February 7, 2018

ULASAN DAN PENDAPAT


BBB, 20 Jamadil-Awwal 1439H. = 05 Februari 2018M. (Selasa):
Sesudah sesi pembentangan kertaskerja oleh Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri, Prof. Dr. Amran bin Abdul Majid menyampaikan ulasan. Menurut Dr. Amran, bahawa kertaskerja yang dibentang oleh Prof. Dato` Dr, Ab. Halim adalah lengkap dan jelas dari segi skop, konsep dan apa yang diharapkan dari sebuah masjid, khususnya Masjid Al-Umm. Menurutnya Prof. Dato` Dr. Ab. Halim maukan Masjid Al-Umm:


Agar menjadi sebuah masjid yang unggul. Lantaran itu,  adalah menjadi cabaran kepada pentadbir-pentadbir dan jawatankuasa Masjid Al-Umm bagi mencapai  apa yang digariskan di dalam pembentangan yang disampaikan. Beliau juga sama berharap agar Masjid Al-Umm menjadi sebuah masjid yang mempunyai identiti dan keistimewaannya yang tersendiri.
Ketika majlis dibuka kepada perbinbcangan, ramai yang ingin menyampaikan pendapat. Antara yang terawal ialah Ustaz Ya`kob Mohd. Nor yang mau masjid diimarahkan sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:


``Adapun yang mengimarahkan masjid ialah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, maka semoga mereka adalah dari kalangan yang mendapat hidayah.`` (al-Taubah: 18).
Dr. Tajul Ariffin Nordin melahirkan pendapat dan maukan  Masjid Al-Umm menjadi  masjid yang terkehadapan dari segi penganjuran keilmuan dan menjadi contoh tauladan bagi masjid-masjid yang lain dan menjadi rujukan permasalahan  sesuai dengan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Beliau juga mau masyarakat yang ada di BBB, khususnya para ilmuannya menjadi rujukan dan pendapat oleh pihak luar. Beliau maukan agar Bangi mempunyai pemikir-pemikir yang dikenali dengan `Pemikirn Bangi` yang menjadi rujukan bagi semua hal. Beliau maukan Masjid al-Umm mempunyai identiti tersendiri dan surau-surau di bawahnya yang mempunyai 15 surau bergiat dan mempunyi identiti dan keistimewaan masing-masing. Masjid Al-Umm seharusnya menjadi induk bagi surau-surau berkenaan  dan  terkehadapan dengan segala kegiatan.


Pendapat Dr. Tajul disetujui oleh Prof. Dato` Dr. Abdul Halim. Beliau mau setiap surau di bawah Masjid Al-Umm mempunyai program yang menyokong antara satu sama lain tetapi bukan bertanding antara satu sama lain. Tiap-tiap satu daripadanya hendaklah lengkap melengkapi dan bekerjasama rapat dengan Masjid al-Umm.
Puan Hajah Kasmani mencadangkan agar Pengetua dan Guru Besar sekolah dan PIBG dijadikan sebahagian daripada AJK masjid agar masalah pelajar sekolah yang berdekatan dengan masjid itu dapat ditangani dan mereka dididik dengan baik. Beliau juga mau ditubuhkan jawatankuasa pemuda yang dapat mengendalikan persoalan anak muda dan remaja.
Sedang saudara Abdul Qawi bin Abdul Halim mencadangkan agar dlibatkan para pelajar lepasan SPM  dengan kegiatan masjid..
Seterusnya Haji Arief Shahrani maukan masjid mempunyai kerjasama melalui kerajaan Malaysia dengan kerajaan `Arab Saudi, misalnya melalui kedutaan `Arab Saudi  di sini. Beliau juga mau program yang dijalankan di masjid melibatkan surau-surau yang menunjukkan kerjasama antara kedua pihak dan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh masjid.  Beliau juga mencadangkan Al-Marhum Dato` Dr. Haron Din yang berjasa dengan masjid al-Umm diberi penghormatan dengan menamakan salah sebuah dewan di Masjid al-Umm dengan Dewan Dr. Haron Din.
Cadangan memberi nama ini disetujui pembentang dan disokong para peserta.
Seterusnya Puan Hjh. Jalilah Mail mau dicari jalan agar semua surau menarik ahli jamaah masing-masing dan turut sama mengimarahkan masjid.


Manakala saudara Roslan Ariffin, Penolong Pengetua Kanan  Sekolah Menengah Kebangsaan BBB (SMKBBB)  mengucapkan terima kasih di atas jemputan masjid dan maklum tentang tingkah laku pelajar-pelajar dan sedia bekerja sama  dengan pihak masjid bagi mengatasi masalah dan membimbing mereka. Dan pada akhirnya, sebagai mengakhiri pembentangan, kata Prof. Dato` Dr. Ab. Halim,
``Saya  amat berterimakasih kepada semua yang memberi pendapat``.
Beliau berpendapat cadangan-cadangan yang disampaikan peserta-peserta melengkapkan kertaskerja dan lebih penting cadangan-cadangan berkenaan haruslah dipertimbang bagi diambil tindakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment