BBB, 01 Jamadil-AKHIR 1439H. = 17 Februari
2018M. (Sabtu):
Plan asal bagi bangunan Masjid al-Umm adalah
dua tingkat, iaitu tingkat utama dan tingkat satu bagi muslimat. Itulah bentuk
yang dipamerkan semasa pelancaran derma bagi Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012 dan
gambaran masjid adalah sebagaimana pada kulit buku kecil bagi pelancaran
tersebut. Pada kebiasaannya plan yang telah dikeluarkan adalah menjadi panduan bagi pembinaan oleh kontrektor.
Tetapi tidak sedemikian bagi Masjid Al-Umm, namun adalah diakui bahawa plan awal ini menjadi panduan,
tetapi ianya tidak menjadi panduan sepenuhnya.
Dari satu segi adalah dilihat ketidaktetapan
penerimaan plan yang diutarakan oleh pihak arkitek ada kebaikannya, kerana ia memberi ruang
kepada pembaikan ke arah Takmilah dari segi plan arkitek, walaupun ini memberi
erti tidak mantapnya plan yang dikemukakan. Namun dari satu segi ketidakmantapan
dan kelak berlakunya pengubahsuaian,
penambahan dan pembaikan membawa implikasi pada pertambahan kos binaan dan
berlaku perubahan yang mau diangkat kepada MPKj dan jika sudah diangkat, maka
perubahan yang dilakukan perlu diangkat lagi
tentang penambahan, pengubahsuaian dan pembaikan kepada MPKj. Ini
bererti boleh melambatkan kelulusan plan untuk pembinaan, bahkan merumitkan
bagi kelulusan pada peringkat CCC.
Demikianlah
sejak berlakunya penyususunan baru bagi AJK Pembinaan pada bulan Ogos
2012, maka antara perkara yang dibincangkan yang dihadiri AJK Induk dan turut
hadir kontrektor, arkitek dan consultant-consultant (belum ditubuhkan AJK
Teknikal) ialah tentang tapak dan memantapkan plan sebelum ianya diangkat
kepada MPKj untuk kelulusan. Tentang tapak pernah dikatakan bahawa kedudukannya
adalah rendah ke belakang (berdekatan dengan Dewan Orang Ramai) dan dikatakan
memerlukan penambahan tanah dari luar sekitar 5,000 lori (Angka ini agak besar).
Pendapat ini tidak tepat dan tidak terjadi pembawaan tanah dari luar, bahkan
keadaan menjadi sebaliknya. Bermaksud ada sebahagian tanah berlebihan dan dikeluarkan
ke tempat lain – Termasuk untuk tempat parkir.
Dalam perbincangan tercetus pendapat, bahawa
bahagian bawah bangunan akan dijadikan sebahagian daripada tempat parkir dalam
mana tanah pada bahagian bawah – mendekati jalan ke Medan Selera (Medan
Usahawan) akan dikorek dan dikeluarkan tanah bagi ruang parkir berkenaan. Dari sini tercetus pendapat yang
mencadangkan, bahawa daripada menjadikan bahagian bawah tanah, tempat parkir,
mengapa tidak dijadikan ianya aras bawah
tanah bagi masjid yang boleh dijadikan aras bagi ruang serbaguna, seperti untuk konvensyen, ruang
jamuan perkahwinan dan berbagai perhimpunan. Idea bernas yang timbul dalam
perbincangan melalui syura ini diterima. Ini bermakna masjid Al-Umm yang plan
asalnya dua tingkat menjadi tiga tingkat.
Aras
Utama untuk solat (lelaki), aras satu (atas) untuk muslimat dan
lain-lain dan aras bawah tanah untuk Dewan Serbaguna. Dengan cadangan ini plan
asal menerima perubahan bukan setakat tambahan ruang bawah tanah, tetapi pada
bahagian-bahagian yang lain. Ini
merupakan perubahan major, terdapat banyak lagi perubahan-perubahan minor yang meningkatkan kos yang akan dibincangkan kelak.
Perubahan-perubahan ini adalah falsafah Takmilah iaitu menuju Takmilah dalam
ketidaksempurnaan.
Kedudukan plan arkitek yang menerima perubahan
adalah sebagaimana berikut:
a) Aras Utama mempunyai ruang-ruang:
1) Ruang solat utama
2) Ruang serambi (koridor) kanan
3) Ruang serambi (koridor) kiri
4) Bilik pengurusan jenazah
5) Bilik
pentadbiran
6) Bilik Tadika
7) Bilik-bilik wudhu` dan tandas (kanan-kiri)
8) Bilik
simpanan kerusi-meja
9) Bilik peralatan
10) Ruang mainan anak-anak dan rehat (santai).
b) Aras Atas (Tingkat Satu) mempunyai ruang-ruang:
1) Ruang solat muslimat
2) Bilik mesyuarat
3) Dewan seminar (dua bilik boleh disatukan)
4) Bilik IT & perpustakaan
5) Kelas tahfiz
c) Aras Bawah Tanah (luas 5,600 kaki persegi)
1) Ruang serbaguna
2) Bilik akad nikah
3) Bilik air dan bilik persalinan
4) Bilik persediaan kenduri (makanan)
5) Bilik peralatan (kerusi meja dan lain-lain).
Pendek kata Masjid Al-Umm masjid yang
menyediakan ruang ibadat, ruang pengajian, pengajaran dan wacana ilmiah (seminar, konvensyen dan
koloqium), kuliah, kelas dan ruang-ruang
untuk kegiatan kemasyarakatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment