February 8, 2018

RUMUSAN KERTASKERJA



BBB,  21 Jamadil-Awwal 1439H. = 07 Februari 2018M. (Rabu):
Apa yang dibentang dan dibicarakan sebelum ini ialah hasil dari pembentangan spontan oleh pembentang -  Prof. Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri terhadap tajuk ``Masjid Memartabatkan Masyarakat – Rujukan Kepada Masjid al-Umm``. Ianya boleh dikatakan sebagai nilai tambah bagi kertaskerjanya.


Rumusan dari kertaskerjanya  yang sepanjang 10 halaman adalah.
Pembentang bertolak dari masjid adalah institusi termulia di dalam Islam, Iantaran ianya merupakan sebagai pusat kegiatan ibadat,  pengajian dan kemasyarakatan.  Sebagai institusi termulia dan banyak fungsinya, masjid didirikan di mana terdapat masyarakat Islam, bahkan ia menjadi landmark dan mercutanda bagi sesuatu tempat yang berperanan memenuhi keperluan masyarakat setempat baik dari segi rohani, pengajian dan kemasyarakatan. Masjid awal yang menjadi contoh umat Islam sejak bermula Islam hingga kini ialah Masjid Quba`, Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Masjid Madinah berfungsi sebagai tempat ibadat, pengajian, pentadbiran, bahkan tempat perlindungan para muhajirin pada peringkat awal Hirah al-Rasul. Fungsi masjid diteruskan oleh khulafa` al-Rashidin. Masjid terkenal sebagai pusat pengajian pada zaman Kerajaan Umawiyyah ialah Masjid Umayyi di Damshiq, Pada zaman Kerajaan `Abbasiyyah ialah Masjid `Umar ibn al-`Ass di Mesir dan Masjid-Masjid di Basrah dan Kufah yang menjadi pusat-pusat  pengajian terkenal pada zaman kerajaan `Abbasiyyah.
Apa yang diharapkan dari Masjid Al-Umm ?
Pembentang berharap masjid Al-Umm yang kedudukan fizikalnya di tengah-tengah Bandar Baru Bangi.
·         Menjadi pusat pendidikan formal dan tidak formal bagi penduduk Bandar Baru Bangi, iaitu sebagai tempat ibadat, tempat pengajian fardhu `ayn, pembelajaran di dalam berbagai-bagai bidang keilmuan Islam seperti Al-Qur`an, tajwid, akidah, fiqh, tafsir, hadith, bahasa `Arab, sirah adab danberbagai-bagai keilmuan lagi.
·         Oleh kerana Masjid Al-Umm mempunyai jiran paling dekat, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi dan Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, maka AJK Masjid wajar  menjadikan pelajar-pelajar berkenaan sebagai mad`u untuk melatih mereka bersama pihak sekolah, khusus dari segi pendidikan kerohanian dan akhlak. Pihak Masjid dan sekolah perlu bekerjasama bagi mencapai visi dan misi yang murni. Perbincangan hendaklah  diadakan antara pihak AJK Masjid, PIBG Sekolah Menengah dan Rendah, Pengetua dan Guru Besar bagi merangkakan pendekatan dan program yang dapat bukan saja mengawal mereka, tetapi berperanan sama mendidik mereka. Sebarang perancangan dan program yang baik sudah tentu mendapat sokongan dan bantuan dari ibu bapa pelajar-pelajar dan anak-anak dan dari berbagai pihak.
·         Masjid Al-Umm wajar menjadi Pusat satu Hentian Ilmu dan Masyarakat, masyarakat dapat menimba keilmuan dari masjid dan menjadi rujukan masalah diri, keluarga dan masyarakat. Masjid perlu melengkapkan diri menjadi tempat tumpuan dan rujukan masyarakat. Pentadbir  dan jawatankuasa hendak cekap dan bersifat professional.
·         Masjid juga hendaklah menarik kalangan remaja dan anak-anak muda  ke masjid. Masjid perlu ada jawatankuasa Remaja yang dapat mendekati kalangan remaja misalnya melalui riadhah, sukan, rekreasi dan pertandingan-pertandingan sukan dan kegiatan-kegiatan remaja yang sesuai.
·         Penbentang kertaskerja juga maukan masjid menjadi Pusat Dakwah, Perlindungan, Latihan saudara Baru dan juga bimbingan bagi kalangan yang kurang upaya. Masjid juga berfungsi sebagai institusi kebajikan, misalnya menziarah mereka yang uzur, sakit, bahkan menyampaikan bantuan kepada mereka yang susah, khususnya  pada hari-hari kebesaran Islam.
·         Dalam perkembagan pesat komunikasi moden masjid juga hendaklah bersifat pro-aktif dengan menyediakan kemudahan ICT bukan saja untuk kegunaan masjid, tetapi juga oleh pihak luar seperti bagi kemudahan pembelajaran, khususnya bagi pelajar-pelajar  dan bagi siapa juga yang mau menggunakan kemudahan tersebut.
·         Masjid seharusnya mempunyai CEO yang cekap dalam mengurus hal-hal  masjid dan segala jaringan yang berhubung dengannya.
Sebagai penutup Pembentang maukan masjd mengubah tanggapan salah terhadap masjid, bahawasanya ianya sebagai tempat beribadah semata-mata. Masjid adalah pusat ilmu pengetahuan dan kegiatan masyarakat, selain dari ibadat. Semua pihak digalakkan mengimarahkan masjid. Masjid adalah pusat kecemerlangan darinya terpancar nilai, peradaban dan tamadun Islam dari dahulu hingga kini dan berterusan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment