May 23, 2019

PROGRAM RAMADHAN UNTUK KEPUASAN JAMA`AH: SAMBUTAN NUZUL AL-QUR`AN


PROGRAM  RAMADHAN UNTUK KEPUASAN JAMA`AH:  SAMBUTAN NUZUL AL-QUR`AN
(Fikrah Bangi: 234),
BBB, 18 Ramadhan 1440H. = 23 Mei 2019M. (Khamis).
Jawatankuasa Urus-Tadbir dan Pengimarahan Masjid Al-Umm (UTPMU) merangka program bagi pengisian Ramadhan adalah bagi memberi kepuasan kepada jama`ah menjalankan ibadat Ramadhan di Masjid Al-Umm. Dalam menyediakan program adalah dengan kesedaran bahawa Masjid ini adalah masjid yang lokasinya bukan berada di kawasan laluan orang ramai, sebaliknya ia berada di kawasan perumahan lama (Seksyen Satu & Dua) yang tidak begitu padat dengan penghuni, lagi pula di keliling Masjid Al-Umm berdekatan ada lima buah surau yang masing-masing juga mengadakan program Ramadhan, maka jika tidak ada tarikan, tentulah para jama`ah lebih suka ke surau-surau berdekatan dengan rumah masing-masing.
Dari segi biro ibadat dan pengajian, Masjid Al-Umm sengaja mengiklankan jawatan Imam Tarawih tambahan bagi Masjid Al-Umm sejak tiga bulan sebelum Ramadhan. Imam yang ditawarkan ini sebaik-baiknya hafis seperti dua imam yang sedia ada, Al-hamdulillah setelah melalui interview dan saringan pihak Jawatankuasa Pemilih menawarkan Jawatan Imam Tarawih kepada seorang pelajar dari Maktab Perguruan Islam Bangi. Sehingga kini  imam-imam, termasuk yang baru dipilih dapat menjalankan tugas dengan baik, khususnya bagi solat tarawih. Dari maklum balas dari jama`ah mereka berpuasjati dengan imam-imam, khususnya yang diambil khas bagi solat tarawih.
Pada bulan Ramadhan, kelas-kelas pengajaran yang diadakan selepas solat maghrib hingga isya` ditangguhkan, kerana masa-masa tersebut diisi dengan kegiatan solat tarawih, tetapi pada bulan Ramadhan ini diadakan ceramah sempena dengan Malam Nuzul Al-Qur`an dan kuliah-kuliah Subuh.
Bagi ceramah sempena Nuzul Al-Qur`an, pihak Ahli Jawatankuasa telah menempah Ustaz Mohd. Shukri bin Yusoff Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat, Wilayah Persekutuan sejak tiga bulan sebelum puasa lagi. Masa diambil awal ini ialah untuk mengelak – dari pengalaman yang lepas, jika tempahan dibuat lewat, maka sukar untuk mendapat penceramah, kerana mereka telah ditempah oleh pihak yang lain terlebih dahlu.
Demikianlah pada malam Selasa , malam Nuzul Al-Quran bersamaa 21 Mei, Ustaz Mohd. Shukri telah menyampaikan ceramah bertajuk
Jadikan Al-Qur`an Amalan  Berterusan.
Menurutnya Al-Qur`an amat dekat dengan jiwa orang Islam. Adalah menjadi kemanisan bagi diri, khususnya pada bulan Ramadhan ini bertilawah dan bertadarrus dengan ayat-ayat Al-Qur`an. Al-Qur`an mempunyai pertalian yang rapat dengan  ibadat di bulan Ramadhan, kerana Al-Qur`an diturunkan pada bulan Ramadhan. Pada bulan ini kita digalakkan untuk bertilawah dan bertadarrus  Al-Qur`an. Di dalam tarawih juga imam-imam berusaha mengkhatamkan Al-Qur`an melalui solat tarawih. Adalah kemanisan membaca Al-Qur`an.
Penceramah menyebut ada tiga halangan yang menyekat diri dari membaca Al-Qur`an, iaitu orang jiwanya lalai, orang yang takabbur dan orang yang dihanyutkan oleh hawa nafsu. Oleh itu elak diri dari terjebak oleh halangan-halangan berkenaan.
Al-Qur1an adalah mu`jizat, dikagumi oleh Jin yang pertama kali mendengarnya (awal Islam), tergenang air mata rahib, apabila pertama kali Al-Qur`an dibacakan kepadanya dan bagi orang-orang yang beriman apabila mendengar Al-Qur`an, makin  bertambah keimanan mereka.
Sesungguhnya Al-Qur`an memberi pertunjuk kepada yang membacanya. Sesungguhnya membaca sahaja Al-Qur`an memberi pahala, tetapi adalah lebih-lebih lagi bermanfaat jika dapat difahami akan-ajaran ayat-ayat Al-Qur`an  dan dapat bertadabbur dari ayat-ayat yang dibaca.
Al-Qur`an mengandungi ilmu-ilmu dan rahsia-rahsia yang dalam. Baca dan hayati nescaya bertambah kefahaman dan penghayatan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment