BBB, 08
Jamadil Akhir 1439H. = 24 Februari 2018M. (Sabtu):
Seminar Masjid Al-Umm kali kedua yang
berjudul, `Enakmen dan Cabaran Mendirikan Masjid Al-Falah, Sungai Ramal Dalam,
Kajang, Selangor Darul Ehsan bertempat
di Dewan Seminar, Tingkat Satu, Masjid Al-Umm banyak memberi maklumat kepada
hadirin dan bermutu. Seminar disampaikan secara berkertaskerja oleh Dr. Ideris
Endut, Timbalan Nazir Masjid Al-Falah yang juga Bekas Pensyarah di Fakulti
Islam, UKM. Kehadiran tidaklah seramai sebagaimana seminar pada kali pertama (3
Februari 2018), iaitu cuma 24 orang, namun
mutu seminar bukan ditentukan oleh ramai atau kurangnya peserta. Jumlah
24 orang sudah cukup bagi menghidupkan seminar. Seminar yang dikendalikan oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin Bekas YDP Persatuan
Penduduk Bandar Baru Bangi dan Bekas Profesor Madya di Fakulti Pendidikan UKM.
Kertas yang dibentangkan oleh Dr. Ideris Endut ini dibahaskan oleh Ir. Ishak
bin Haji Arshad Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan
Masjid Al-Umm dan juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Pembinaan Masjid
Al-Umm.
Seminar ini dikatakan bermutu kerana tajuk
yang dipilih adalah sesuai dan semasa kerana masjid yang dikaitkan dengan
enakmen adalah sama-sama dalam
pembinaan. Masjid Al-Umm hampir siap sepenuhnya dan menunggu pemeriksaan
terakhir dari pihak Bomba bagi mendapat CCC selepas mendapat CPC pada
14.12.2017 yang lepas, manakala Masjid Al-Falah Sungai Ramal dalam progress
pembinaan dan siap lebih dari 60%. Kedua-dua masjid ini bergantung pada derma
dan waqaf orang ramai sebagai dana pembinaan. Kedua-dua masjid ini berada di
atas tapak seluas dua ekar dan bagi menjimatkan ruang kedua-dua masjid adalah 3
tingkat yang bagi Masjid Al-Umm mampu memuat para jamaah sampai 4,000 orang,
manakala bagi Masjid Al-Falah Sungai Ramal Dalam mampu memuatkan jamaah sebagaimana
kata Dr. Ideris Endut dapat menampung jamaah antara 5.000 hingga 6,000 jamaah.
Jadi pendekatan pembicaraan Masjid Sungai Ramal dapat dilakukan secara
perbandingan antara kedua masjid yang mempunyai banyak kesamaan dan juga
kelainan.
Seminar dapat mencapai mutu yang baik dan
berinformasi oleh kerana mereka yang terlibat bercakap dan membentangkan
kertaskerja ialah mereka yang terlibat secara langsung berhubung dengan masjid
yang dibicarakan. Pembentang , iaitu Dr. Ideris Endut orang yang terlibat
dengan Masjid Al-Falah Sungai Ramal sejak 15 tahun lepas dan kini menjadi
Timbalan Nazir bagi Masjid Al-Falah (Lama). Beliau tidak menjadi AJK Masjid
dalam pembinaan bagi menggantikan masjid lama – sengaja tidak mau
mencampuradukkan antara AJK Masjid al-Falah (Masjid Lama) dengan yang baru dari
segi pentadbiran, tetapi kedua-dua adalah bekerjasama, terutama dari segi
mendapatkan dana. Beliau amat arif
tentang pembinaan Masjid baru Sungai Ramal Dalam dan berkerjasama rapat
dengan pengerusinya Dato` Haji Maulud dan Timbalan Pengerusinya Tuan Haji
Ismail dan AJK-AJK yang lain.
Selain dari Dr. Ideris Endut yang
membentangkan kertaskerja, mereka yang
bercakap dan mengendalikan seminar adalah mereka yang mempunyai pengalaman dan terlibat secara langsung di dalam pembinaan masjid. Dr. Tajul Ariffin
Noordin selaku pengerusi seminar adalah merupkan AJK Pembangunan dan Pengimarahan
Masjid Al-Umm yang tahu tentang pembinaan dan perkembangan Masjid Al-Umm
(Beliau juga membangunkan Kompleks Pendidikan Islam Bangi). Ir. Haji Ishak
Arshad adalah seorang engineer dan telah berkhidmat di Fakulti Kejuruteraan, di
Fakulti Engineering, UKM dan sebagaimana telah dikatakan beliau adalah
Timbalan Pengerusi JK Pembinaan dan
Pegimarahan Masjid Al-Umm di samping mengetahui bahagian Teknikal. Manakala
Pengerusi – Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi
Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm terlibat dengan
perancangan bagi pembinaan Masjid Al-Umm sejak tahun 2010 lagi.
Seminar ini memberi maklumat tentang aturan dan
enakmen yang perlu diketahui bagi mereka yang bercadang untuk mendirikan
masjid. Ahli kariah juga wajar memahami tentang enakmen, syarat-syarat yang
diperlukan bagi pembinaan masjid, kaedah-kaedah dan keperluan bagi pembinaan
masjid dan bagaimanakah kaedah mendapat dana bagi pembinaan masjid.
Mengaitkan anekmen dengan Masjid Sungai Ramal
Dalam dan membandingkan dengan pembinaan Masjid Al-Umm memberi kefahaman antara
persamaan , perbedaan, apakah keistimewaan kaedah yang diambil oleh AJK Masjid
Sungai Ramal berbanding dengan kaedah yang
dilakukan oleh AJK Masjid Al-Umm. Apakah manfaat-manfaat yang didapati
dan mungkin kurang tepatnya pendekatan yang diambil. Sesugguhnya jika seminar
pembinaan bagi kedua masjid berkenaan diadakan pada peringkat awal sebelum
pembinaan nescaya lebih banyak faedah didapati dan banyak kaedah yang baik
dapat diikuti dan banyak perkara yang
tidak menguntungkan dapat ditinggalkan.
Banyak perkara dapat dimanfaatkan oleh kedua pihak. Walau bagaimana dengan
seminar yang dijalankan masih ada peluang bagi kedua pihak memperbaiki diri dan
memberi faedah bagi kedua-dua masjid.
Sekian.
No comments:
Post a Comment