February 27, 2018

KEPERLUAN BAGI PEMBINAAN FIZIKAL MASJID



BBB,  10 Jamadil Akhir 1439H. = 26 Februari 2018M. (Isnin):
Antara keperluan yang mungkin tidak berkaitan dengan enakmen masjid secara langsung, tetapi perlu apabila sesudah mendapat keizinan dari pihak berkuasa dari segi gezet tanah, keizinan mendirikan masjid oleh JAIS-MAIS dan juga kebenaran memungut derma, maka perkara penting bagi pembangunan fizikal masjid ialah:
1)      Keperluan peringkat awal ialah Arkitek
Arkitek bagi binaan ini ibarat apa yang ada di dalam minda bagi  bentuk bangunan yang mau didirikan. Sebelum sesebuah masjid mau didirikan perlu kepada `Rangka Gambaran Awal` yang digaris dan dilukis oleh arkitek. Arkitek ialah pihak yang diminta oleh yang mau membina melakarkan gambaran bentuk masjid dan spesifikasi setiap kandungan di dalamnya seperti lantai,  tiang, dinding, kubah, menara, mihrab dan sebagainya ke dalam lakaran lukisan bagi semua bahagian berhubung dengan binaan masjid. Kerja sedemikian memerlukan kepakaran. Yang pakar di dalam bidang ini dikenali sebagai arkitek. Apa yang diingini oleh pemilik dilakarkan secara detail sebagai gambaran awal. Dengan adanya akitek ini dapat menghasilkan plan yang lengkap. Plan yang dihasilkan perlu dihantar kepada pihak perbandaran untuk dinilai dan diluluskan. Tanpa kelulusan maka pembinaan tidak dapat dijalankan.  Dengan plan ini diikuti oleh pekerja-pekerja kontrektor yang mahir berhubung dengan plan dan diperturunkan kepada bentuk binaan yang konkrit dan realiti. Dengan adanya arkitek yang menghasilkan plan arkitek melicinkan pembinaan, plan dapat  dijadikan rujukan oleh pemilik, pembina dan pihak pemeriksa misalnya dari Majlis Perbandaran bagi memastikan ketepatannya.
2)      Keperluan kepada Kontrektor
Kontrektor ialah pihak yang sanggup membina masjid berdasarkan plan yang diluluskan dan juga kontrektor menilai kos yang ditawarkan oleh pihak pemilik sama ada menguntungkan atau sebaliknya. Kontrektor ialah pihak yang berpengalaman di dalam pembinaan dan mempunyai sejumlah pekerja mahir  di dalam bidang-bidang pembinaan. Selain dari kos menjadi perkiraan kontrektor, faktor masa atau tempoh yang dikehendaki siap. Apakah ada kemampuan pekerja, di samping itu yang menjadi perkiraan ialah bahan-bahan bagi binaan bolehkah didapati dengan mudah dan tidak terganggu. Jika dari segi perkiraan menguntungkan, maka kontrektor adalah orang yang sanggup membina dan menghadapi kemungkinan-kemungkinan risiko yang dijangka dapat di atasi. Kelicinan pembinaan juga bergantung pada cash flow dari pihak pemilik mengikut tahap-tahap bayaran yang diperlu mengkut perjanjian. Jika berlaku masalah kewangan – tidak dapat menjelaskan bayaran, maka pembinaan terganggu, dan merosakkan perjalanan yang lain termasuk tempoh siap pembinaan tidak dapat disiapkan dalam masa yang dijanjikan.
3)      Keperluan kepada Perunding-Perunding
Bagi pembinaan yang  berskala besar dan melibatkan kos yang tinggi, agar tidak berlaku penyelewengan, kesilapan, kerosakan atau tidak berjalannya projek, maka dari segi perkiraan adalah wajar dan menguntungkan  bagi pemilik melantik  atau mendapat fikiran dari mereka yang mempunyai kemahiran di dalam bidang-bidag berkaitan  dengan pembinaan. Mereka dikenali sebagai Perunding. Antara perunding yang dilantik yang menjaga kepentingan pemilik dan membuat cadangan-cadangan bagi kebaikan pembinaan ialah:
a)      Kejuruteraan Awam
Melibatkan misalnya struktur dan kaedah pembinaan, atap yang bersesuaian dengan keadaan cuaca yang hujan dan panas, perparitan, kemudahan dalaman bagi orang biasa, lebih-lebih bagi orang kurang upaya, kesesuaian kedudukan sesuatu binaan, misalnya menara dan sebagainya. Tugas bagi kejuruteraan awam adalah melibatkan keseluruhan binaan, bahkan kawasan, termasuk jalan. Dia mempastikan segala teratur dan berjalan dengan baik.
b)      Perunding Mekanikal dan Letrik
Bidang yang penting diberi perhatian, khususnya dari segi kaedah pembinaan dan keselamatan dari segi  penggunaan selepas siap diguna dan dipasang. Begitu juga perlu ketelitian dari segi pemasangan bahan-bahan dan saliran elektrik, seperti lampu, kipas  air-cond. , pembesar suara dan sebagainya, tanpa kepakaran dan ketelitian boleh menjadi merbahaya, bahkan boleh menyebabkan kebakaran.
c)       Perunding Ukur Bahan
Pihak jurukur bahan menasihati pemilik atau jawatankuasa seperti masjid tentang apa-apa bahan yang patut dibeli, menyatakan tentang kualiti dan berapa jumlah dan kuantiti agar bahan yang dibeli tidak  berlebihan dan merugikan, atau berlaku kekurangan. Jurukur bahan mempastikan semua bahan  menurut spesifikasi yang dikehendaki dan tidak merugikan, termasuk menolak mana yang tidak menepati dengan kualiti yang dikehendaki.
4. Kewangan
Dana  yang sepatut ada pada pemilik sesuai dengan kos binaan. Ianya dapat dilunaskan menurut keperluan dan perjanjian.  Sesungguhnya jika pihak pemilik tidak pakar atau tidak ada masa, maka urusan kewangan dikendalikan pihak yang dilantik oleh pemikik menguruskannya.
Demikian antara keperluan bagi pembinaan yang dengannya melicinkan pembinaan yang berskala besar.
Sekian.

No comments:

Post a Comment