May 14, 2019

ANTARA PH DAN PERTAHAN NILAI BUDAYA


ANTARA PH DAN PERTAHAN NILAI-BUDAYA
(Fikrah Bangi 224),
BBB, 09 Ramadhan 1440H. = 14 Mei 2019M. (Selasa).
Kemenangan PH, antaranya dapat dilihat kepada nilai dan budaya masyarakat Malaysia. Penduduk Malaysia adalah terdiri dari 65% Melayu dan selebihnya bukan Melayu. Orang Cina dapat diambil kesimpulan mereka adalah penyokong Dap, baik Dap secara bersendirian atau berada di dalam PH. Contoh kemenangan kerusi parlimen Sandakan pada Sabtu 11 Mei 2019. Bagi orang Cina melihat Dap adalah parti yang membela orang Cina, walaupun Dap dari segi ideologinya bukan untuk satu kaum. Hingga sekarang Dap masih dilihat parti orang Cina. Keberadaannya di dalam PH mengukuhkan parti itu yang dapat sokongan hampir solid dari orang Cina. Bagi orang India mereka menyokong PH melalui saluran PKR yang parti itu adalah satu-satunya parti bagi semua kaum. India lebih menyokong PH , walaupun masih ada yang setia dengan MIC di dalam BN.
Bagi orang Melayu ada kerencaman. Melayu adalah kaum yang kukuh dengan pegangan nilai – maksud di sini adalah agama Islam dan juga kukuh dengan nilai budaya, termasuk kesetiaan pada raja dan kukuh berpegang pada adat istiadat. Dua elemen di atas  dilihat sebagai survival bagi Melayu.
Ketika PH menggerakkan kempen  dengan menggunakan media baru yang digerakkan oleh kalangan muda PH. Melayu di bandar dan yang kebanyakan di pantai Barat Semenanjung yang dianggap terbuka dan boleh berubah, berubah pendirian dengan isu yang dimainkan oleh PH seperti GST, IMDB, janji-janji yang memikat seperti hapus GST, hapus tol, hapus PTPTM, turun harga minyak, mengurangkan pengangguran dan berbagai janji lagi, masyarakat Melayu di Pantai Barat Semenanjung yang terlebih terdedah dengan berbagai maklumat, terutama kalangan generasi muda sanggup mengubah haluan sokongan kepada PH. Sebagai contoh, bahawa sesuatu yang luar dugaan bahawa Bangi yang dibina sekian lama bagi mengukuh Pas dan dapat dikatakan Bangi adalah tempat terkuat Pas menerima kekalahan baik pada peringkat Parlimen dan DUN (Sungai Ramal) kecuali di DUN Sijangkang. Perubahan tidak ketara berlaku sebelum pilihanraya, mereka secara senyap membuat perubahan. Ini bukan saja berlaku di Bangi, tetapi seluruh Selangor. Sokongan yang diterima Pas sebelumnya dengan mendapat 15 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, akhirnya pada pilihanraya ke 14 hanya mampu mengekalkan satu sahaja kerusi. Kemerosotan undi Melayu terhadap Pas berlaku juga di negeri-negeri yang lain.
Bagi negeri-negeri di Pantai Timur dan negeri yang kuat dengan nilai dan tradisi Melayu, mereka lebih membuat pertimbangan dari segi nilai. PH tidak mungkin memberi perhatian terhadap Islam melebihi dari Pas yang selama ini telah terbukti komitmen mereka. Mereka tidak percaya yang didominasi oleh bukan Melayu, sanggup untuk membela dan menegakkan nilai budaya Melayu. Contoh seperti kesetiaan pada Raja, mengamalkan budaya Melayu sebagaimana dinikmati selama ini bersama masyarakat Melayu, hidup di dalam kekeluargaan Melayu yang harmoni. Mereka juga tidak percaya PH akan membela, mendukung dan memperkembangkan bahasa Melayu sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan BN.
Pada masa itu masyarakat Melayu bernilai Islam dan berciri budaya Mekayu Islam tidak dapat dinikmati seperti selama ini seperti di Kelantan, Terengganu, Kedah dan juga Pahang. Lantaran itu pilihan terbaik bukan pada PH, tetapi pada Pas atau sekurang-kurangnya berbudaya Melayu Islam sebagaimana juga  dipilih oleh Pahang dan Perlis.
Selain dari adanya tindakan positif dari PH seperti memerangi rasuah, tetapi ketakutan mereka kepada yang mengancam nilai pegangan dan budaya serta bahasa sebenarnya berlaku. Mereka berkubu dengan kekuatan nilai pegangan, adat dan budaya Melayu-Islam mereka.
Sekian.

No comments:

Post a Comment