February 24, 2021

 

KEWARGANEGARAAN:  PERANAN & KEWAJARAN

(Fikrah Bangi:  872),

BBB: 12 Rejab 1442H. = 24 Februari 2021M. (Rabu).

Setiap warganegara sejak kecil  berhak untuk hidup dan diberi keperluan penjagaan yang selayaknya oleh ibu bapa dan keluarga. Jika tidak maka pihak kerajaan perlu menyediakan keperluan. Misalnya kepada anak-anak yang kehilangan ibu bapa. Seorang anak sebagaimana telah dibincangkan berhak mendapat peluang belajar – meskipun dalam keadaan ketidakmampuan seperti ibubapa miskin, keluarga berpisah dan tiada yang menjaga, maka kerajaan perlu menyediakan peluang dan kehidupan bagi menghadapi pelajaran. Misalnya menyediakan asrama bagi anak-anak miskin dan yatim. Pendek kata peluang mendapat pelajaran janganlah dinafikan kerana kemiskinan dan tiada penjaga. Pihak kerajaan mestilah mengambilalih menyediakan keperluan pelajaran kepada anak-anak miskin.

Keperluan pelajaran adalah hak anak-anak. Dan wajib bagi anak-anak belajar dalam tempoh dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah bagi negara kita hingga kepada peringkat SPM.

Polisi terbaik bagi tahap wajib bagi pelajar belajar, hendaklah peluang pelajaran ditanggung oleh pihak kerajaan.Dalam kata lain kos pelajaran adalah percuma. Jika dijangka pembelajaran percuma membebankan kerajaan, maka mereka yang berada  dikenakan yuran, manakala bagi yang miskin dikecualikan dari segi  kos pembelajaran.

Bagi peringkat pengajian tinggi, bagi mereka yang berkelayakan dan miskin, maka hendaklah diberi peluang mendapat pelajaran secara percuma. Pembayaran bagi peringkat yang berada adalah wajar. Ianya merupakan kewajipan sosial bagi yang berada unuk membantu insitusi dan  pelajar yang tidak berada. Memberi peluang mendapat pelajaran bagi semua pihak, kerana kita tidak ketahui dari kalangan mereka yang susah adalah mereka yang berpotensi meningkat dari segi keilmuan yang bukan saja membuka peluang yang lebih cerah  bagi pelajar berkenaan, sebaliknya ianya menjadi aset bagi  negara dan masyarakat dari kebolehan yang ada pada mereka. Misalnya menjadi pemimpin, tokoh koperat, ahli ekonomi, menjadi profesor di dalam bidang-bidang yang mereka berkelayakan, bahkan menjadi usahawan yang memberi peluang bagi mereka yang lain mendapat peluang pekerjaan.  Bahkan sebarang bakat yang ada pada mereka dapat dilahirkan misalnya  seniman, tokoh agama, bahkan ahli sukan terkenal.

Sebagai kewarganegaraan, maka semua bidang adalah dilihat sama pentingnya. Misalnya seorang peladang tidak kurang pentingnya dari seorang politik. Peladang berperanan menyediakan keperluan makanan bagi warganegara, sedangkan seorang politik sebagai pemimpin dan pentadbir yang tidak lari dari  keperluan makanan. Seorang nelayan mungkin dilihat rendah, misalnya berbanding dengan seorang guru, tapi peranan nelayan sama penting dan diperlu untuk mendapat bekalan makanan  bersumber dari laut. Seorang polis tidak kurang penting berbanding dengan seorang peniaga. Polis diperlukan di dalam menjaga ketenteraman, manakala peniaga diperlukan, kerana melaluinya orang ramai dapat  membeli keperluan makanan.

Di dalam semua dilihat penting, maka sering kita memikirkan ketidakadilan berlaku. Misalnya jurang pendapatan, misalnya antara seorang guru dengan seorang nelayan, seorang polis dengan peniaga dan sebagainya. Hujah yang dijawab. Seorang ahli politik wajar mendapat imbuhan yang jauh lebih baik dari seorang  petani, kerana kedudukan dan status kerja, ahli politik mungkin berkelulusan lebih tinggi. Memang diakui seorang lulusan universiti wajar mendapat imbuhan yang lebih tinggi dari seorang peniaga, tetapi seorang politik kadang bukan kerana lulus tinggi, tetapi kerana berpeluang melibatkan diri dalam politi. Ketidakadilan juga berlaku antara keluarga petani yang mempunyai anak yang ramai yang perlu kepada pendapatan yang lebih berbanding dengan seorang guru yang mempunyai keluarga yang lebih kecil. Dalam hal ini adalah wajar  pendaatan juga dinilai dari segi keperluan. Jumlah keperluan asas adalah dikira, agar sumber pendapatan bagi seorang dan keluarga tidak begitu jauh, sebaliknya cukup bagi keperluan. Barang-barang keperluan asas yang dikeluarkan oleh petani, nelayan dan boroh janganlah  dinilai begitu rendah. Pendek kata perlu ada penilaian kewajaran, sama ada meningkatkan harga keluaran mereka,  supaya mereka tidak dilihat tertindas. Kalau perlu bagi yang mengeluarkan bahan-bahan yang diperlukan diberi subsidi, jika harga barang mereka tidak dinaikkan, kerana bimbang membebankan orang ramai.

Hasil mahsul dan sumber negara kita adalah banyak. Jika dibahagi secara adil, maka tidak ada yang yang tidak layak mendapat bahagian. Pendek kata perlu kepada makanisme penyusunan ekonomi, pendapatan bagi semua. Tidak ada makna negara dilihat kaya dan mengeluarkan berbagai barangan, tetapi rakyat biasa sebenarnya di dalam keadaan miskin dan tertekan.

Kewajaran bagi setiap rakyat mendapat sumber pendapatan selayaknya  adalah keadilan. Lantaran itu perlu kepada penyusunan dan pembahagian yang wajar dan adil.

Sekian.

No comments:

Post a Comment