May 22, 2018

PERSIAPAN KE ARAH MENGGUNAKAN MASJID AL-UMM



BBB, 05 Ramadhan 1439H. = 21 Mei 2018M. (Isnin):
Takmilah dari segi pembangunan fizikal Masjid Al-Umm, ialah siapnya dari segi fizikal masjid berkenaan, tetapi hingga kini, walaupun sudah siap dari segi umumnya, tetapi masih tidak siap dari segi syaratnya. Mutakhir dua perkara yang memerlukan kelulusan, iaitu kelulusan dari segi plan tambahan – sebagaimana telah dibicarakan, bahawa banyak berlaku tambahan ke atas plan asal (62%), maka plan tambahan ini perlu mendapat kelulusan, selepas itu baru tiba pada peringkat akhir ialah pemeriksaan bomba, walaupun kemasukan air telah lama dilakukan, dan dari segi zahirnya baik dan ok, tetapi dari segi fomalitinya perlu diperiksa oleh pihak bomba dan jika lulus adalah merupakan tahap Takmilah dari segi pembangunan fizikal. Dalam keadaan sekarang perkembangan fizikal Masjid Al-Umm adalah Takmilah dalam keadaan `Tidak Takmilah.` Sebenarnya ada pihak luar yang mencadangkan supaya mengambil jalan pintas, melalui pihak berkuasa tertentu yang boleh over rule paraturan dan kita pernah terbawa-bawa oleh pihak berkenaan, kerana kononnya ada  `pengaruh`, tetapi nampaknya tidak ke mana. Masjid Al-Umm nampaknya dikehendaki mematuhi setiap syarat dan aturan, biarpun ada masjid yang beroperasi, sebagaimana telah dibicarakan, tidak memenuhi syarat sepenuhnya !
Walau apapun Masjid Al-Umm akan tiba pada tahap penggunaan, biar secara segera atau tergantung dengan syarat.
Pembinaan fizikal pada zahirnya telah siap. Siap masjid pun, andainya semua perfect dan Takmilah dan hakikatnya tidak mungkin dicapai, tidak bermakna, tanpa penggunaan. Penggunaan sebenarnya – fizikal dan pengimarahan, memberi erti ia adalah sebuah masjid ! Bangunan sahaja bukan sebenarnya sebuah masjid. Jawatankuasa Pembinaan telah berjaya menzahirkan bangunan fizikal, walaupun masih di dalam keadaan terhutang, namun di dalam keadaan yang tidak sempurna dari segi fizikal baik lahiri, maupun maknawi, maka masa bagi menzahirkan Masjid Al-Umm dari segi fizikal dan pengisian insha Allah akan tiba, baik dalam keadaan `Takmilah di dalam Tak Takmilah`, apalagi jika tiba pada titik Takmilah yang tidak mungkin tiba, tetapi seharusnya berfungsi dan dimarahkan.
Tiba pada peringkat 98% siap  dari segi fizikal, telah berlaku dua kali perubahan jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa permulaan (2010) dan kali kedua ialah Jawatankuasa yang dilengkapi dengan Jawatankuasa teknikal (2013). Bagi menempuh tahap ketiga ialah tahap `Pengimarahan` yang di dalamnya diimarahkan dengan ibadat, keilmuan dan kemasyarakatan. Sebenarnya Jawatankuasa Pembinaan diubahsuai bagi menghadapi situasi ini dengan dipanggil sebagai Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan` sejak 2015 lagi.
Bagi memperkasakan tahap ketiga ini – sebelum penyerahan kepada pihak JAIS dan diadakan pemilihan jawatankuasa secara rasmi oleh ahli kariah, jawatankuasa yang menggariskan misi dan misi Masjid Al-Umm sejak dari awal, mau menyempurnakan Takmilah dalam keadaan `Tak Takmilah` dari segi pengimarahan. Antara tindakan yang diambil ialah sekali lagi mengukuhkan jawatankuasa dengan tambahan ahli-ahli yang difikirkan berwibawa, tetapi yang lebih penting dapat membuat kerja ! Tambahan ialah bagi memenuhi tuntutan kegiatan keilmuan dan tahap peningkatan ibadat dan diikuti dengan kegiatan kemasyarakatan.
Bersama indakan mengukuhkan Ahli  Jawatankuasa, maka difikirkan juga ialah dari segi pengisian bagi pegimarahan. Sebagaimana disebut, sejak Ramadhan 1436H. = Jun 2015, iaitu hasrat pertama mau menggunakan Masjid Al-Umm, tetapi tidak jadi, kerana belum siap, tetapi persediaan dari segi pengimarah telah dilakukan, iaitu dengan menginterview pegawai-pegawai masjid dari segi imam, bilal, siak , pembantu kerani dan technician. Pemilihan telah dibuat, tetapi mereka adalah sebagai pegawai-pegawai  simpanan dan bila tiba masa masjid digunakan, maka mereka akan dipanggil untuk berkhidmat.
Dari segi pengajaran, sebagaimana telah disebut dua bengkel telah diadakan bagi persediaan bagi pengisian pengajaran. Persediaan adalah dari segi mata pelajaran dan cadangan kitab-kitab, tetapi belum ditentukan siapa bakal guru-guru yang akan mengajar. Tetapi perkara ini tidak bermasalah,kerana selepas penggunaan masjid, pengajaran tidak akan dilakukan secara sepenuh ianya akan dilakukan secara bertahap. Ramai guru yang dapat dijemput bagi mengisi mata-mata pelajaran berkitab yang dapat dijalankan.
Pendek kata persediaan bagi menggunakan masjid telah dilakukan dari awal. Semuanya insha Allah dapat digerakkan sebaik Masjid Al-Umm digunakan.
Sekian

No comments:

Post a Comment