BBB, 14 Ramadhan 1439H. = 30 Mei 2018M.
(Rabu):
Pada pagi Sabtu 27 Rabi`ul-Awwal 1438H.
bersamaan 16 Disember 2017 adalah pagi yang gemilang bagi Masjid Al-Umm, kerana
hari ini adalah hari permulaan bagi penggunaan Masjid Al-Umm, setelah empat
tahun setengah bagi pembinaan bangunan fizikalnya. Sejak dari jam 9.00 pagi
kawasan masjid mulai didatangi oleh penduduk-penduduk. Ruang parkir mulai diisi
dengan kenderaan. Sebahagian besar dari mereka yang datang adalah buat kali
pertama, mereka datang di samping untuk menyertai Majlis Sambutan Maulid
al-Rasul, juga adalah bertujuan untuk menyaksi dan berada di dalam kawasan Masjid Al-Umm bagi pertama kali.
Tak kurang dari kalangan mereka yang datang pertama kali sebelum masuk ke
dalam masjid bagi menyertai sambutan, ada kalangan mereka meninjau terlebih
dahulu kawasan masjid dari bahagian sisi sebelah kanan, ke bahagian depan dan
sisi sebelah kiri. Kebanyakan dari mereka kagum dengan reka bentuk dan seni
bina masjid yang ke atasnya kubah yang bagai mahkota masjid menjunjung
kebesaran Allah, kiri kanan bahagian hadapan dua menara yang fungsinya
melantaskan azan ke ruang terbuka. Mereka belum dapat melihat tentang aras
utama yang menjadi ruang solat dengan mimbar dan mihrab bagi khatib membaca
khutbah dan memimpin jamaah bersolat yang jika ramai melempah ke serambi kanan
dan kiri dan bagi jamaah muslimat pada aras atas (satu). Di atas juga terdapat
dewan dan bilik-bilik kuliah, di samping bilik
mesyuarat. Mereka juga belum lihat dewan konvensyen aras bawah tanah
yang agak luas untuk konvension atau sebarang pertemuan dalam jumlah yang
ramai, termasuk bagi jamuan perkahwinan dan persidangan. Sesungguhnya melihat
di luar mengkagumkan apa lagi jika dilihat dari dalam menyerlahkan keharmonian
dan kekudusan.
Majlis Sambutan Maulid al-Rasul pada pagi itu
berlangsung di ruang legar pada bahagian depan masjid yang boleh memuatkan satu
ribu peserta. Boleh disediakan dengan
kerusi atau juga bersila. Tetapi pada kali ini disediakan kerusi yang memuatkan
500 orang. Lelaki pada bahagian kanan mengarah kiblat, sedang bagi muslimat sebelah
kiri mengadap kiblat dan rostrom menghadap kepada jamaah. Sesungguhnya ruang
legar ini sesuai untuk serbaguna. Ianya boleh mengendalikan majlis bagi
berbagai cara.
Kandungan Sambutan Majlis Maulid al-Rasul
dihadiri penduduk setempat. Para jemputan terdiri dari Pegawai Agama dari PAID
(Ustaz Nazri), Ustaz Dr. Abdul Rahman Mahmud Penceramah dari Pusat Islam UKM,
Dato` `Abdullah Mohd Zain Nazir Masjid Al-Hasanah, Tuan Haji Mohd. Napiah
Sahrani Imam Besar Masjid al-Hasanah, pengerusi-pengerusi surau-surau,
ahli-ahli jawatankuasa Masjid Al-Umm dan orang ramai yang berjumlah lebih
kurang 500 orang.
Pasukan solawat dari Surau Damai menghiasi
Majlis dengan solawat-solawat. Majlis
dibuka dengan tilawah Al-Qur`an oleh Qari Jemputan – Ustaz Hashim dari Institut
Perguruan Islam Bangi , Ucapan Pengerusi yang mengalu-ngalukan kehadiran orang
ramai dan melahirkan kesyukuran kerana dapat menggunakan Masjid Al-Umm bagi
kali pertama. Beliau mengucapkan terima kasih kepada penderma-penderma hingga
memungkinkan masjid dapat didirikan. Beliau juga menerangkan masalah masjid termasuklah
hutang yang masih ditanggung dan mengharapkan derma dari orang ramai berterusan.
Manakala Ir. Tuan Haji Ishak Haji Arshad
menerangkan tentang masjid dari segi fizikal dan kedudukan bahagian-bahagian
yang ada pada masjid dan menjemput orang ramai melawat bahagian-bahagian di
masjid, manakala Dr. Abdul Rahman Mahmud menyampaikan ceramah yang berhubung
dengan dakwah Rasulullah dan perjuangan Baginda hingga menegakkan Islam ke
seluruh alam, termasuklah kita yang sama dapat rahmat dengan penerimaan Islam.
Selepas jamuan orang ramai menyertai bacaan
Yasin dando`a dipimpin Ustaz Hashim sehingga masuk waktu zohor . Imam Ustaz
Hashim juga mengimami solat pertama -
Zohor pada hari itu. Peralatan masjid seperti sejadah dan carpet adalah dibawa
dari Surau Al-Umm. Dengan solat zohor permulaan di Masjid Al-Umm itu diambil
keputusan bahawa penggunaan Masjid Al-Umm diteruskan dengan solat Asar pada petangnya, diikuti
dengan solat Maghrib dan disertai solat hajat dipimpin oleh Penulis memohon keselamatan bagi
Masjid Al-Umm dan jama`ah. Mulai dari situ Masjid Al-Umm terus digunakan dan
Surau Al-Umm dihentikan kegunaan.
Sebenarnya tiada masalah menggunakan Masjid
Al-Umm, kerana semua keperluan sudah tersedia. Halangan selama ini bersifat
formaliti dan teknikal yang tidak menghalang Masjid Al-Umm dari digunakan.
Penggunaan Masjid Al-Umm direstui orang ramai dan mereka mulai berjamaah di
Masjid Al-Umm dari masa itu hingga kini. Tiada masalah dan halangan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment