May 29, 2018

IJTIHAD, IKHTIAR DAN JIHAD: PROSES TAKMILAH SELARI `AQIDAH



BBB, 12 Ramadhan 1439H. = 28 Mei 2018M. (Isnin):
Proses ke arah penggunaan Masjid Al-Umm yang telah memakan masa  selama empat tahun sebelum penggunaan, adalah  dilakukan menurut peraturan dan tabi`i dari segi pembinaan. Ianya juga selari dengan `aqidah pegangan.
Keputusan dibuat (4 Februari 2010) untuk mendirikan Masjid Al-Umm adalah merupakan ijtihad yang diambil secara jamaah. Langkah ini adalah betul bagi kepentingan masyarakat berjamaah. Lantas segala usaha bermula dari memohon tanah digezetkan dari kerajaan Negeri Selangor,  memohon keizinan dari JAIS kebenaran mendirikan masjid, memohon keizinan dari MAIS memungut derma, Pelancaran derma, perasmian tapak, memohon dana dari Kerajaan Negeri Selangor, masuk tapak, menentukan arah Kiblat dan proses pembinaan fizikal yang memakan masa empat tahun itu adalah merupakan ikhtiar yang menurut kaedah dan peraturan.
Hingga ke tahap sedemikian, desakan masyarakat mau agar Masjid Al-Umm digunakan, ianya merupakan tekanan terhadap Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan meneruskan ikhtiar ke arah penggunaan, usaha menggunakannya  dari beberapa permulaan Ramadhan, walaupun dengan memohon keizinan, tapi tidak dibenarkan.
Ikhtiar puncak bagi jawatankuasa ialah mengambil contoh teladan dari Masjid Bandar Seri Putera, Bangi dengan membuat lawatan ke masjid itu pada 13 Oktober 2017 bersamaan 23 Muharram 1439. Dengan lawatan mendapat maklumat dari AJK Masjid itu, bahawa mereka menggunakan masjid berkenaan selepas mendapat CPC dan hingga kini tiada CCC.
Mencontohi Masjid Seri Putera, Bangi, pihak AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm meningkatkan ikhtiar bagi mendapat CPC, iaitu dengan usaha menyempurnakan pembinaan masjid dan keperluan-keperluan hingga mencapai 98% lengkap dan dengan diikuti dengan pertemuan dengan kontrektor dan arkitek pada 25 Oktober 2017M. bersamaan 5 Safar 1439H. membincangkan kemungkinan mendapat CPC. Al-Hamdulillah kelulusan CPC didapati pada 14 Disember 2017 bersamaan 25 Rabi`ul-Awwal 1439H.
Kalau kita lihat bahawa usaha ke arah mendirikan masjid adalah penuh dengan dinamika dan daya gerak. Masjid tidak akan terbina, sekiranya tidak ada kemahuan dan daya ijtihad sebagai langkah yang diambil yang dilihat dari segi ijtihad adalah betul, tanpa kemahuan dan ijtihad, tidak berlaku gerak dan kemajuan. Sebagai contoh tapak untuk masjid sudah tersedia sejak 1975, selama 35 tahun tapak berada di situ, tanpa kemahuan, maka selama itulah tidak berlaku perubahan pada tapak sehingga dibuat keputusan ADUN dan jawatankuasa untuk mendirikan masjid. Maka sejak itu berlaku dinamika yang merupakan usaha ke arah mendapat keizinan bagi mendirikan masjid Al-Umm pada tapak yang disediakan, maka berlakulah pergerakan dan perubahan hasil dari ijtihad dan ikhtiar sebagaimana telah diperkatakan.
Antara ikhtiar dan kejayaan ada batas yang mengujikan ikhtiar. Dari ikhtiar mungkin gagal atau berjaya. Gagal mungkin disebabkan mungkin kesukaran mendapat gezet dari pihak kerajaan, kerana kedudukan pemilikan tanah tidak jelas atau  pertikaian atau ada perebutan untuk memilikinya. Berbagai halangan lain, misalnya dipersoalkan oleh JAIS dari segi lokasi atau dipersoalakn oleh kerajaan tempatan dari segi kesesuaian dan sebagainya. Kegagalan yang biasa oleh sebab ketiadaan dana atau tidak kecukupan dari jumlah dana. Al-Hamdulillah semuanya dapat di atasi pada keseluruhannya, walaupun  dari segi dana masih diperlukan, namun ada jalan ikhtiari yang dapat dilihat. Misalnya Jumlah hutang yang dijangka dalam jumlah yang dapat diusahakan dan merasa yakin masyarakat akan terus memberi derma berdasarkan sifat dermawan mereka selama ini.
Namun berbanding dengan pembangunan masjid dari dana kerajaan yang dimasukkan di dalam projek lima tahun kerajaan dan lulus, tentulah lebih mudah, masyarakat setempat hanya menunggu siap dan menggunakannya. Ini sebagaimana berlaku pada Masjid Al-Hasanah  yang dibuka pada 10 Mac 2000 bersamaan 4 Zulhijjah 1420 atau Masjid Bukit Mahkota yang juga dari peruntukan kerajaan sepenuhnya yang hampir siap yang mungkin dapat digunakan pada akhir tahun ini atau tahun hadapan. Bagi Masjid Al-Umm kemungkinan untuk mendapat peruntukan sepenuhnya dari Kerajaan Persekutuan agak sukar, oleh banyak faktor, termasuk keluasan dan memerlukan masa yang panjang yang  tidak pasti dapat atau tidak. Usaha mendirikan Masjid Al-Umm ialah dari ijtihad, mengejar masa yang bersesuaian  dengan suasana setempat dan sudah tentulah dengan ikhtiar yang sebenarnya penuh dengan ujian pahit dan manisnya. Ianya juga dari ijtihad, ikhtiar  dan jihad.
Sekian

No comments:

Post a Comment