BBB, 08 Ramadhan 1439H. = 24 Mei 2018M. (Khamis):
Cadangan pertama kali bagi menggunakan masjid
adalah sesuai sempena menyambut Maulid al-Rasul s.a.w. bagi tahun 1439H./2017.
Bagi tujuan penggunaan masjid pertama kali telah diadakan persediaan-persediaan
seperti melantik kumpulan ketiga ke dalam Jawatankuasa Pembinaan dan
Pengimarahan Masjid Al-Umm sebagaimana Majlis Meraikan mereka dilakukan dalam
mesyuarat ke (80) bertarikh 24 Oktober 2017.
Mengadakan Mesyuarat Khas kemungkinan mendapat
CPC pada 25 Oktober 2017 di Pejabat
Penulis dengan membayar sejumlah tuntutan kontrektor (RM150,000) yang membolehkan disempurnakan
pemasangan peringkat akhir air-cond di samping bayaran yang lain.
Mengadakan pertemuan sekali lagi dengan
penduduk dan ahli kariah di sekeliling Masjid Al-Umm. Pertemuan diadakan pada Sabtu
8 Safar 1439H. bersamaan 28 Oktober 2017. Pertemuan ini merupakan lanjutan dari pertemuan dengan
penduduk di Kompleks Pendidikan Islam Seksyen 16 pada 14 Oktober 2017.
Penduduk diberi penerangan sekali lagi mengapa
Masjid Al-Umm masih belum dapat digunakan, oleh kerana belum mencukupi syarat
bagi mendapat CCC dan masalah kewangan yang dihadapi dan tidak dapat
menjelaskan hutang kontrektotr yang pada masa itu berjumlah RM2.5 juta ringgit.
Penduduk diberitahu adalah menjadi hasrat
Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm mau menggunakan masjid dalam
kadar segera, memandangkan hingga ke masa itu pembinaan Masjid Al-Umm sudah
memakan masa selama 4 tahun, pada hal dalam perjanjian dengan kontrektor
pembinaan Masjid Al-Umm seharusnya memakan masa selama 76 minggu dan lanjutan
masa hanya hingga akhir November 2015. Kini tempoh berkenaan telah jauh
melebihi, antara masalah yang dihadapi ialah kekurangan dana.
Kita juga berhasrat menggunakan Masjid Al-Umm
dalam masa terdekat kalau boleh pada
akhir tahun ini dalam mana bukan saja
usia pembinaan sudah empat tahun, tetapi pada akhir tahun ini (30
November 2017) Bandar Baru Bangi genap 40 tahun dihuni, dan adalah elok jika
Masjid Al-Umm dapat digunakan semasa kita menyambut 40 tahun usia Bandar Baru
Bangi.
Di dalam hal ini penduduk diberitahu bahawa
pihak Ahli Jawatankuasa telah berusaha, sekurang-kurangnya pihak Masjid Al-Umm
dapat CPC pada akhir tahun ini, sempena 4 tahun pembinaan Masjid Al-Umm dan
juga sempena dengan 40 tahun Bandar Baru Bangi. Adalah diharapkan kiranya CPC
didapati, maka Masjid Al-Umm dapat digunakan pada peringkat permulaan secara
terhad – bermaksud menggunakannya bagi solat jamaah bagi lima waktu. Ahli
Kariah dimaklumkan kaedah sedemikian telah dilakukan oleh pihak Masjid Seri
Putera, Bangi, bahkan penggunaan Masjid Seri Putera adalah secara sepenuhnya
selepas mendapat CPC.
Kepada ahli kariah juga dimaklumkan, sekiranya
Masjid Al-Umm digunakan selepas mendapat CPC dan solat lima waktu dapat
diadakan di samping kegiatan-kegiatan yang lain, ianya merupakan satu cara bagi
Masjid mendapat dana dari orang ramai, khususnya bila mereka sendiri dapat
menyaksikan bangunan masjid yang masih belum siap sepenuhnya (98%) dan diharap
dengan demikian mendapat simpati dari orang ramai untuk menderma dan dapat
mengurangkan beban hutang yang ditanggung oleh masjid. Dengan penggunaan masjid
akan membuka peluang bagi orang ramai untuk menderma kepada masjid berbagai
peralatan yang diperlukan.
Dalam pertemuan itu ahli kariah dibayangkan,
bahawa satu tarikh yang sesuai bagi penggunaan masjid pada peringkjat
permulaan, ialah dengan mengadakan sambutan Maulid al-Rasul bagi tahun 1439H./2017M.
– sempena 40 tahun usia bandar Baru Bangi. Tarikh bagi maulid al-Rasul ialah 12
Rabi`ul Awwal 1439H. bersamaan dengan 01 Disember 2017. Iaitu lebih kurang sebulan
dari tarikh pertemuan. Namun sambutan tidak semestinya pada 12 Rabi`ul Awwal,
tetapi boleh dilakukan sepanjang Rabi`ul-Awwal selepas 12 Rabi`ul-Awwal, bahkan
boleh selama satu bulan.
Pertemuan itu memberi azam ke arah menggunakan
Masjid Al-Umm dalam tempoh terdekat Insha Allah dan orang ramai digalakkan
menghulur derma bagi Tabung Derma Masjid Al-Umm.
Sekian.
No comments:
Post a Comment