BBB, 06 Jamadil Akhir 1439H. = 22 Februari
2018M. (Khamis):
Pada malam Juma`at yang berkat ini pihak
Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm meraikan kejayaan Hafiz Muda Mukhail
bin Lukman (9 tahun) menjuarai pertandingan Hafaz Al-Qur`an yang dianjurkan oleh TV Hijrah pada
pertengahan Februari ini. Muhammad Mikhail adalah anak kepada tokoh Qari al-Qur`an terkenal Dr. Lukman bin Ibrahim yang selalu
muncul dalam slot bimbingan Al-Qur`an dalam beberapa tv, khususnya TV Al-Hijrah. Beliau yang
merupakan Pensyarah di USIM adalah merupakan ahli kariah bagi Masjid Al-Umm.
Keizinan untuk meraikan Muhammad Mikhail telah dipohon dari Dr. Lukman dan
beliau sekeluarga datang memeriahkan lagi Majlis keraian.
Majlis Keraian bermula selepas solat Maghrib
dengan pengacara Ustaz Ahmad Hasbullah menjemput Pengerusi Masjid berucap
ringkas. Beliau menyatakan Majlis keraian diharap menjadi contoh kepada
murid-murid yang datang untuk meminati
Al-Qur`an dan juga contoh bagi ibubapa mendidik anak-anak mereka agar tidak
lupa dari mendidik anak-anak dengan pengajian Al-Qur`an, kalau dapat menjadi
seperti Muhammad Mikhail, kalau pun tidak menjadi johan, dapat dijadikan amalan
dalam kehidupan seharian. Menurut Pengerusi pihak Masjid al-Umm mau menjalinkan
hubungan yang baik dengan sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan yang berjiran
dengan Masjid al-Umm. Kita mau sama mendidik anak-anak dengan didikan keislaman
dengan menjadikan mereka `Mesra Masjid`.
Pihak Masjid telah menubuhkan Biro Belia yang akan mengendalikan
kegiatan-kegiatan yang sesuai untuk mereka dengan kerjasama pihak sekolah.
Menurut Pengerusi, kita mau menjadikan suasana
setempat berorientasikan ilmu yang melibatkan semua peringkat dari murid-murid
dan pelajar-pelajar, kita menyediakan pengajian bagi semua peringkat di Masjid
dan pengajian bertaraf tinggi seperti kegiatan seminar dan berbagai wacana
ilmiah. Beliau menjemput semua pihak melibat dan menghadiri kegiatan-kegiatan
keilmuan yang memperkukuhkan Bangi Bandar Ilmu. Beliau megucapkan terima kasih
kepada semua pihak yang memberi sumbangan bagi Majlis Keraian.
Muhammad Mikhail dijemput menyampaikan tilawah
Al-Qur`an di hadapan para jamaah yang berjumlah lebih kurang 700 orang.
Muhammad Mikhail yang masih anak-anak itu
mempunyai suara yang terang dan mengalunkan Al-Qur`an dengan jelas dan secara tarannum sebagai
seorang Qari berpengalaman. Beliau membaca:
1) Surah Al-Fatihah sebagai pembukaan
2) Sebahagian dari Surah Al-Rahman
3) Sebahagian dari Surah Al-Waqi`ah
Bacaannya yang fasahah dan berlagu itu
mempesonakan pendengaran para jamaah. Dan memang selayaknya beliau menjadi
Johan Tilawah sebagai Hafiz Muda.
Selepas Muhammad Mikhail menyampaikan tilawah
Al-Fadhil Dr. Lukman dijemput menyampaikan ucapan, beliau diminta bercakap
tentang, bagaimana beliau mendidik anak-anak. Beliau menyebut, bahawa agak berat
untuk bercakap tentang mendidik anak-anak sendiri, takut ianya sebagai memuji
diri.
Secara ringkas beliau menyatakan, para bapa,
termasuk saya, kata Dr. Lukman, orang yang sebok seharian dan kurang masa
bersama dengan anak-anak. Katanya, `` Peranan yang sebenarnya di dalam
pendidikan anak-anak di rumah ialah ibu mereka. Jadi para ibu perlu peka dengan
pendidikan anak-anak.``
``Mendidik anak-anak ini bergantung kepada niat dan azam kita``. Tanya
Dr. Lukman, `` Apa yang kita mau jadikan anak-anak kita ?`` Katanya,
``Kalau kita mau menjadikan mereka pemain bola,
maka jadilah dia pemain bola,``
katanya.
``Kalau kita mau jadikan anak-anak kita berpendidikan
agama, maka hendaklah mendidiknya dengan didikan agama. Insya Allah mereka
menjadi orang yang berpendidikan agama.`` Kita perlu kawal anak-anak kita jangan
terpengaruh dengan nilai-nilai negatif. Sekarang melalui komunikasi moden boleh
tiba dalam waktu segera. Kalau kita
tidak kawal, tentulah dia mempengaruhi anak-anak kita.``
Manakala Pengendali Majlis, Ustaz Ahmad
Hasbullah memaklumkan pihak Masjid akan menganjurkan beberapa kegiatan seperti
akikah, Khatam Al-Qur`am, Berkhitan, Tilawah
al-Qur`an yang akan diumumkan dan menurut kesesuaian masa.
Majlis keraian ditutup dengan Bersalawat Kepada
Rasulullah dari Pasukan Solawat Surau Damai.
Penyampaian cenderahati terhadap Hafiz Muda dilakukan oleh Pegerusi. Dan Solat
Isya` diimami oleh Al-Fadhil Dr. Lukman Ibrahim. Semua hadirin kemudiannya
menikmati jamuan di ruang legar pada
bahagian masuk ke Masjid.
Sekian.
No comments:
Post a Comment