BBB, 19 Sha`ban 1439H. = 05 Mei 2018M.
(Sabtu):
Pembangunan ke arah pembinaan bagi Masjid
Al-Umm dari segi Takmilah, iaitu menurut syarat-syarat yang melayakkan Masjid Al-Umm
dibina, pada peringkat permulaan diberi Allah jalan mudah. Kemudahan ini adalah
disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu:
1. Berada di dalam Plan Induk
Sebagaimana maklum tanah di Bangi dikenalpasti
sebagai tapak bagi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak tahun 1972.
Sebagaimana UKM mempunyai plan induk sejak 1972, demikianlah dengan Tapak bagi
BBB yang luas lebih dari 5,000 ekar itu
dan tapak bagi Masjid Al-Umm yang dijangka pada awalnya menjadi masjid
pertama dibina di BBB turut sama wujud.
Sebenarnya sebelum diambil keputusan
menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm pada 4 Fabruari 2010 sudah ada
usaha, antaranya untuk mendirikan surau atau masjid di tapak tersebut,
permohonan juga telah dibuat kepada pihak berkuasa, tetapi tidak menjadi kenyataan
hinggalah diadakan mesyuarat pada 4 Februari 2010 berkenaan dan tertubuhnya
Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Dalam kata yang lain dengan tersedianya
tapak bagi Masjid Al-Umm yang seluas 2 ekar itu, maka apabila permohonan
dibuat, maka mudah diluluskan, kemudahan juga berlaku bagi permohonan gezet
tanah dan permohonan bagi mendirikan masjid
dari JAIS. Segalanya dapat disifatkan sebagai licin dan mudah.
Sesungguhnya bagi setengah pihak yang mau
mendirikan masjid tidak mudah bagi mendapat kelulusan. Bayangkan bahawa pada
peringkat permulaan seharusnya mempunyai tanah bagi tapak pembinaan masjid. Bagi
mendapat tapak perlu dicari. Ada yang dapat misalnya melalui waqaf oleh
individu atau pihak tertentu. Setengahnya mesti cari peruntukan bagi membeli tapak yang sesuai
dan jumlah peruntukan bagi mendapat tapak ini memerlukan peruntukan yang besar
yang menjadi sebahagian dari dana bagi mendirikan masjid.
Dari pengalaman Penulis yang pernah menjadi
Pembantu Exco Hal Ehwal Islam, antaranya menjaga masjid dan surau seluruh
Selangor (termasuk sekolah agama) dan
Adat Melayu, (2008-2013) termasuk selaku Pengerusi Muzium Negeri Selangor, ada
kaedah mudah bagi mendapat masjid. Misalnya Pemaju Perumahan menyediakan masjid
atau surau dalam kawasan perumahan, tetapi
pada kebiasaan disediakan tapak dalam mana penduduk mengusahakan bagi
mendirikan masjid atau surau bagi tapak berkenaan. Permohonan bagi cara ini adalah
mudah bagi kita meluluskan permohonan. Adakala tapak yang disediakan untuk
surau mau ditukarkan kepada tapak masjid, maka perlu diangkat kepada pihak
atasan untuk kelulusan. Adakala pula taman berdekatan yang setiap taman
disediakan tapak bagi surau. Maka jawatankuasa penduduk mau disatukan dua tapak
bagi surau pada sempadan dua taman, maka diusaha mendapat kawasan yang lebih
luas sebagai satu tapak masjid atau surau bagi kedua taman, maka tapak asal
ditukar kepada perumahan. Namun ada peristiwa yang menyedihkan yang pernah
Penulis alami, ada syarikat pemaju hartanah yang tidak jujur (non muslim).
Seorang Imam tua dari kawasan kini Damansara Dua (dekat Sungai Buluh) datang
beberapa kali membuat aduan bahawa dia dan jawatankuasa ditipu. Pada asalnya
rundingan dibuat dengan pemaju untuk menukarkan tanah bagi tapak masjid yang
kecil dan kurang baik dengan tapak baru milik syarikat pemaju berkenaan yang
dianggap lebih baik. Apa yang menyedihkan tanah masjid yang asal ditukar
menjadi milik pemaju yang tidak amanah, manakala tanah masjid yang baru tidak
kedapatan. Imam tua ini dan pembantunya
banyak kali datang berunding di pejabat Penulis selaku Pembantu Exco
yang mengurus soal masjid. Penulis masih terbayang wajahnya yang sugul dan
dukacita, lantaran menanggung kesal tanah masjid hilang begitu sahaja. Perkara
ini diusahakan ke peringkat atas untuk mendapat penyelesaian. Antara masalah
tapak masjid atau surau dibina di atas tanah reja yang sempit. Masalah yang
dihadapi ialah kesempitan dan untuk mendapat kelulusan sebagai tapak masjid
atau surau.
2. Kerajaan Baru Selangor
Kemudahan kelulusan bagi tapak Masjid Al-Umm,
ialah kerana mulai tahun 2008M. adalah kerajaan baru Pakatan Rakyat (Pas,
Keadilan Rakyat dan DAP) di Selangor. Permohonan bagi mendirikan Masjid Al-Umm
adalah pada permulaan pemerintahan kerajaan ini, maka adalah menjadi ghirah
kerajaan baru bagi membuktikan apa yang dimohon rakyat dan munasabah diluluskan,
maka permohonan diluluskan dengan
segera. Ini membuktikan ianya adalah kerajaan yang prehatin terhadap permohonan
rakyat.
3. Kedudukan ADUN Bangi
Kedudukan ADUN Bangi pada masa itu sebagai
Pembantu Exco Hal Ehwal Islam dan Adat Melayu yang antaranya diberi amanah
menjaga antaranya masjid, memudahkan kelulusan mendapat gezet tanah dan
kelulusan membina masjid (ADUN Bangi juga menjadi Ahli Majlis Mesyuarat JAIS
mewakili Kerajaan Selangor dalam mesyuarat-mesyuarat berkenaan). Ini adalah
memudahkan urusan yang berhubung dengan masjid. Sesungguhnya borang permohonan
mendirikan Masjid Al-Umm dipohon oleh Penulis sebagai Pengerusi dan diluluskan
oleh Penulis pada bahagian ADUN sebelum diangkat ke JAIS.
4. Hubungan Peribadi
Sebagai ahli Dewan Undangan Negeri, memudahkan
urusan seperti dengan YAB Dato` Menteri Besar sama ada waktu rehat dari
bersidang, pertemuan dalam mesyuarat mingguan dan juga majlis pengajian di
rumah YAB Dato` Menteri Besar Selangor sebulan sekali. Dalam
pertemuan-pertemuan yang berlaku mudah diajukan persoalan yang berhubung dengan
masjid, cadangan untuk datang melawat tapak masjid (Majlis Kenduri Kampung) dan
sebagainya. Ini semua memudahkan urusan bagi masjid dan berbagai perkara yang
lain.
5. Sebagai ADUN Bangi 2008-2013
Adalah menjadi hasrat ADUN Bangi menjadikan
Bangi sebagai `Bangi Bandar Ilmu` dan masjid adalah menjadi pusat kegiatan ibadat dan keilmuan. Hasrat
ini sebenarnya tidak pernah padam sejak idea pertama lahir dari sambutan 30
tahun BBB (1977-2007), membawa kepada jemputan menubuhkan Jawatankuasa
Pembinaan Masjid Al-Umm, bahkan hingga kini `Bangi Bandar Ilmu` dan masjid
sebagai komponannya terus diperjuangkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment