February 19, 2018

FAKTOR MANUSIA : ADAB DAN TAKMILAH



BBB, 02 Jamadil-Akhir 1439H. = 18 Februari 2018M. (Ahad):
Faktor manusia adalah faktor utama bagi menghasilkan sesuatu ciptaan seperti rumah, kenderaan, bahkan di dalam konteks pembicaraan kita ialah masjid.  Tanpa kehendak dan ikhtiar dari kelompok berkenaan tidak wujudnya masjid. Kehendak dan kemahuan ini pula berdepan pilihan, misalnya sama ada masjid  satu tingkat, dua tingkat dan sebagainya. Seterusnya pergi kepada yang lebih kecil, apakah yang seharusnya ada pada setiap tingkat dan apakah material yang mau digunakan bagi melengkapkan ruang dan sebagainya.
Dalam kelompok manusia ini pula ada berbagai pendapat,  ada yang mungkin sama dan mungkin berbeza, tidak jarang di dalam menegakkan kemahuan dan pendapat diri tanpa disedari dipengaruhi oleh nafsu ammarah, lantaran  itu mekanisme syura di dalam kelompok seperti yang dinamakan Jawatankuasa Pembinaan perlu bagi mendapat kata sepakat di dalam membuat  keputusan.  Misalnya  bila tercetusnya idea bahagian bawah tanah patut dijadikan satu aras bagi masjid yang dikenali aras bawah tanah, maka melalui mesyuarat disepakati bahawa wajar aras bawah tanah diwujudkan. Demikian misalnya apakah warna atap bagi masjid. Pada awalnya ada kelainan pendapat. Ada yang berpendapat warna kuning, ada yang biru, hijau dan ada yang maukan kelabu. Di dalam hal ini pendapat mejoriti diambil. Misalnya kelabu.
Di dalam mencari pendapat ada yang tidak sepakat. Di dalam menangani kelainan pendapat ini perlu dikawal oleh adab yang mencari Takmilah di dalam bermuamalah. Namun terdapat  watak yang konsisten dengan sikap keras sehigga tidak disenangi ramai. Di dalam sebuah cerita mislnya cerpen dan novel watak seperti ini dipanggil watak `pipih` atau `antoganis`  yang kewujudannya penting bagi menghidupkan cerita dan cerita tidak menjadi tawar dan streotype sehingga adanya unsur tegang dan penyelesaian yang memuaskan. Nampaknya elemen seperti ini wujud juga di dalam berjawatankuasa sehingga di dalam pembinaan masjid pun  boleh dijadikan sebuah penceritaan, yang sebenarnya dan sepatutnya  tidak perlu. Di sini kita menjaga adab sebagaimana konsep cerita di dalam Islam, misalnya watak pipih dan antoganis tidak disebut namanya secara langsung di dalam Al-Qur`an. Oleh kerana ianya realiti kita mematuhi adab bercerita di dalam Al-Qur`an.
Sesungguhnya faktor manusia banyak berlaku perubahan di dalam struktur pentadbiran. Kita telah menyebutkan berlaku penambahan anggota jawatankuasa yang memperkukuhkan jawatankuasa berkenaan. Tetapi di dalam perbahasan dan pertikaian ada pihak yang semacam berterusan dibuli dan tidak tahan terpaksa menarik diri dari jawatan sejak Ogos 2013  dan terpaksa diganti dengan yang lain bagi meneruskan pentadbiran.  Ada pula yang bersikap keras yang boleh disifatkan `Buku bertemu dengan ruas` dengan  melahirkan protes dan cabar mencabar dan kerana tidak bersetuju dengan pihak lawan, maka dia bertindak meletakkan jawatan. Kerana peranannya penting, beliau berkali-kali dipujuk, tetapi tetap berkeras dan dikira menarik diri pada akhir 2013. Keadaan ini juga berlaku kepada Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi yang tidak senang  dengan kecaman dan serangan dan mengambil sikap tidak menghadiri mesyuarat sejak 2016, walaupun beliau dipujuk berkali-kali untuk bersama di dalam AJK. Perkara yang sama berlaku kepada Wakil Rakyat Bangi yang sama menghadapi serangan (akhir 2016), tetapi tidak menjadi masalah baginya, kerana dia bukanlah AJK. Walau bagaimana sikap yang sedemikian adalah merugikan semua pihak dan mewujudkan ketegangan dan hubungan yang tidak baik. Seharusnya melalui mesyuarah semua seharusnya  kembali kepada nilai Islam dan  seharusnya bersifat musamahah. Dengan menyedari diri di bawah pengaruh ammarah hendaklah kembali mentakmilah diri dengan jiwa yang mutmainnah yang tenang dalam membuat keputusan dan tindakan.
Faktor manusia adalah penting. Dia dinamik membina dan memajukan, tetapi ia boleh berlaku sebaliknya. Proses berorganisasi, berpersatuan dan berjawatankuasa sebenarnya adalah juga proses menuju Takmilah dari berbagai aspek.
Takmilah dari kelemahan  secara individu, maka dengan berjawatankuasa mengukuhkan kedudukan dan pengurusan.
Takmilah dengan kumpulan berlaku penyatuan pendapat yang lebih baik melalui mesyuarat dan persetujuan.
Takmilah dengan kumpulan maka kerja-kerja yang berat, melalui kerjasama menjadi ringan.
Walau betapa silap Islam menyediakan jalan keluar melalui jalan taubat dan kemaafan dan kembali kepada asal dan permulaan sebagai titik bertolak kembali bagi perjalanan menuju Takmilah, kerana kita mau apa yang kita kerjakan  - kita mohon kepada Allah menerima keikhlasan kita yang dapat menghasilkan kerja dengan ikhlas secara taqwa, agar masjid terdiri di atas taqwa. Semoga semua jamaah juga sama di dalam hidayah dan taqwa.
Sekian.

No comments:

Post a Comment