BBB, 17 Jamadil Awwal 1439H. = 03 Februari
2018M. (Sabtu):
Masjid, khususnya Masjid a-Umm memang didesign
bagi memenuhi fungsi sebagai Pusat Ibadat, Pengajian (Pendidikan) dan kegiatan kemasyarakatan.
Bagi tujuan pengajian dari segi fizikalnya
pada aras utama adalah bagi kegiatan ibadat dan pengajian, manakala pada
aras satu (di atasnya) diwujudkan berdasarkan plannya ruang solat muslimat,
bilik seminar, bilik-bilik kuliah, perpustakaan dan bilik IT di samping terdapatnya
bilik mesyuarat. Manakala dewan bawah tanah, adalah boleh digunakan sebagai
Dewan Konvensyen (bagi peserta yang lebih ramai), di samping boleh digunakan
untuk berbagai-bagai majlis termasuk majlis sambutan dan perkahwinan. Kalau
dilihat ruang-ruang yang disediakan kebanyakannya ialah untuk kegiatan
keilmuan. Dan sememangnya menjadi objektif bagi mendirikan Masjid al-Umm (sudah
tentulah tujuan bagi Ibadat), ialah
menjadi mekanisme melonjakkan Bangi sebagai Bandar Ilmu.
Adalah dirangka dan disusun bahawa beberapa pendekatan pengajian yang akan
diadakan di Masjid Al-Umm, iaitu:
1) Pengajian keilmuan-keilmuan agama secara berkitab
yang sedang berjalan.
2) Pengajian secara akademik
3) Berbagai cara dan pendekatan yang lain.
Setelah Masjid al-Umm mulai digunakan pada 16
Disember 2017, maka pada hari ini Masjid al-Umm memulakan pengajian bersiri
secara akademik bertempat di Dewan Seminar yang lengkap dan canggih di aras
satu bangunan masjid tersebut. Siri pengajian permulaan mengambil tema
`Masjid`.
Maka bagi memulakan pengajian ilmiah secara
akademik ini sengaja diatur dan dijemput Ybhg. Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri
Penaung Masjid al-Umm yang juga Rekor Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor (KUIS) membentangkan kertaskerja berjudul:
``Masjid Memartabatkan Masyarakat: Konsep Dan
Pelaksanaan (Rujukan Masjid Al-Umm)``.
Pada 03 Februari 2018, Jam 9.30 pagi Bilik
Seminar Masjid al-Umm.
Al-Hamdulillah seminar pada hari ini
mendapat sambutan peserta dengan
memenuhi dewan seminar yang memuatkan seramai 100 orang peserta.
Seminar pagi ini dipengerusikan oleh Dato` Dr.
Abdul Wahid Shamsuddin Mantan Timbalan Naib Canselor UKM dan kertas dibahaskan
oleh Prof. Dr. Amran Abdul Kadir dari Fakulti Sains UKM.
Selepas kata-kata alu-aluan disampaikan oleh
Pengerusi Pembinaan dan Pengimarahan Masjid al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Prof.
Dato` Dr. Abdul Halim yang menyiapkan kertaskerja secara lengkap dan bersifat
akademik itu tidak menyampaikan kertas sebagaimana di dalam kertas yang
disusunya (bakal diterbitkan), sebaliknya bercakap secara sponton mengenai perkara-perkara yang
releven dan patut diberi perhatian oleh Masjid al-Umm.
Prof. Dato` Dr. Abdul Halim bertolak sebagai induk
pembicaraannya melihat :
``Masjid Pusat bagi pembangunan`` - baik dari
segi ibadat, pendidikan dan kemasyarakatan.
Masjid yang diambil dari kata dasar `sajada`
`sujud` dan masjid adalah tempat sujud sudah mencerminkan bahawa masjid tempat
ibadat yang kita melahirkan kepatuhan kita kepada Allah dengan sujud –
bersolat, bukan setakat solat lima waktu, tetapi solat-solat sunat yang lain, juga tempat tadarus al-Qur`an
baik secara berkumpulan (lebih baik) atau perseorangan, juga tempat beriktikaf
di dalam ruang yang dikira sebagai masjid.
Prof. Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri yang pakar
di dalam bidang pendidikan mau masjid menjadi tempat yang menjadi sumber pendidikan yang
berkualiti bagi semua peringkat dan memberi khidmat dan terbuka kepada masyarakat selama 24 jam.
Beliau memberi contoh masjid yang baik dan menjadi tarikan bagi masyarakat ialah seperti Masjid
Salahuddin – Masjid Negeri Shah Alam. Masjid ini mempunyai program ibadat dan
pengajian secara teratur dan terancang dengan ibadat dan pengajaran oleh
guru-guru yang terbilang. Menurut Prof. Dato`, ``Kerana tertarik untuk
beribadat dan mengikuti pengajian, bukan saja pada bulan Ramadhan, tetapi pada
masa-masa yang lain ada mereka yang di luar dari Shah Alam sengaja datang
menyewa bilik hotel berdekatan masjid
dan datang bersama beribadat dan mengikuti pengajian-pengajian yang
dianjurkan oleh masjid itu dalam tempoh
tertentu.``
Menurutnya ini adalah contoh terbaik yang
dapat diikuti oleh Masjid al-Umm di dalam mengendalikan masjid. Ia bergantung
pada jawatankuasa yang mengendalikan masjid yang bersifat pro-aktif yang
sentiasa kreatif dan inovatif dari segi pimpinan dan kegiatan yang melibatkan
semua pihak. Prof. Dato` juga menyebut di dalam mengendalikan masjid mesti ada
CEO yang cekap yang mengendalikan semua
kegiatan masjid dan tidak hanya
bekerja sebagai pegawai di pejabat, tetapi turun samadi dalam semua persoalan
yang berhubung dengan masjid.
Sebagai Rektor KUIS, beliau menyebut, pihak
KUIS telah merangka kursus pada peringkat diploma pentadbiran masjid yang harus
diikuti oleh nazir dan pengerusi-pengerusi surau. Kelak menurutnya, untuk
menjadi nazir di masjid-masjid dia seharusnya mempunyai diploma pentadbiran
masjid. Keperluan ini bukan saja dikehendaki berkelayakan diploma pentadbiran
masjid di Selangor, tetapi diterima pakai oleh beberapa negeri yang lain.
Menurut Prof. Dato`, pihak KUIS sedia
bekerjasama dengan pihak Masjid al-Umm, berhubung dengan latihan pentadbiran,
pemilihan imam, bilal dan memilih tenaga-tenaga pengajar yang berkelayakan.
Perkara ini menurutnya, terbuka untuk rundingan.
Bersambaung ...
Sekian.
No comments:
Post a Comment