BBB, 29 Jamadil Akhir 1439H. = 15 Februari
2018M. (Khamis):
Plan pembinaan pada asalnya ialah apa yang ada
di dalam minda seorang pemilik yang mau membina bangunan di atas tanah
miliknya. Jika rumah kediaman, maka sudah ada rangka di dalam pemikirannya bentuk rumah yang didamkan.
Mungkin rumah kayu bertiang tinggi ) di bawahnya ruang kosong antara
tiang-tiang - rumah kampung) dengan
beberapa bilik dengan beratap bata lama dan dibelakangnya dikorek telaga sebagai sumber air. Maka dengan
tenaganya dan pembantu-pembantu dapat diperturunkan plan di dalam mindanya
kepada realiti bentuk bangunan yang disiapkan sebagaimana
diinginkan.
Namun bagi mendirikan rumah tidak semua
pemilik berkemampuan untuk membina sendiri, apa lagi jika lokasinya melibatkan
kawasan rumah dalam taman teratur,
bahkan masuk dalam kawasan perbandaran, maka binaan tidak boleh dibuat
sembarangan perlu kepada plan arkitek yang diluluskan. Tujuannya adalah supaya
bangunan kediaman teratur, tidak merosakkan pandangan, mudah diuruskan misalnya
dari segi jalan dan bagi memasukkan letrik, paip air, pembetungan, telefon dan
sebagainya. Mudah pula dari segi pengurusan sampah, penghantaran barang-barang
kerana berada di tempat yang teratur dan sebagainya.
Lokasi dan tapak Masjid Al-Umm
adalah berada pada pertengahan
Bandar Baru Bangi. Sebab itu ia
tertakluk pada aturan Perbandaran Kajang di bawah Daerah Hulu Langat, maka plan
pembinaannya hendaklah diluluskan oleh pihak Majlis perbandaran Kajang. Urusan
penyiapan plan ini hendaklah dilakukan jauh lebih awal sebelum dilakukan
pembangunan. Bangunan tidak dapat didirikan sebelum kelulusan plan didapati.
Pada dasarnya untuk membuat plan perlu kepada
kepakaran dari segi arkitek. Plan tidak
boleh dibuat lakaran sembarangan tetapi menurut spesifikasi plan yang diterima
dan diluluskan oleh pihak perbandaran. Sebagaimana pembinaan memerlukan kepada
kontrektor yang berwibawa yang dapat membina binaan dengan baik dan bermutu, demikianlah pada
dasarnya keperluan kepada arkitek. Bermaksud memerlukan arkitek yang berlesen,
mampu membuat plan bangunan, di sini masjid Al-Umm yang diinginkan.
Sebagaimana telah disebutkan sebelum ini di
dalam jawatankuasa Pembangunan telah dibawa masuk ke dalam jawatankuasa sejak
penyusunan semula jawatankuasa sejak Ogos 2012 lagi. Jawatankuasa yang dibawa
masuk sebagai ahli jawatankuasa ialah Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad. Sebagai orang yang berpengalaman di dalam
bidang arkitek beliau banyak memberi
pendapat dan membantu Ahli Jawatankuasa dari segi arkitek, bahkan menyediakan
rangka plan arkitek bagi Masjid Al-Umm.
Dengan keadaan demikian keperluan memilih arkitek secara iklan dan interview
tidak berlaku. Beliau seolah-olah diterima sebagai arkitek bagi Masjid Al-Umm.
Jika dapat dikira sebagai kekurangan, maka ia adalah kekurangan, lantaran tidak
berlaku pemilihan secara iklan dan pemilihan secara interview bagi pemilihan
arkitek. Demikianlah kedudukan dari segi arkitek bagi Masjid Al-Umm. Dilihat
dari segi Takmilah, ianya adalah bercanggah dengan prinsip Takmilah yang
prinsipnya ialah mencari yang terbaik sesuai dengan falsafah Takmilah.
Implikasinya akan berlaku pengubahsuaian bagi mencapai Takmilah yang mungkin
tidak tercapai sepenuhnya.
Tuan Ar. Raja Fuaddin, sungguhpun tinggal di Seksyen
2, Bandar Baru Bangi dan bekerja sebagai arkitek, yang firma arkiteknya yang
beliau menjadi partnernya ialah berpangkalan di Perlis yang beralamat penuhnya
ialah:
Arkitek Urusbina,
No. 47, Taman Sri Medan,
Jalan Raja Syed `Alwi,
0100 Kangar, Perlis.
Kejauhan tempat (Ibu Pejabat) sebenarnya tidak menghalang dari
segi pengurusan lantaran wujudnya berbagai kaedah komunikasi moden dengan
cawangan di Bangi.
Sejak menjadi ahli Jawatankuasa Pembinaan
Masjid Al-Umm beliau telah merangka plan
bagi Masjid Al-Umm dan telah dibentangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Ahli
Jawatankuasa secara bertahap dan dibincangkan dalam mesyuarat yang pada
peringkat awal (sebelum ditubuhkan jawatankuasa Teknikal pada awal 2013) dan
dihadiri oleh kontrektor dan perunding-perunding atau wakil-wakil mereka.
Sebagai hasil awal pihak arkitek yang diketuai oleh Ar. Tuan Raja Fuaddin Raja
Ahmad telah mempamerkan aspek arkitek (plan awal) bagi Masjid Al-Umm dalam
Pameran mengenai Masjid Al-Umm, semasa Lawatan Kerja Yang Amat Berhormat Tan
Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 Januari 2013 merasmikan tapak Masjid
Al-Umm yang dikenali dengan Majlis Mesra Kenduri Kampung Bersama YAB Dato`
Menteri Besar Selangor. Pameran ini adalah dilawati oleh YAB Dato` Menteri
Besar Selangor. Plan yang dipamerkan ini belum diangkat ke pihak MPKj. Ianya
adalah pada peringkat persiapan awal.
Sekian.
No comments:
Post a Comment