BBB, 16 Sha`ban 1439H. = 02 Mei 2018M.
Secara ideal bagi mengamal atau melaksanakan
sesuatu yang di harap mencapai Takmilah bagi sesuatu yang mau dilakukan
seharusnya seseorang itu berilmu. Sebagai contohnya seseorang yang mau menjadi
petani, dia seharusnya mempunyai ilmu mengenai pertanian, mengetahui tentang
tanah, subur atau tidak, mengetahui jenis tanaman yang mau ditanam dan
mengetahui cara penjagaannya. Misalnya perlu dibajai dan disiram, mengetahui
penyakit yang mungkin menyerang, misalnya ulat, siput yang suka memakannya dan
bagaimana menghapus musuh-musuh yang menyerang seterusnya penjagaan hingga matang
dan dapat dituai atau dinikmati hasilnya. Dari sini dapat difahami untuk
Takimilah pertanian perlu ada kaedah dan aturan serta amalan yang diketahui.
Ini bermaksud ilmu atau pengetahuan bagi pertanian. Demikianlah keperluan ilmu
kepada kerja-kerja yang lebih kompleks seperti kemahiran membaiki engin kereta,
pelayaran merentasi lautan dan terbang di udara dari benua ke benua semuanya
memerlukan keilmuan, baik pada tahap rendah seperti bertanam atau bertani, apa
lagi pada tahap tinggi seperti membaiki kereta, belayar dilautan dan terbang di
udara perlu pengetahuan yang bersifat mekanikal dan berkemahiran. Kontras bagi
kesemua yang di atas adalah `Kejahilan` yang merupakan anti Takmilah. Kejahilan
menyebabkan tanaman tidak menjadi, tidak mampu memperbaiki engin kereta, tidak
mampu merentasi lautan bergelombang dan tidak mampu untuk terbang tinggi di
awan dan bergerak dari destinasi ke destinasi.
Membina masjid, di dalam konteks ini Masjid
Al-Umm, hasrat timbul pada peringkat permulaan
mau mendirikan masjid bagi memudahkan bersolat dan berjuma`at di kawasan
berkenaan dan sekelilingnya, apa lagi tapak yang disediakan baginya sudah wujud sejak Bandar Baru Bangi diwujudkan
(Bermula Pembangunan 1975), jika tidak diambil kesempatan, bagi peluang
mendapat tapak sebuah masjid pada masa
hadapan amatlah sukar, jika tapak berkenaan diubah kepada penggunaan yang lain.
Apa yang ada pada kelompok yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pembinaan pada
peringkat awal itu ialah kesedaran, hasrat, semangat dan niat yang membawa
mereka bertindak memohon dari pihak berkuasa mendirikan masjid yang kemudian
dikenali dengan `Masjid Al-Umm`.
Kesedaran, semangat dan niat yang membawa
kepada memohon kebenaran dari pihak berkuasa keizinan mendirikan masjid dan
mendapat keizinan (licin dan tiada halangan) adalah merupakan proses Takmilah
ke arah mendirikan masjid. Takmilah bagi mendirikan masjid adalah memerlukan
usaha dan keilmuan. Di dalam hal ini Takmilah menghadapi ujian-ujian. Ujian
juga merupakan proses Takmilah yang di dalamnya mempunyai kekurangan dan halangan-halangan.
Turun dan penglibatan menyerlahkan kekurangan-kekurangan.
Bagi membina fizikal sebuah masjid sedari awal disedari kekurangan-kekurangan
dan kelemahan-kelemahan. Semuanya cabaran Takmilah yang perlu diatasi.
Penilaian bermula sejauh mana azam dapat diterjemahkan kepada tindakan dan
penghasilan.
Ujian awal yang dihadapi dari segi pembangunan
fizikal ialah halangan bersifat material dankejahilan dari segi pembinaan.
Sebagaimana maklum bahawa membina masjid tidak
cukup dengan azam an niat, tetapi memerlukan kepada kewangan dan pembinaan.
Masalah kewangan adalah masalah utama dari segi pembangunan, tiada kewanganm
maka tidak dapat didirikan masjid yang diidamkan.
Satu kekuatan yang utama yang ada bagi Masjid
Al-Umm dari awal dan berterusan ialah `Jama`ah`.
Kesedaran bagi mendirikan masjid adalah
jama`ah. Tanpa jama`ah tidak akan dapat dirikan masjid – maksudnya ialah Masjid
Al-Umm.
Jama`ah membuat persetujuan mewakili
sebahagian daripada mereka ke depan mengusahakan keperluan-keperluan yang dapat
merealisasikan masjid. Melalui jama`ah dapat mengurangkan kejahilan. Pada jama`ah
adalah pergantungan utama yang dari mereka adalah diharap mendapat dana
pembangunan dan pembinaan. Sesungguhnya jamaah jugalah yang mengimarah masjid
secara berterusan. Pada hakikatnya
pembangunan dan pengisian yang dilakukan ialah bagi memenuhi tuntuan
berjama`ah yang amat ditekankan di dalam Islam. Berjama`ah di dalam berbagai-bagai
amalan. Berjamaah di dalam solat yang menggalak dan menuntut berjamaah,
diadakan kegiatan keilmuamn bagi meningkatkan keilmuan jama`ah yang dapat
meningkatkan kualiti beribadah, berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan juga
diadakan adalah bagi kebaikan berjamaah. Sesungguhnya masjid adalah lambang
jama`ah di dalam Islam. Tiap orang dituntut berjama`ah lantaran berjama`h
mempunyai hikmah dan significant di dalam Islam. Masjid didirikan oleh jama`ah
bagi meningkatkan kualiti jama`ah secara berjama`ah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment