May 25, 2019

RAMADHAN BULAN IBADAT - PUASA


RAMADHAN  BULAN IBADAT  - PUASA
(Fikrah Bangi:  236),
BBB: 20 Ramadhan 1440H. = 25 Mei 2019M. (Sabtu).
Ramadhan terkenal dengan nama jolokan sebagai `Bulan Ibadah`. Seungguhnya kesemua kegiatan dituntut di dalam bulan ini adalah merupakan ibadah. Tetapi di dalamnya mempunyai ibadah-i`badah yang khusus. Selain dari membaca Al-Qur`an yang bulan ini dikenali sebagai `Bulan Nuzul Al-Qur`an`, maka dalam bulan ini ada tiga tuntutan yang bersifat fardhu di samping sunat bagi tuntutan ini. Tuntutan yang dimaksudkan ialah:
1)      Puasa sebulan Ramadhan
2)      Solat dengan berbagai-bagai solat
3)      Menunaikan zakat
Puasa sebulan Ramadhan adalah identik tuntutan dengan bulan Ramadhan. Ia adal;ah tuntutan fardhu dan ayat mewajibkan puasa sebulan Ramadhan ini adalah ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman, difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardhukan ke atas  mereka mereka yang sebelum dsariupada kamu, semoga kamu bertaqwa`` (Al-Baqarah: 153).
Bagi masjid atau surau persediaan Ramadhan dan pengisian terhadapnya adalah yang penting, bahkan menjadi agenda yang mesti disediakan. Sebagaimana disebut bagi Masjid Al-Umm untuk menyambut bulan ini tiga bulan sebelum tibanya bulan ini telah dibincang di dalam mesyuarat dan dibincangkan di dalam mesyuarat-mesyuarat selepasnya sehinggalah berakhirnya bulan ibadat tersebut.
Bagi masjid dan surau ada yang mengadakan pengajian khusus (fiqh) bagi memahami dan memperbaiki ibadat Ramadhan. Guru-guru yang berkemahiran dengan ibadat Ramadhan dijemput dan mengajar khusus berkenaan dengan ibadat Ramadhan. Selain dari mengadakan pengajaran khusus, siri-siri ceramah berkenaan dengan ibadat Ramadhan juga diadakan. Ini bukan bermakna para jama`ah tidak memahami berhubung dengan ibadat Ramadhan, tetapi dengan mengulangi pengajian dan mendengar ceramah diharap ianya dapat menolong jama`ah memperbaiki dan meningkatkan kualiti ibadah mereka. Jika pengajaran dilakukan, maka kitab-kitab tradisi sering digunakan seperti Sabil al-Muhtadin (bab  Puasa) oleh Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari digunakan atau kitab  Matla` al-Badrayn oleh Syeikh Nik Mat bin Ismail Daud Fatani. Tetapi ada juga yang menggunakan buku-buku moden berhubung dengan puasa yang banyak terdapat di dalam pasaran. Namun pengajian yang menggunakan kitab-kitab yang klasik lebih menarik. Selain dari pengajaran dan ceramah, maka persoalan-persoalan yang berhubung dengan puasa dijadikan bahan tazkirah, biasanya mengirinmgi solat seperti selepas solat maghrib dan subuh dan pada masa-masa yang bersesuaian. Tujuannya adalah sebagai mengulangi pengajaran bagi memperbaikli ibadat puasa.
Puasa dari segi ta`rifnya ialah niat bagi berpuasa pada siang hari dan menjaganya agar tidak berlaku perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa, tetapi ini adalah pada tahap biasa. Puasa ada tahap-tahap dan kualiti. Tahap-tahap ialah tahap biasa sebagaimana disebutkan, iaitu menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Tahap kedua yang lebih tinggi, ialah mengawal diri dari membatalkan pahala puasa, iaitu mengawal mata dari melihat perkara-perkara yang merangsang syahwat, mengawal mulut dari bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah, apa lagi berdusta dan sebagainya, Begitu juga menahan diri dari mendengar perkara-perkara yang melalaikan. Demikianlah juga mengawal panca indera yang lain.
Manakala tahap tertinggi ialah tumpuan hati dan jiwa secara ikhlas bagi meningkat kualaiti hati dan rohani agar dapat capai konsep `Taqwa` yang sebenar-benar sebagaimana di dalam ayat Al-Qur`n di atas. Terdapat berbagai-bagai puasa sunat seperti puasa enam Syawal, puasa Isnin –Khamis dan sebagainya. Puasa sebenarnya adalah merupakan terapi diri dari segi jasmani, hati nurani dan rohani agar diri jasmani dan rohani menjadi insan berkualiti di sisi Allah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment