February 6, 2018

ALU-ALUAN DARI PENGERUSI - PELBAGAI WACANA ILMIAH AKAN DILAKSANAKAN


BBB,  19 Jamadil Awwal 1439H. = 05 Februari 2018 (Isnin):
Sebelum daripada Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri menyampaikan kertaskerja,  Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan alu-aluan. Beliau mengucap terima kasih kepada Prof. Dato` sebagai Penaung bagi AJK, kerana sudi membentangkan kertaskerja. Terima kasih juga kepada Pengulas, Prof. Dr. Amran bin Abdul Kadir dan Dato` Dr. Abdul Wahid Shamsuddin Mantan Timbalan Naib Canselor UKM yang sudi mempengerusikan seminar. Seterusnya terima kasih kepada peserta-peserta seminar yang memberi sambutan hangat dengan kehadiran memenuhi  dewan  seminar.


Menurut Pengerusi, seminar hari ini adalah bersejarah, kerana inilah pertama kali wacana bersifat ilmiah menurut gaya pengajian di universiti di Masjid Al-Umm, juga pertama kali Dewan seminar ini digunakan. Menurutnya tuan-tuan dan puan-puan sama mencipta sejarah bagi masjid ini.
Menurutnya Masjid Al-Umm memang dari awal direkabentuk untuk keselesaan tempat ibadat dan tempat pengajian bagi  berbagai corak pengajian. Selain dari ruang berjamaah biasa yang juga digunakan untuk pengajian berkitab disampaikan oleh guru-guru berwibawa, masjid juga menyediakan Dewan Konvensyen untuk peserta melebihi 1,000 orang, bilik kuliah, bilik perpustakaan, IT dan tahfiz. Selain daripada itu disediakan juga bilik mesyuarat.
Menurut Pengerusi seminar secara bulanan pada hari ini adalah salah satu dari kegiatan akademik pada peringkat permulaan, Ianya salah satu dari keputusan yang telah diambil di dalam Bengkel Bagi Pengimarahan Masjid Al-Umm yang telah diadakan pada 21 September 2014 bertempat  di Hotel Puri Pujangga UKM. Kegiatan-kegiatan ilmiah yang lain yang akan diadakan secara bertahap ialah:
·         Pengajian hujung minggu yang mempunyai kurikulum khusus yang ditawarkan kepada kumpulan yang berminat mengikutinya  di dalam keilmuan-keilmuan terpilih dalam tempoh tertentu
·         Pengajian berpekej yang diadakan dalam tempoh tertentu menurut keperluan kumpulan sebagaimana ditaja oleh Masjid atau oleh pihak lain untuk kumpulan tertentu
·         Kursus pengajian di dalam bidang tertentu dengan kerjasama universiti tertentu di dalam tempoh tertentu dan dikeluarkan diploma atau sijil bagi yang layak.
·         Konvensyen secara tahunanmengenai topik-topik ilmiah yang releven dengan situasi semasa.
·         Mengadakan forum atau kolokium ilmiah secara dwi-tahunan
·         Pengajian Pondok Moden – Menjemput Tuan-Tuan Guru terkenal menyampaikan pengajaran ala pondok dalam tempoh tertentu.
·         Diskusi dan kritikan buku dan kitab
·         Pameran dan demonstrasi seni Islam
·         Perayaan Hari Ilmu dan Penjualan buku
·         Berbagai-bagai kegiatan ilmiah yang releven.
Adalah menjadi hasrat Masjid Al-Umm meningkatkan dirinya sebagai sebuah `Jami`ah (universiti)` sebagaimana pernah dicapai oleh Universiti tertua di dunia iaitu Jami`ah Qairawan di Maghribi dan juga Universiti Al-Azhar di Mesir. Konsep Jami`ah di sini tidak semestinya sebagaimana universiti-universiti yang jumlahnya 20 buah di Bangi dan sekelilingnya, tetapi Masjid Al-Umm mengambil manfaat dari situasi ilmu yang Masjid Al-Umm berada di tengahnya, iaitu dengan menjemput tenaga-tenaga pengajar yang berada di Bangi dan sekelilingnya yang menurut pendapat Profesor Emeritus Shahrir Mohd. Zain, bahawa di Bangi saja terdapat tak kurang daripada 30 profesor dengan ratusan lagi pemegang ijazah Ph. D di dalam berbagai-bagai bidang. Mereka ini dijemput secara berkala dan teratur menurut tema dan bidang-bidang masing-masing, khususnya yang ada hubungan dengan Islam. Kertaskerja dan buah fikiran mereka dirakam dan insya Allah akan diterbitkan. Ini bererti Masjid Al-Umm turut sama menjana keilmuan di dalam berbagai-bagai bidang.  Hasilnya dapat dimanfaatkan oleh generasi kini dan akan datang. Kita berharap kegiatan ini akan sama mendapat dokongan dan tunjangan kewangan serta tajaan dari berbagai pihak. Kegiatan ini secara tak langsung melonjakkan imej Bangi sebagai Bandar Ilmu.


Kembali kepada seminar hari ini. Bahawa seminar pada hari ini adalah permulan bagi siri seminar bulanan. Untuk beberapa bulan akan datang seminar adalah bertemakan masjid. Beberapa pembentang pada masa akan datang sudah dikenalpasti dan mereka membentangkan kertaskerja menurut tajuk-tajuk yang ditentukan kepada mereka. Kertas-kertaskerja di bawah tema masjid ini akan disatukan dan insya Allah akan diterbitkan di dalam bentuk buku. Berbagai-bagai tema pada masa akan datang akan dipilih dan pembentang-pembentang bersesuaian dijemput membentangkan kertas kerja  di dalam tema-tema yang akan dipilih.


Selain dari seminar akan diadakan berbagai kegiatan ilmiah yang disebutkan di atas dan akan dilaksanakan secara bertahap menurut kesesuaian.
Mengakhiri alu-aluannya Pengerusi berharap kegiatan-kegiatan yang akan dijalankan akan terus mendapat sokongan dari tuan-tuan dan puan-puan. Pihak jawatankuasa akan memikirkan cara terbaik bagi segala wacana ilmiah yang akan dijalankan dan diharap mencapai objektif yang ditentukan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment