May 7, 2018

TAKMILAH PEMBINAAN TIDAK SEMATA-MATA PADA KEWANGAN



BBB,  20 Sha`ban 1439H. = 06 Mei 2018M. (Ahad):
Sememanglah diakui bahawa dengan adanya kewangan melicinkan pembinaan fizikal  Masjid Al-Umm, sebagaimana disebut bahawa kemasukan dana dalam Tabung Pembinaan dapat disifatkan sebagai sederhana licin pada peringkat permulaan, namun tidak mengalami gangguan, iaitu bermula dari `Masuk Tapak` 10.12. 2013 sehingga akhir Disember 2013. Ketika itu dana terkumpul pada akhir tahun 2013 ialah 2.6 juta dan mampu membayar bagi perkembangan pembinaan pada peringkat permulaan.
Pembinaan menjadi rancak dengan keyakinan masyarakat bahawa masjid sudah benar-benar didirikan, cerocok dan tiang-tiang mulai naik, maka kita dapati aliran kemasukan kewangan adalah laju sehingga akhir 2015 adalah 13 juta.
Puncak dari kelestarian pembangunan pembinaan ialah pada tahun 2016, kerana pada akhir tahun ini - akhir Oktober 2016 (selepas menerima dana dari Kerajaan Negeri Selangor RM4 juta pada 9.9.2016), pendapatan keseluruhan dana pada Oktober 2016 adalah RM19.2 juta dan perbelanjaan adalah RM18.1 juta dengan baki dana ialah RN1.1 juta.
Selepas  peringkat ini kemasukan dana adalah minimum, masyarakat menganggap Masjid Al-Umm sudah menerima dana dari Kerajaan Negeri dan sepatutnya sudah cukup. Sedang pada masa yang sama hutang-hutang pada kontrektor dan sub-sub kontrektor dan consultant-consultant masih tidak dapat ditunaikan. Didapati kelemahan dari Takmilah kewangan adalah diakibatkan oleh beberapa faktor utama. Misalnya tidak memberi prioriti antara yang patut diutama dengan yang tidak utama, misalnya penempahan furniture mewah tidak perlu, cukup dengan jenis yang sederhana, menempah carpet sejak awal pembinaan fizikal, tidak perlu, kerana ramai yang bertanya untuk sponsor carpet, sejadah dan berbagai peralatan. Mengambil sub kontraktor untuk landscaping tidak perlu, boleh dibuat sendiri dan tidak banyak mana yang perlu dilakukan.
Kelemahan ketara dari segi pembinaan bangunan, bahawa sebahagian besar dari Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm tidak mempunyai pengalaman dari aspek pembinaan (dibantu Jawatankuasa Teknikal) dan dapat dikatakan `jahil` dari aspek sedemikian. Sepatutnya bentuk bangunan dikehendaki jelas pada plan sebelum pembinaan. Jika ada sebarang perubahan dan penambahan hendaklah dilakukan pada peringkat penyediaan plan. Apa yang berlaku selepas plan diangkat dan diluluskan  pembinaan berlaku, maka pada masa yang sama, plan terganggu dan berlaku penambahan-penambahan oleh jawatankuasa  yang setengahnya baik, dan setengah dapat dipersoalkan, walau macam mana semuanya menyebabkan berlakunya penambahan kos. Penambahan yang dilakukan seperti penambahan aras bawah tanah, penambahan bahagian takungan air yang begitu luas memakan ruang dan kurang praktikal, pengubahsuaian pada kubah, perubahan pada menara, pengalihan paip besar bagi meluruskan jalan pejalan kaki dari Medan Usahawan ke atas, penambahan  lengkungan shade hadapan pintu masuk ke masjid bagi melindungi dari tempias, jua penutupan dua `airwell` bagi ruang rehat , juga untuk mengelak dari tempias dan berbagai penambahan kecil yang dikatakan penambahan melibatkan 62% dari pembinaan. Semuanya menambahkan kos pembinaan dari yang asal. Walaupun penambahan dan pembaikan ketara dilakukan, namun masih jelas kelemahan-kelemahan. Misalnya binaan masjid terlalu terbuka, tidak ada sekatan pintu bagi kemasukan dan dapat dimasuki atau dicerobohi dari berbagai ruang. Ini menggugat dari segi keselamatan dan kebersihan, bahkan tidak dapat dicegah dari kemasukan kucing, bahkan anjing. Ruang yang dapat ditutup hanya ruang solat utama dengan dinding kaca  yang pintu pintunya dapat dilocked dari dalam dan dikunci pintu utama. Petanyaan timbul bagaimanakah aspek `Terlampau Terbuka` ini terlepas pandang oleh berbagai pihak.
Dari segi pembangunan fizikal ini kita mempunyai empat perunding, iaitu Perunding Arkitek, Perunding Kejuruteraan Awam, Perunding Kejuruteraan Mekanikal dan Perunding Juru Ukur Bahan, timbul persoalan bagaimanakah perunding-perunding ini tidak memberi nasihat dari segi penambahan-penambahan dan menasihat dari segi kos (mengurangkan) yang makin membebankan ? Dalam seminar mengenai Masjid Sungai Ramal di Masjid Al-Umm pada akhir Februari 2018, kita tertarik dengan cara pendekatan masjid itu yang kontrektornya adalah Pengerusi Jawatankuasa sendiri, tidak banyak konsultan yang dilantik dan cara mendapat dana secara dana wakaf. Masjid yang kelihatan lebih besar (tiga tingkat)  dari Masjid Al-Umm adalah kos yang dijangka RM14 juta sahaja, sedangkan Masjid Al-Umm RM21 juta  dan mereka cuba mengecilkan lagi kos.
Sesungguhnya faktor kejahilan kita, banyak meningkatkan kos. Andainya Masjid seperti Masjid Al-Umm baru peringkat persediaan permulaan pembinaan dan kita memahami selok belok pembinaan dan memulakan dari permulaan plan, maka sudah tentulah persediaan lebih sempurna dan banyak kos dapat dikurangkan. Sesungguhnya seteru utama bagi manusia adalah kejahilan dan ia adalah sifat kita. Oleh yang demikian Takmilah dari segi pembinaan banyak gangguan dan kelemahan. Takmilah Pembangunan adalah `Takmilah Tak Sempurna`  oleh kejahilan yang patut dijadikan pengajaran.
Sekian.

No comments:

Post a Comment