July 24, 2020

KEKUKUHAN JATI DIRI


KEKUKUHAN  JATI  DIRI
(Fikrah Bangi:  619).
BBB:  03 Zulhijjah 1441H. =  24 Julai 2020M. (Juma`at).

Pengukuhan  jati  diri, baik bagi diri individu  dan bagi negara – di sini akan diperkatakan dari segi negara bangsa. Semalam kita telah membicarakan tentang negara Jepun yang penduduknya  bersifat cekal dan bersungguh di dalam menghadapi, bahkan menghasilkan sesuatu. Kecekalan antaranya oleh kerana antaranya kedudukan negara itu terdedah kepada ribut taufan lautan Pasifik dan sering berlaku kemusnahan akibat dari ribut taufan yang sering melanda negara itu. Suasana menjadikan penduduknya cekal dan berjiwa waja bagi  menghadapi hidup dan survival di dalam negara yang boleh disifatkan tidak banyak hasil buminya, tetapi mereka berusaha dengan segala  daya menghadapi cabaran hidup. Suasana menjadikan diri dan jati diri bersifat cekal. Dari kesusahan menjadikan mereka bangsa yang kreatif yang menghasilkan berbagai rekaan  dan dipasar ke luar negara. Dalam proses masa mereka juga menjadi lebih teliti dan halus yang menjadikan hasil keluaran mereka lebih bermutu, lihat saja pada penghasilan jenis-jenis kenderaan mereka seperti Honda, Toyota, Mitshubishi dan beberapa lagi begitu bermutu dan lebih laris dari keluaran negara-negara barat. Ianya menjadikan cekal, bersungguh, teliti dan halus sebagai identiti dan jati diri bagi keluaran Jepun.
Nasib sejarah yang menimpa  sesuatu negara  mengukuhkan identiti dan jati diri sesuatu  negara. Negara German dan Jepun  adalah dua negara sepakat yang kalah perang di dalam Perang Dunia Kedua. Kepahitan yang dialami, bukan saja empayar yang dicita-cita hilang, tetapi negara sendiri dipecah oleh pihak lawan dan sebahagian dari kedaulatan negara  dirampas oleh lawan, maruah seperti German dan Jepun jatuh dan musnah. Nasib sejarah yang diterima oleh kedua-dua negara ini mengajar mereka untuk menebus maruah yang memalukan mereka. Sifat cekal diperlihatkan oleh kedua-dua buah negara. Pimpinan-pimpinan mereka  di atas keruntuhan yang  berlaku mereka mendirikan kembali negara mereka. Dalam tempoh beberapa dekad sahaja kedua-dua negara bangkit dan negara Jepun menjadi negara yang maju di  Asia bahkan dunia, demikian juga German menjadi negara yang terhebat dari segi teknologi dan kekayaan di Eropah,bahkan  di dunia.
Identiti dan jati diri tidak mudah dicapai, melainkan melalui ujian dan kepahitan yang berlaku ke atas sesuatu negara bangsa. Pun begitu ada elemen-elemen yang lain, tetapi tidak sekuat dan sekukuh cabaran kepahitan dan kegetiran  yang mengajar manusianya secara keras,tetapi berkesan.
Antaranya jati diri yang terbina dari elemen budaya yang terdapat di dalam masyarakat  seperti  budaya masyarakat di Bali Indonesia,  atau identiti alamiah seperti  beberapa tempat di Thailand  dan juga identiti sejarah seperti di Andalusia di Spanyol. Semua ini walaupun bersifat  identiti dan jati diri, sekadar  menarik misalnya dari segi pelancongan  dan  nostalgia kesilaman.
Dalam hal ini identiti dan jati diri mempunyai kategori,tetapi yang lebih penting bagaimana  ianya menjadi katalis dinamik bagi  menggerak dan memajukan negara bangsa sebagaimana Jepun dan German sebagaimana diperkatakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment