February 28, 2021

 

UJIAN  MENSEMPADANKAN PERGOLAKAN

(Fikrah Bangi:  876),

BBB: 16 Rejab 1442H. = 28 Februari 2021M. (Ahad).

Hari  ini pada tahun lepas adalah merupakan garis sempadan bagi pergolakan dan perubahan politik yang unik yang belum pernah berlaku di dalam sejarah politik Malaysia. Garis sempadan dimaksudkan memisahkan antara dua entiti pemerintahan. Kedua-duanya unik dan belum terjadi sebelumnya.

Entiti pertama mengubah sejarah yang sebelumnya didominasi oleh BN. Pada pilihanraya ke 14 berlaku tsunami rakyat dalam mana dalam pilihanraya (10 Mei 2018)  tersebut pihak Pakatan Harapan  telah memenangi majoriti kerusi parlimen mengalahkan Barisan Nasional. Kemenangan merupakan satu kejutan besar membawakepada  beberapa kejutan.

Tun Dr. Mahathir yang memimpin Parti Bersatu dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong  menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi kali.  Sesuatu yang di luar jangkaan dan beliau masih sihat dari segi fizikal dan mental.

Hasil dari kemenangan ini membawa ke gelanggang  rival politik Dr. Mahathir yang kelak menjadikan beliau tidak senang di dalam mengemudikan politik pemerintahan negara. Dimaksudkan bahawa di dalam PH, PKR adalah parti dominan di dalam PH yang sekian lama memperjuangkan Anwar Ibrahim supaya dibebaskan dari tahanan yang sedang dialaminya dari zaman  Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri kali pertama. Dengan kemenangan PH, pendukung PKR dan rakyat mendesak Anwar dibebaskan, iaitu tuntutan yang tidak dapat disangkalkan. Satu sambutan besar-besaran telah dilakukan menyambut kepulangan Anwar dari penjara. Pembebasan dilakukan pada 16 Mei 2018, iaitu seminggu selepas kemenangan PH (The Star, 17 Mei 2018: 1). Dan Anwar diampun oleh Yang Di Pertuan Agong.

Suara terutama dari PKR mendesak dari Perdana Menteri membuat penentuan supaya Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun (tempoh ini berubah-rubah). Anwar perlu bertanding satu kerusi parlimen yang melayakkannya untuk dilantik menjadi Perdana Menteri. Kerusi parlimen Port Dickson dikosongkan yang memberi ruang beliau bertandang dan beliau menang kerusi PD pada 13 Oktober 2018. Dengan kemenangannya desakan makin kuat agar Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kerajaan PH tidak menunjukkan prestasi pemerintahan yang baik dan kalah beberapa pilihanraya berturut-turut seperti di Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Slim dan yang lain-lain.

Pergolakan berlaku di PH yang membawa kepada episod mistri politik yang dikenali sebagai Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 yang membawa kepada tindakan anih Dr. Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri.

Garis sempadan politik negara yang sejarahnya belum pernah berlaku, bahawa pemilihan pengganti Dr. Mahathir dilakukan secara interview oleh Yang Di Pertuan Agong Al-Sultabn Abdullah terhadap ahli-ahli parlimen tentang calon Perdana Menteri. Nama Anwar termasuk sebagai calon.

Pada 01 Mac 2020, menurut perkara 40 Perlembagaan Negara Malaysia, Yang Di Pertuan Agong melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Satu yang di luar dari jangkaan, bahawa kepimpinan dalam PH dari Bersatu memerintah Negara,  beralih kepada Bersatu juga berubah kepada  Pakatan Nasional. Ini membawa dakwaan Dr. Mahathir bahawa beliau masih pemimpin Bersatu, walaupun beliau tidak lagi menjadi Pengerusi sebagaimana disahkan oleh ROS. Tan Sri Muhyiddin yang memangku Jawatan  Pengerusi dilantik oleh Bersatu memegang jawatan Presiden Bersatu dan jawatan Pengerusi dihapuskan.

Tan Sri Muhyiddin sebaik menerima jawatan sebagai Perdana Menteri menerima beberapa ujian getir.

Ujian paling besar, bahawa beberapa minggu selepas beliau menjawat jawatan Perdana Menteri,negara dan dunia diserang wabak pandemik Covid-19. Malaysia mengisytiharkannya pada 18 Mac 2020.  Beliau dan kabinet terutama dari Kementerian Kesihatan, Pendidikan, Keselamatan Negara dan frontliners berjuang secara bertungkus lumus menentang Covid 19 yang sehingga kini masih tidak berakhir.

Dalam masa memerintah, Tan Sri Muhyiddin dan kabinetnya berdepan dengan undi tidak percaya dari pembangkang dan terselamat. Bagi mempastikan tumpuan dapat diberi terhadap memerangi wabak Covid-19, darurat diisytiharkan oleh Yang Di Pertuan Agong sehingga Ogos 2021 yang dapat meredakan tekanan politik dari pembangkang dan tumupan dapat diberi kepada memerangi pandemik Covid-19.

Kini di tengah perkembangan wabak dengan meningkatnya mangsa, termasuk kematian di negara ini melebihi seribu dan di dunia melebihi  2 juta ada sinar baru dengan terhasilnya beberapa vaksin seperti Pfizer Biontech  oleh Amerika dan German, Astra Zanica Oxford, Sinovek China, Sputnik 5 Rusia dan Johnson & Johnson Amerika, maka negera Malaysia turut mendapat vaksin seperti Pfizer sejak dari 21 Februari 2021 dan Cinovak dari China pada 24 Februari 2021. Dijangka 80% dari penduduk negara ini akan divaksinkan dan diharap wabak dapat dihapuskan.

Setahun pemerintahan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin dan masih berjuang bagi mengekalkan kesihatan rakyat, bertahan dari segi ekonomi, bahkan bertahan bagi survival politik.

Episod politik yang dilalui negara selepas pilihanraya ke 14 adalah satu pergolakan yang melibatkan kesihatan, ekonomi dan pelajaran rakyat yang tiada tandingnya. Daripada ujian sebenarnya dapat melahirkan kepimpinan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment