BBB, 18 Jamadil Awwal 1439H. = 04 Februari 2018 (Ahad):
Antara yang diperkatakan oleh Prof. Dato` Dr.
Ab. Halim Tamuri dalam Seminar Bulanan Masjid al-Umm kelmarin (Sabtu, 3 Feb.),
bahawa Masjid al-Umm mempunyai jiran terdekat yang menjadi cabaran bagi masjid.
Jiran terdekat dimaksudkan ialah sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan Bandar
Baru Bangi. Pelajar-pelajar ini ialah
mad`u (fokus dakwah) bagi Masjid al-Umm, selain dari generasi biasa yang pergi
ke masjid. Mereka jangan dipandang sebagai `pembawa masalah`, misalnya datang
waktu-waktu ko-korikulum melepak, buat bising dan ada yang berlari di dalam
masjid, bahkan mengotorkan masjid dengan membawa makanan, lantaran di masjid
ada disediakan kemudahan mesin coway
untuk air panas dan sejuk – antaranya dapat memanaskan maggie dan sebagainya.
Bagi anak-anak kecil yang dibawa oleh iubu bapa mereka, mereka bermain pada
tempat mainan kanak-kanak yang disediakan. Mereka dianggap membuat bising dan
menghilangkan ketenteraman.
Prof. Dato` tidak setuju mereka dihalang dari
datang ke masjid, bahkan sepatutnya dialu-alukan. Baginya pihak masjid harus
menerima kedatangan mereka. Mereka jangan dibiarkan bertabur, sebaliknya
hendaklah disediakan bimbingan untuk mereka. Misalnya bimbingan membaca
Al-Qur`an, memberi ruang bagi mereka mutalaah dan membincangkan pelajaran di
kalangan mereka. Bila tiba masa solat mereka hendaklah diajak sama bersolat.
Bagi Prof. Dato` melihat, pihak masjid wajar
menyediakan makan tengahari bagi anak yang berlindung di masjid sebelum ibu
bapa mereka datang menjemput. Mungkin perkara ini membebankan masjid, tetapi
kiranya ia diatur dengan baik, tentu mendapat sokongan dari ibu bapa, PIBG, Sekolah dan mungkin ada pihak yang sanggup
sponsor dari segi peruntukan.
Pokoknya menurut Prof. Dato` pihak masjid
wajar membuat hubungan dengan pihak sekolah dan PIBG membincangkan
kaedah-kaedah terbaik bagi sekolah dan masjid untuk kepentingan
pelajar-pelajar. {Perbincangan pernah dibuat dengan pihak sekolah, khususnya
soal keselamatan pelajar-pelajar).
Selain
daripada itu pihak masjid hendaklah ada jawatankuasa pemuda yang dapat
mengendalikan pelajar-pelajar berkenaan dan merangka program untuk mereka.
Kalangan pemuda adalah lebih memahami dan lebih serasi dengan kehendak
anak-anak muda . (Jawatankuasa Pemuda Masjid al-Umm baru ditubuhkan pada Sabtu 27
Januari 2018 lalu dan sedang bergerak langkah bagi melakukan kegiatan-kegiatan
yang bersesuaian).
Menurut
Prof. Dato` Dr. Halim lagi, Masjid al-Umm mempunyai beberapa kemudahan
yang baik. Misalnya bersebelahan dengan masjid dan berjiran dengan sekolah-sekolah
ada padang awam yang baik. Di samping di sebelah masjid juga terdapat Dewan
Orang Ramai yang menjadi tempat anak-anak muda – juga orang tua, bermain
badminton. Menurutnya beliau telah meninjau ke kawasan padang ini dan didapati
ramai anak-anak muda yang bermain bola sepak pada petang hari. Mereka ini perlu
didekati. Misalnya sebelum mereka memulakan permainan pada sebelah petang
mereka diajak bersolat asar berjamaah. Minat dari mereka dapat ditarik,
misalnya dengan menyediaka bola, bahkan
minuman dan sebagainya. Begitu juga pihak masjid perlu mendekati kalangan yang
bermain badminton, tua dan remaja untuk mendekatkan mereka dengan masjid.
Antara program yang dapat mendekatkan mereka dengan masjid, misalnya dengan
mengadakan pertandingan bola dan badminton, pada peringkat yang lebih tinggi
ialah mengadakan pertandingan antara surau dan masjid dan sebagainya bagi
permainan bola sepak dan badminton. Pihak masjid yang menjadi penganjur
menyediakan piala pusingan masjid dan
hadiah-hadiah yang lain. Bagi mendapat kewangan, tentu ada pihak yang mau
sponsor hadiah-hadiah, bahkan peruntukan bagi pertandingan-pertandingan. Pihak
masjid, pemuda, sekolah, PIBG dan
sebagainya perlu kerjasama bagi menjayakan program berkenaan yang dapat memberi
manfaat kepada masjid, sekolah, ibu bapa, PIBG dan sebagainya.
Prof. Dato` Dr. Ab. Halim berulang kali
menyebut, bagi menjayakan sesuatu program dan apa juga kegiatan, tidak sunyi
dari masalah dan kekurangan, namun menurutnya ianya ibarat peremainan puzzle, setiap satu sama lain seharusnya
mengambil peranan masing-masing bagi melengkapkan kedudukan dan kesempurnaan
bagi keseluruhan. Insya Allah dengan kerjasama berbagai pihak secara ikhlas
dapat dicapai tujuan yang dapat memberi kebaikan bagi masjid, sekolah, PIBG, pemuda
dan masyarakat di Bangi ini, Insya Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment