JAUHARAT AL-TAUHID `AKIDAH MENDALAM
(Fikrah Bangi: 218),
BBB,
3 Ramadhan 1440H. = 08 Mei 2019M. (Rabu).
Berbanding dengan Matan Al-Tahawi dan dengan
Umm al-Barahin (Al-Sanusi), maka Matan Jauharat al-Tauhid adalah lebih lengkap
dan mendalam. Matan Jauharat al-Tauhid adalah disusun di dalam bentuk puisi.
Ianya dikarang oleh Syeikh Ibrahim al-Laqani yang nama penuhnya ialah
Burhanuddin bin Hasan bin `Ali bin `Abdul Quddus al-Maliki al-Laqani dari
Mesir. Beliau adalah belajar di Universiti Al-Azhar dan kemudian menjadi tenaga
pengajar di Universiti al-Azhar dan pernah menjawat jawatan Rektor di
universiti itu. Beliau tidak saja mendalam di dalam bidang akidah, tetapi turut
mendalami bidang Hadith, fiqh dan tasawuf. Beliau meninggal pada 7 Safar 1041
ketika berumur 70 tahun, ketika dalam perjalanan pulang menunaikan haji di
Makkah.. Beliau dikebumikan di atas tanah tinggi mendepani laut Merah.
Jauharat al-Tauhid adalah kumpulan puisi
akidah yang berjumlah 143 bait. Sebagai contoh diperturunkan maksud bagi bait 9
dan 10:
Maka setiap yang ditaklif shara` wajib
Ke atasnya mengetahui apa yang wajib
Bagi Allah, harus dan mustahil
Demikian kepada Rasul berdalil.
Cohtoh lagi
bagi bait 21 dan 22 bermaksud::
Rajih pendapat iman bertambah
Dengan bertambahnya taat kepada Allah
Kurangnya dengan kurang ketaatan
Dikata pendapat tiada pertentangan.
Kandungan Matan Jauharah ialah membicarakan
tentang sifat yang wajib bagi Allah, yang mustahil dan harus. Juga sifat yang
wajib bagi Rasul, mustahil dan harus. Pecahan sifat Allah kepada nafsiah,
salbiah, ma`ani dan ma`nawiyah. Dibicarakan apa itu zat, sifat dan af`al. Disentuh
perbedaan pendapat antara Ash`a-Maturidi. Seterusnya dibicarakan tentang ta`alluq. Seteusnya kepada
rukun-rukun iman yang lain seperti percaya kepada kitab, malaikat, Hari Kiamat soal shafaat dan sebagainya.
Untuk lebih mendalam bagi mempelajari.
Jauharat al-Tauhid ini disyarah oleh pensyarah. Antara yang terkenal dilakukan
oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri (m. 1212H.) dengan judul Tuhfat al-Murid `ala
Jawharat al-Tauhid. Sharah Tuhfat al-Murid terkenal dipelajari pelajar-pelajar
pada peringkat tradisi dan pengajian tinggi.
Di dalam
bahasa Melayu (Jawi), Matan Jauharat l-Tauhid turut disyarah oleh seorang
pengarang dari Sambas pada tahun 1292H. yang tidak disertakan namanya. Kitab Sharah Matan Jauharat al-Tauhid
ini membicarakan berbagai-bagai aspek akidah dan melengkapkan pembicaraan
akidah. Ianya digunakan di dalam pengajian tradisi.
Huraian yang lebih mendalam dilakukan pada
peringkat mutakhir oleh Haji Mujiburrahman dengan judul Jauharat al-Tauhid –
Permata Ilmu Tauhid diterbitkan oleh Pustaka Jiwa Sdn. Bhd. Kuala Lumpur (2000).
Ianya melengkapkan pembicaraan dengan bahasa yang lebih moden.
Kandungan Jauharat al-Tauhid adalah
merangkumi apa yang dibicarakan di dalam Al-Tahawi dan Al-Sanusi. Ketiga-tiganya
mengukuhkan akidah ASWJ.
Sekian.
No comments:
Post a Comment