May 30, 2019

TADARUS DAN KHATAM QUR`AN


TADARUS DAN KHATAM QUR`AN
(Fikrah Bangi: 241),
BBB: 25 Ramadhan 1440H. = 30 Mei 2019M. (Khamis).
Satu budaya murni pada bulan Ramadhan yang pada bulan tersebut diturunkan Al-Qur`an, ialah bertadarus dan khatam Al-Qur`an. Program ini memang wujud dalam agenda sambutan Ramadhan yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Urus Tadbir dan pengimarahan Masjid Al-Umm.
Sejak hari pertama Ramadhan, tadarus dimulakan.  Bagi kalangan muslimat, telah mengatur tadarus kepada sejumlah 11 kumpulan. Kumpulan diatur menurut kesesuaian masa yang dapat dihadiri oleh muslimat, iaitu:
1)      Kumpulan selepas solat subuh  5 kumpulan
2)      Kumpulan mulai jam 10 pagi     3  kumpulan
3)      Kumpulan tadarus di rumah      3  kumpulan
Kalangan muslimin tidaklah bersifat formal. Mulai hari pertama mereka mengikut kumpulan yang ada pada pagi itu, iaitu empat kumpulan, menjadikan semua berjumlah 15 kumpulan. Jumlah semua yang bertadarus ialah 98 orang.
Kumpulan muslimat nampaknya mementingkan cepat tamat untuk persediaan khatam. Dua minggu Ramadhan, sebahagian mereka telah tamat. Tempat kumpulan berkenaan kosong. Mereka dikatakan mempunyai komitmen yang lain yang perlu kepada tamat segera.
Manakala kumpulan muslimin tidaklah perlu kepada segera tamat. Sebaliknya mereka terus membaca satu juz` setiap pagi dan hingga kini baru berjumlah 25 juz`. Pegangan kumpulan muslimin ``Membaca Al-Qur`an tidak pernah tamat dan pembacaan diteruskan.``
Walau bagaimana dari segi program, hari ini Khamis 25 Ramadhan bersamaan 30 Mei adalah hari khatam Qur`an. Iaitu mulai jam 9.00 pagi acara khatam Qur`an dimulakan secara serentak antara muslimat dan muslimin. Majlis khatam diketuaiu oleh Nazir sendiri, kerana imam yang sepatutnya membimbing tidak hadir. Bacaan beramai-ramai dari Surah Al-Duha hingga surah al-Nas dan kemudian disudahi dengan do`a khatam Al-Qur`an.
Kemudian saudara Feisal selaku pengacara menjemput Nazir mengucapkan alu-aluan.
Beliau mengucapkan teima kasih kepada Ketua AJK Muslimat Datin Muhibbah kerana telah mengatur program pada pagi ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang bertadarus seramai 98 orang. Semua ahli mampu membaca Al-Qur`an dengan baik, tapi pada kebiasaan tidak ada yang benar-benar perfect. Dari teguran dan pembaikan dalam tadarus diharap menjadikan kita membaca Al-Qur`an dengan lebih baik. Beliau juga berharap tamat dan khatam Qur`an yang diadakan, bukan bererti tamatnya kita membaca Al-Qur`an, sebaliknya hendaklah terus membaca dan mempertingkatkan mutu bacaan melalui bacaan berkumpulan.
Beliau memaklumkan selepas raya `Idul Fitri, masjid akan menganjurkan kelas tarannum, terutama kalangan remaja, kerana kita mempunyai guru yang berkelayakan. Diharap , masjid nanti akan dapat menghasilkan calon qari dan qariah pada peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
Selepas ucapan ialah acara menyampaikan sijil penyertaan Tadarus Al-Qur`an dan cenderahati oleh Nazir kepada setiap peserta tadarus. Kemudian majlis bersalawat di samping mengedarkan bunga telur kepada setiap peserta.
Pada akhirnya jam 11.00 pagi  ialah bergambar kenang-kenangan sempena tamatnya Majlis Khatam Al-Qur`an.
Sekian.

2 comments:

  1. Terimakasih banyak infonya,.. http://bit.ly/2Kbq5Lf

    ReplyDelete
  2. Kenapa imam tak hadir? Ada bbrp event imam tak hdr atau hdr lewat? Boleh ke? Apa tindakan Nazir?

    ReplyDelete