May 30, 2018

MAULID AL-RASUL MEKANISME PENGGUNAAN MASJID AL-UMM: SUSPEND, TAWAKKAL DAN DO`A



BBB, 13 Ramadhan 1439H. = 29 Mei 201`8M. (Selasa):
Di luar jangkaan,  usaha mendirikan Masjid `Rumah Allah` sepatutnya berlaku  secara harmoni, seharusnya terpancar dari jiwa yang bertaqwa dan sharusnya ianya didirikan atas dasar taqwa. Namun di dalam mendirikan Masjid Al-Umm terdapat elemen suspend dan dramatis yang dipuncaki unsur tawakkal dan do`a. Benarlah firman Allah bermaksud:
``Demikianlah kami jadikan pada setiap kariah ada penyeleweng-penyeleweng  yang menjerumuskan diri dalam kesalahan untuk menipu daya, dan tidaklah mereka menipu daya melainkan kepada diri mereka dan tidak mereka menyedari.`` (Al-An`am: 123).
Sesungguhnya Allah menguji Adam dan Hawa dengan iblis dan syaitan. Sesungguhnya yang tertipu adalah Iblis dan syaitan. Rasulullah s.a.w. diuji dengan penentangan kaum Quraisy yang antaranya ialah Abu Jahal dan Abu Lahab. Mereka bertujuan untuk membinasakan Rasulullah s.a.w., tapi yang sebenar  binasa ialah Abu Jahal dan Abu Lahab.
Elemen penentangan kecil juga berlaku dalam usaha untuk menggunakan Masjid Al-Umm yang didesak oleh penduduk bagi menggunakan Masjid Al-Umm. Kita berusaha mengadakan sambutan Maulid al-Rasul di Masjid Al-Umm pada 16 Disember 2017 bersamaan 27 Rabi`ul Awwal 1439H. bagi membesar dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w., maka dengan sempena menyambut Maulid al-Rasul ini dijadikan sebagai mekanisme penggunaan Masjid Al-Umm. Kita menggunakan Masjid Al-Umm secara terhad lantaran kita telah mempunyai CPC yang didapati dua hari sebelum daripada itu. Kita berpendapat apa yang kita lakukan adalah baik dan dengan niat yang baik dan diharap memberi kebaikan bagi Masjid Al-Umm, bahkan memberi kepuasan kepada penduduk yang selama ini  mendesak agar Masjid Al-Umm segera digunakan. Mereka memberi respond yang baik. Lebih dari RM10,000 dapat dikumpul bagi sambutan Maulid al-Rasul dan mereka yang hadir amat memuaskan , iaitu lebih dari 500 orang. Mereka sebenarnya mau menyertai sama bersama sejarah Masjid Al-Umm bagi pertama  kali digunakan.
Sebagaimana telah disebut sejak keputusan diambil untuk mengadakan Sambutan Maulid al-Rasul sebagai tarikh permulaan menggunakan masjid, setelah beberapa kali usaha menggunakannya sempena sambutan Ramadhan gagal, maka ada pihak yang cuba menghalang dari menggunakan masjid dengan meminta pihak kontrektor menyekat dari menggunakannya. Pada  masa itu belum didapati CPC. Namun sama ada mendapat CPC atau tidak, usaha baik kita terus cuba dihalang dengan alasan Masjid Al-Umm tidak siap. Usaha menghalangkan ini rupanya bukan setakat permintaan terhadap Kontrektor yang sebenarnya merestui mengeluarkan CPC, tanpa restunya CPC tidak dapat dikeluarkan. Hasrat pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan ini mau disekat dan maklumat penggunaan Masjid Al-Umm disampaikan kepada PAID Hulu Langat (Sebenarnya kita menjemput pihak Pegawai Tadbir PAID menyertai sama sambutan Maulid al-Rasul). Sebagai respond terhadap yang membuat report, pihak PAID menghantar pegawainya ke Masjid pada pagi 15 Disember 2017. Pada masa itu kumpulan Kebajikan Firdaus dari Shah Alam mengadakan gotong royong pada bahagian aras atas (aras Satu) dengan 50- para sukarelawan Firdaus. Tidaklah diketahui apa tujuan pihak yang membuat report menjemput pihak PAID datang membuat tinjauan terhadap kerja-kerja gotong royong atau secara kebetulan waktu datang tersua dengan kumpulan yang membuat gotong royong. Ada yang mengiringi pegawai PAID yang datang. Sebenarnya gotong royong yang mereka adakan sepatutnya dipuji. Dengan gotong royong ini dapat melengkapkan kerja-kerja gotong-royong yang telah diadakan oleh pihak Masjid Al-Umm pada Sabtu 9 Disember 2017 (Aras Utama). Dengan dua gotong royong ini dapat menyelamatkan wang sejumlah RM24,000 yang dicadangkan untuk dilakukan oleh pihak swasta yang kononnya lebih professional.
Gugatan untuk menghalang dari penggunaan Masjid ini dilakukan oleh penghalang dengan secara lebih serius terhadap Paid, kerana pada petang 15 Disember 2017 sehari sebelum tiba (keesokan) pagi sambutan (pagi 16 Disember), Penulis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm dihubungi oleh pegawai dari PAID meminta Penulis batalkan Sambutan Maulid Al-Rasul keesaokan harinya.
Penulis menjawab bahawa pihak Masjid telah mendapat kelulusan CPC dan akan meneruskan sambutan, lebih-lebih lagi pihak Jawatankuasa telah membelanjakan lebih RM10,000  bagi sambutan berkenaan, lagi pula jemputan dan orang ramai telah ketahui dan akan datang esok, tidak ada masa untuk membatalkannya. Jika dibatalkan ianya merupakan satu pembaziran. Pihak pegawai berkenaan meminta Penulis menghubungi Pengarah JAIS pada petang atau malam itu juga dengan pegawai berkenaan memberi no. Telefon peribadi Pengarah agar Penulis menghubungi Pengarah pada petang atau malam itu.
Penulis membuat ijtihad sendiri dan bertawakkal serta mengambil keputusan tidak menghubungi pihak Pengarah JAIS serta berazam meneruskan Sambutan Maulid al-Rasul pada keesokan dan bertawakkal serta berdo`a kepada Allah tidak berlaku sebarang gangguan atau kekecohan pada keesokan hari. Penulis nekad  dan bersedia menerima risiko dengan sambutan berkenaan. Arahan supaya membatalkan sambutan ini Penulis rahsiakan dan tidak memaklumkan kepada sebaranng jawatankuasa sehingga Penulis maklumkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimahan Masjid Al-Umm kali ke (81 - Khas) bertarikh Selasa 30 Rabi`ul-Awwal 1439H. = 19 Disember 2017. Sudah tentulah berita `Arahan Melarang Sambutan Maulid al-Rasul` itu mengejutkan ahli-ahli, kerana ianya adalah sabotaj di luar jangka.
Sekian.

No comments:

Post a Comment