February 21, 2018

SENIBINA ADALAH SENIJIWA : MOHON KELULUSAN PLAN DARI MPKJ



BBB,  04 Jamadil-Akhir 1439H. = 20 Februari 2018M. (Selasa):
Beberapa tahap penting perlu dilalui, sebelum dapat dilakukan pembinaan fizikal  Masjid Al-Umm.
Tahap-tahap yang dilalui dan mendapat kelulusan ialah:
1)      Gezet Tanah oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mendirikan masjid
2)      Mendapat keizinan dari JAIS bagi mendirikan Masjid
3)      Mendapat keizinan dari MAIS bagi memungut derma bagi masjid.
Tahap selanjutnya ialah mendirikan bagunan fizikal bagi Masjid Al-Umm. Tapi sebelum dapat mendirikan  masjid, maka seharusnya (mesti) mendapat kelulusan plan dari MPKj.
Sebagaimana telah disebutkan bagi menyiapkan plan pembinaan adalah dilakukan  oleh Syarikat Urusbina dari Perlis yang partner dalam syarikat ini tinggal di Seksyen 2 Bandar Baru Bangi dan tidak jauh dari tapak bagi Masjid Al-Umm. Beliau adalah Tuan Ar. Raja Fuaddin bin Raja Ahmad yang juga adalah ahli jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau melalui syarikat Urusbinanya ditugaskan menyiapkan plan arkitek bagi Masjid Al-Umm.
Seorang arkitek adalah seorang yang seharusnya berjiwa seni dan biasanya mampu menghayati elemen-elemen alam dari segi bentuk dan struktur sesuatu yang memberi ilham baginya menggubah dan mereka bentuk, khususnya dari segi binaan. Takmilah bagi sesebuah bangunan tidak semata-mata dari susunan batu-batu konkrik, tiang, lantai dan atap, tetapi seharusnya ada elemen estetika yang menyempurnakan jiwa dan rupa bentuk sesuatu bangunan. Ciri-ciri estetika yang merupakan pancaran dari jiwa arkitek  menjadi identiti baginya.  Misalnya arkitek Hijaz Kasturi  terkenal dengan bangunan yang teradun dari elemen moden dan klasik. Raja Baharin terkenal menggunakan elemen rumah tradisi di Terengganu yang terkenal dengan rumah peleh  berbuah butung pada bumbung bangunan. Elemen tradisi yang digunakan dapat dilihat pada bangunan Muzium Negeri Terengganu.
Sebagaimana telah disebut pada kebiasaannya, terdapat tiruan dari yang sebelumnya bagi sesebuah bangunan. Dari tiruan ini ditambah dengan unsur kreatif dan inovasi oleh pereka-perekanya. Dalam hubungan dengan Masjid Al-Umm  arkiteknya , khususnya Raja Fuaddin adalah seorang ahli seni yang pengaruh seni tercermin pada wataknya yang lembut dan halus tuturkatanya. Sebagai arkitek bagi Masjid  Al-Umm mewakili syarikatnya, ia tidak lari dari meniru dari elemen masjid yang ada sebelumnya. Antara yang ketara elemen yang sama ialah kubah, menara dan elemen-elemen bulat dan lengkung yang ada pada masjid. Banyak elemen timur tengah di samping tempatan. Tidak mudah sebenarnya untuk menyediakan plan arkitek bagi masjid al-Umm yang setiap bahagian dari masjid sebagaimana telah dibincangkan hendaklah dilakarkan di dalam plan dengan ukuran-ukuran khusus dan tepat.  Plan permulaan disediakan oleh Tuan Ar. Raja Fuaddin adalah untuk pameran  pada Majlis Pelancaran Derma bagi Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012.
Plan ini  dipertingkat dan dibincangkan di dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa pembinaan Masjid Al-Umm. Beliau sendiri tidak terlepas dari kecaman bila berlaku ketidak tepatan dari plan, atau tidak memenuhi perubahan  tambahan yang sepatut dilakukan. Pada satu peringkat dianggap tidak berkemampuan menyediakan plan arkitek yang memuaskan bagi kehendak Masjid Al-Umm, kerana walaupun Syarikat Urusbina telah banyak menghasilkan plan arkitek bagi bangunan, tetapi ini adalah merupakan kali pertama bagi syarikat berkenaan menyediakan plan arkitek bagi sebuah masjid.
Setelah melalui perbincangan yang agak lama , maka plan bagi Masjid Al-Umm baru dapat disiapkan sekitar  bulan Ogos 2012 maka plan bagi Masjid Al-Umm baru dapat diangkatkan kepada pihak MPKj yang memerlukan kepada 21 salinan yang setiap satu dikemukan bagi jabatan-jabatan  yang berjumlah 21 jabatan itu (Contoh, Bomba, JKR, Perparitan, Alam Sekitar TNB, Air,  dan sebagainya).
Untuk mendapat kelulusan pula memakan masa, kena tunggu kelulusan mesyuarat antara jabatan di MPKj, jika  ada perkara yang tidak menepati kehendak, misalnya dari segi keselamatan, perlu dibaiki dan perlu menunggu kelulusan mesyuarat yang lain. Ini menyebabkan kelewatan hingga pada satu masa Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm menulis surat kepada YDP MPKj  pada 8 Oktober 2012 untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MPKj dan rundingan  diadakan berikutnya, walaupun nampaknya mudah dan tidak sangat  bermasalah, tapi tidaklah mudah untuk mendapat kelulusan
Sesudah berbagai usaha dilakukan dan kontrektor mulai masuk tapak bagi pembinaan pada 10.12, 2013  maka barulah kelulusan didapati. Rujukan kelulusan ialah Bil. 11 dlm. MPKj 8/P/2/2013. Surat kelulusan diperoleh pada 16 Disember 2013. Ini bererti urusan bagi mendapat kelulusan plan arkitek bagi pembinaan memakan masa lebih dari setahun !
Sekian.

No comments:

Post a Comment