July 23, 2020

INTI JATI DIRI


INTI JATI  DIRI
(Fikrah Bangi:  517),
BBB: 02 Zulhijjah 1441H. = 23 Julai 2020M. (Khamis).

 Umur remaja negara  sekitar  20an ialah umur ideal dalam membina watak dan peribadi unggul yang dapat memancarkan imej watak dan peribadi pimpinan  negara bangsa. Pada peringkat ini watak dan peribadi telah terbina sejak dari umur sekolah rendah, misalnya anak yang menghormati ibu bapa,  mengungguli guru, dikagumi masyarakat tentang kebijaksanaan dan kepimpinan. Watak ini menjadi lebih sempurna kiranya berpeluang menyambung pengajian ke peringkat universiti dan tertinggi dan menjadi pemimpin yang berwibawa yang menjunjung aspirasi bangsa. Unggul kepimpinan sedemikian adalah sentiasa ditunggu kehadirannya oleh negara bangsa.
Negara bangsa adalah sentiasa bermegah,  jika lahir dari kalangannya yang dapat membentuk imej dan jati diri bangsa terhasil dari kelompok pemuda termasuk pemudi yang mempunyai watak dan jati diri positif yang demikian..
Watak dan  jati diri akan kebih kuat jika watak dan nilai positif  mempengaruhi dan menjadi imej bagi masyarakat. Dalam masyarakat moden misalnya dunia mengkagumi orang German yang   tinggi  dari halus  kreativitinya serta penuh kesungguhan. Apabila menghasilkan sesuatu, maka  tinggi mutunya. Misalnya lambang ketinggian mutu penghasilan dapat dilihat dari segi penghasilan kereta mercedes yang tiada tandingan dari segi mutunya. Bukan itu saja, ianya dapat dilihat, jika  keterlibatannya di dalam sukan seperti bola sepak, maka pasukannya adalah terkeatas dan sering menjadi johan pada peringkat antarabangsa. Apakah rahsia dan jati diri bangsa tersebut  terkehadapan di dalam berbagai bidang ? Tentulah dari jati diri yang unggul yang memastikan apabila melakukan sesuatu, maka ianya seharusnya terbaik.
Lihat pula  kepada bangsa Jepun yang disifatkan sebagai cekal dan kreatif. Sebagaimana German sebagai bangsa yang kalah perang, bangsa ini bangkit secara kreatif dan inovatif dan kini maju di dalam teknologi dan menjadi antara yang termaju di Timur. Korea (Selatan) pada tahun-tahun 1960an, tarafnya tidak lebih tinggi dari Malaysia,. Pasukan bola sepaknya sering dikalahkan oleh Malaysia dan kini kemajuan dari  segi sains dan teknologi menyamai Jepun dan German. Apakah rahsianya  kejayaan mereka . Tentulah dari kekuatan azam di dalam jiwa mereka yang tinggi dan mempunyai sifat dan jiwa  pertandingan yang tinggi yang tidak menyerah kalah di dalam berbagai bidang.

Kembali kepada negara kita yang telah merdeka lebih dari setengah abad. Selama itulah kita telah membina negara bangsa, mengapakah kita tidak semaju negara German, Jepun dan Korea ? Apakah kita tidak sempurna dari segi mendidik anak bangsa kita ? Kita mempunyai sistem pendidikan yang teratur dari sejak pra-sekolah, sekolah menengah, menengah atas (kolej) dan mempunyai banyak universiti, melebihi dari keperluan, tetapi tidak dapat menggerakkan minda negara bangsa, tidak mampu menumbuhkan daya kreativiti dan inovasi seperti negara-negara maju sebagaimana telah dibicarakan.
Apakah kita tidak mempunyai inti jati diri yang menjadi imej kukuh dan unggul negara, sehingga kita tidak dapat bergerak kecuali dalam lingkungan terbatas seperti negara-negara biasa yang lain ?
Adakah pada kita  inti jati diri ? Sudah tentu ada, tetapi mungkin berada pada tahap yang rendah.
Jika demikian apakah wajar kita mencari dan membina watak negara bangsa yang  mempunyai inti jati diri yang unggul yang menjadi katalis yang menggerakkan bangsa kita semaju negara-negara  maju ?
Sekian.

No comments:

Post a Comment