru dalam pengajian, maka sekolah yang ditutup setengah tahun itu dibuka 24 Jun 2020, tetapi kemudian semua sekolah ditutup mulai 9.11.2020 hingga hujung tahun dan peperiksaan SPM dan STPM dan yang setara dengannya ditangguhkan kepada bulan Februari 2021. Peperiksaan ini sepatutya  dijalankan pada bulan November 2020.

Bagi memberi peluang pelajar yang menghadapi peperiksaan berdepan dengan guru, maka  pada  20 Januari 2021 pelajar kembali ke sekolah, tetapi selepas selama hampir sebulan dibuka, maka sekolah-sekolah berkenaan kembali ditutup dua minggu sebelum peperiksaan.

Setelah menghadapi suasana pembelajaran berubah-rubah, secara atas talian, kembali ke kelas, PdPR, Saluran DIDIK TV, KPM, maka hari ini – Isnin 22 Februari 2021, seramai  401,105 calon SPM di 3,310 pusat peperiksaan mulai menghadapi peperiksaan, setelah tertangguh hampir empat bulan.

Tentulah suasana yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan berada di dalam suasana yang berbeza dan tidak menyenangkan. Mereka bukan saja menunggu musim peperiksaan dalam jangka yang panjang, tidak mendapat bimbingan sepenuhnya seperti keadaan normal, terpaksa berdepan dengan norma pembelajaran yang baru dan norma baru di dalam peperiksaan dan di luar dari peperiksaan. Mereka tentulah berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan diri dalam keadaan yang sihat. Takdirnya mereka mempunyai jangkitan Covid-19, maka mereka tidak dibenarkan memasuki peperiksaan dan akan menghadapi peperiksaan menurut jadual yang lain. Selama lebih kurang sebulan pelajar-pelajar ini terpaksa di dalam kewaspadaan. Sudah tentulah suasana kewaspadaan ini sama dihadapi oleh ibu bapa, guru-guru dan pihak-pihak yang berhubung dengan peperiksaan.

Kita berharap kepayahan dan berbagai-bagai ujian yang dihadapi pelajar-pelajar dan berbagai pihak berkenaan, khususnya pelajar menjadikan kepayahan ini sebagai ujian kewajaan semangat di dalam menghadapi pelajaran. Adalah difahamkan,walau apa perubahan yang terpaksa dihadapi oleh pihak pelajar  KPM,  tidak mengubah dari segi format peperiksaan sebagaimana yang dihadapi oleh pelajar-pelajar dalam musim normal.

Adalah diharapkan semua permasalahan yang dihadapi, bukan saja dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi peperiksaan, tetapi juga dihadapi oleh pelajar-pelajar pengajian tinggi. Semua ini adalah pengalaman yang dihadapi oleh sektor pendidikan di samping  sektor-sektor yang lain.

Kita berharap kepada pelajar-pelajar yang sedang menghadapi peperiksaan berada di dalam keadaan tenang dan tabah dan dapat menjawab semua kertas-kertas peperiksaan dengan baik dan insya Allah akan mendapat keputusan yang baik dan mendepani masa depan dengan cemerlang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment