BBB, 09 Jamadil Akhir 1439H. = 25 Februari
2018M. (Ahad):
Sebelum daripada Ustaz Dr. Ideris Endut
menyampaikan kertaskerjanya, Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi Majlis
menjemput Penulis selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan
Masjid Al-Umm menyampaikan kata-kata alu-aluan kepada hadirin. Selepas salam dan penghormatan kepada
Pengerusi, Pembentang kertaskerja, ahli jawatankuasa dan semua yang hadir,
Penulis mengucap syukur ke hadhrat Allah Ta`ala, kerana dapat meneruskan seminar bagi kali
kedua selepas kali pertamanya pada Sabtu 3 Februari yang lepas. Kalau dulu
lebih kepada fungsi Masjid bagi memartabatkan masyarakat, maka kali ini lebih
kepada syarat, aturan dan keperluan teknikal bagi mendirikan masjid. Penulis
berkata, dengan memahami enakmen dan aplikasinya pada pembinaan masjid Sungai
Ramal Dalam yang ada kesamaan dengan cara pembinaan Masjid Al-Umm dan juga
perbezaan, khususnya bagi AJK dapat memahami masalah berkaitan dan dapat
memperbaiki dan memajukan masjid, khususnya Masjid Al-Umm, Masjid Sungai Ramal
Dalam dan masjid-masjid lain dengan mengikuti seminar ini. Kata Penulis,
``Membina masjid bukanlah sebagaimana membina
rumah biasa di kampung yang boleh dibangun dengan secara gotong royong dan
dapat disiapkan dalam masa yang cepat. Membina masjid, khususnya pada
penempatan ramai seperti di bandar dan pekan melibatkan tanah yang agak luas
dan bagi membinanya melibatkan banyak pihak, memerlukan kewangan yang banyak
dan perlu mematuhi ciri-ciri keselamatan, maka hendaklah
mematuhi aturan yang antaranya dikenali sebagai enakmen dan aturan yang
berhubung dengan masjid yang bersifat makro dan mikro.
Antara syarat dan keperluan secara makro pra-pembinaan
masjid ialah:
·
Ada tapak
khas bagi pembinaan masjid dengan keluasan (antara 2 – 5 ekar) dan kedudukan
yang sesuai, biasanya pada pertengahan kawasan yang ramai orang Islam, atau di
tengah bandar atau pekan.
·
Perlu digezet
tanah untuk tapak masjid yang permohonan perlu dibuat kepada kerajaan Negeri
melalui Pejabat Daerah (Pejabat Tanah) sesuatu Daerah.
·
Perlu
mendapat keizinan dari JAIS bagi kebenaran bagi mendirikan masjid. Masjid
berada di bawah JAIS-MAIS. Tanpa kebenaran darinya maka masjid tidak dapat
didirikan.
·
Mesti membuat
permohonan dengan mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh JAIS. Permohonan
mestilah mendapat sokongan seperti Ketua Kampung, penghulu, wakil rakyat setempat,
Pentadbir agama Daerah dan Orang Besar Daerah yang diangkat kepada JAIS untuk
dipertimbang untuk diluluskan.
·
Hendaklah
wujud satu jawatankuasa pembinaan masjid yang dipersetujui oleh penduduk setempat
bagi mengurus dan membina masjid.
Bagaimanakah dengan dana bagi membina masjid ?
Satu keperluan yang penting bagi membina
masjid ialah adanya dana bagi membiayai pembinaan masjid. Sesungguhnya tidak mudah
bagi membina masjid yang kosnya berjumlah puluhan juta. Inilah perkara rumit
dan sukar yang dihadapi oleh Masjid Al-Umm dan juga Masjid Sungai Ramal Dalam
(Masjid al-Falah) yang kedua-dua sedang hadapi setelah mengatasi semua
keperluan yang lain sebagaimana disebut di atas.
Ada sekurang-kurangnya tiga kaedah bagi
pembinaan:
·
Kaedah gotong
royong bagi masjid yang kecil. Setelah mendapat kelulusan segala keperluan yang
dikehendaki, penduduk kampung atau ahli kariah bergotong royong membina masjid
yang dikehendaki dengan sebahagian mendapatkan bahan-bahan bagi pembinaan,
manakala yang pandai bertukang dan membina bekerja membuat bangunan. Biaya
adalah sama ditanggung oleh penduduk, termasuk makan minum pekerja-pekerja secara
bersama. Masjid dapat disiapkan di dalam masa yang singkat dengan kos yang
minimum.
·
Kaedah mendapat
derma dari orang ramai sebagaimana dialami oleh Masjid Al-Umm dan juga Masjid
Sungai Ramal Dalam (Al-Falah) yang di dalam pembinaan.
Jika kos pembinaan
mengharapkan derma dari orang ramai, maka antara syarat bagi memungut derma
ialah mendapat keizinan dari pihak MAIS kebenaran memungut derma dari orang
ramai sebagaimana dialami oleh pihak Masjid Al-Umm. Keizinan biasanya diberi
oleh MAIS dalam tempoh tertentu, misalnya dalam tempoh satu setengah tahun
kepada individu-individu dari ahli jawatankuasa pembinaan, biasanya sepuluh
orang untuk memungut derma kepada jumlah yang dinyatakan kepada MAIS. Jika
sekiranya dalam tempoh berkenaan mereka yang dibenar pungut derma tidak
mencapai sasaran jumlah yang dikehendaki, maka permohonan melanjutkan tempoh
memungut derma boleh dipohon kepada MAIS. Terpulanglah kepada MAIS untuk
memberi perlanjutan tempoh memungut derma atau sebaliknya.
·
Kaedah
pembinaan dengan mengharapkan peruntukan dari pihak pemerintah. Peruntukan
sepenuh bagi membina masjid tidak dilakukan oleh kerajaan Negeri atau
JAIS-MAIS. Ianya hendaklah memohon dari projek kerajaan Pusat dan perlulah
dimasukkan ke dalam perancangan kerajaan
- akan datang, dalam Rancangan Malaysia ke 13, 14 dan sebagainya.
Permohonan hendaklah dibuat sebelum tiba satu-satu rancangan (lima tahun bagi satu perancangan), jika permohonan tidak dapat dimasukkan dalam
perancangan yang dipohon, maka hendaklah ditunggu kepada perancangan
berikutnya. Cara ini memakan masa dan perlu menunggu giliran dan kelulusan.
Kelamaan masa dan tidak ada kepastian dapat (dilulus) atau tidak
menyebabkan sebahagian dari permohonan
mendirikan masjid tidak memilih cara ini. Walau bagaimana jika mendapat
kelulusan, maka penduduk tidak perlu bersusah payah menubuhkan jawatankuasa
pembinaan dan tidak perlu meminta keizinan memungut derma. Penduduk hanya
menunggu siap pembinaan oleh kontrektor
dilantik kerajaan.
Cara ini dialami oleh kawasan
Bandar Bukit Mahkota, Kajang yang juga sekarang masih dalam pembinaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment