BBB, 26 Rajab 1437 = 04 Mei 2016 (Rabu):
Konsep pimpinan secara Imam adalah menjadi
ciri penting di dalam kepimpinan mazhab-mazhab Shi`ah. Umumnya semua aliran
Shi`ah yang berada sama ada di Iran, Iraq, Pakistan dan lain-lain negara adalah
berprinsipkan Imamiyyah. Namun aliran Imamiyyah Dua Belas lebih ketara dari
segi kepimpinan keimamannya.
Konsep imam yang dipegang mereka, bahawa mereka
mendakwa, bahawa kepimpinan utama mereka iaitu `Ali bin Abi Talib adalah ditunjukkan
secara langsung oleh Nabi Muhammad s.a.w. terhadap `Ali sebagai pengganti
baginda. Mereka mendasarkan kepada Hadith yang mereka pegang antaranya bermaksud:
``Barangsiapa aku menjadi pemimpinnya, maka
`Ali adalah pemimpinnya. Ya Allah tolonglah dan lindungilah orang yang menolong
dan melindunginya (`Ali) dan musuhilah orang yang memusuhinya.``
(Muhammad Abu Zahrah, Aliran Politik Dan Akidah Dalam Islam, 1996: 51).
Konsep tunjuk ini dilanjutkan kepada
turunan-turunan `Ali yang dua belas hingga dikenali sebagai Aliran Shi`ah Dua
belas. Mereka ialah sebagaimana disusun oleh Tuan Haji Said:
1) Sayyiduna `Ali bin Abi Talib (m. 40H.)
2) Sayyiduna Hasan bin `Ali bin Abi Talib (m. 50H.)
3) Sayyiduna Hussein bin `Ali bin Abi Talib (m.61H.)
4) `Ali Zainal Abidin bin Hussein (m.94H.)
5) Muhammad al-Baqir bin `Ali Zainal Abidin (m. 117H.)
6) Ja`afar al-Siddiq bin Muhammad al-Baqir (m. 148H.)
7) Musa al-Kazim bin Ja`afar al-Siddiq (183H.)
8) `Ali Reda bin Musa al-Kazim (m.202H.)
9) Muhammad al-Jawad bin `Ali al-Reda (m. 220H.)
10) `Ali bin Muhammad bin `Ali Reda (m. 254H.).
11) Hasan bin `Ali bin Muhammad al-`Askari (m.260H.).
12) Muhammad bin Hasan al-Mahdi (m. 260H.).
Mereka mendakwa Imam ke 12, iaitu Muhammad bin
Hasan al-Mahdi telah ghaib dan menurut kepercayaan mereka akan kembali ke dunia
di akhir zaman bagi menjalankan pemerintahan, keadilan dan kebenaran dan
menghukum orang-orang yang tidak mengikut fahaman Shi`ah
Menurut pandangan Shi`ah 12, bahawa seorang
imam menguasai ilmu syariat dan hukum hakam dan mempunyai kemampuan di dalam
membentuk undang-undang, segala ucapannya merupakan syari`at dan setaraf dengan
sabda. Imam juga hendaklah memelihara dan mengawal syariat. Pada imam mungkin
berlaku perkara-perkara yang luar biasa yang disifatkan sebagai mu`jizat.
Pada pandangan Imamiyyah 12, bahawa Imam bukan
saja ma`sum tetapi merupakan Hujjatullah yang tegak hingga hari kiamat. Mereka
berpegang kepada kata-kata Sayyiduna `Ali.
``Maka
bumi tidak pernah kosong dari
orang yang berdiri sebagai Hujjah Allah, kadang-kadang tersembunyi
tertutup dan kadang-kadang nyata di balik tabir.``
Menurut mereka para penerima wasiat
melaksanakan fungsi Hujjah Allah dan dengan mu`simnya yang menuntut kepatuhan
terhadapnya agama menjadi terpelihara sampai hari kiamat.
Menurut Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah
bahawa:
``Tentang kedudukan imam dalam pandangan
aliran Imamiyyah sepakat dan tidak ada perbedaan pendapat di antara mereka
tentang kedudukan imam yang mendekati kedudukan Nabi Muhammad. Mereka dengan
tegas mengatakan bahawa perbedaan antara imam dan Nabi hanya satu, iaitu imam
tidak diberi wahyu.`` (Muhammad Abu Zahrah: 1996: 56).
Aliran Shiah dua belas adalah paling popular
dan kesannya hingga kini. Ada dua kesan politik ketara Imamiyyah, pertama
terdirinya kerajaan Fatimi di Mesir iaitu Kerajaan Shi`ah pada pertengahan abad
ke 4H. Antara kesan baiknya terdirinya kota Al-Qahirah (Yang Gagah Menguasai) yang
melambangkan kepahlawanan tentera Shi`ah membuka Mesir, terdirinya Universiti
Al-Azhar dan mewujudkan tradisi sambutan Maulid al-Rasul. Tetapi pemerintahan
Shi`ah Imamiyyah 12 terkini ialah pemerintahan Republik Iran. Iran sebelumnya
di bawah pemerintahaan Monarki Pahlawi di bawah pengaruh Amerika dan dijatuhkan
melalui revolusi yang berinspirasikan Imam Khomeini (1977) yang digerakkan oleh
pengikut-pengikut dan pelajar-pelajarnya di Qum, Iran seperti Murtadha
Murabbani,, Ali Khameni, Mohammad Bahesti dan Hashimi Rafsanjani. Pada 16
Januari 1978 Khomeini pulang berikut dari revolusi sesudah berada di dalam
buangan (1964) di Perancis selama lima belas tahun.
Pada peringkat awal kelihatan pemimpin di
bawah pengaruh lama tidak cenderung untuk memerintah secara Islam Shi`ah,
sebaliknya masih bersifat sekular seperti di bawah pimpinan Bazargan dan Bani
Sadr. Rasa tidak puashati menyebabkan berlaku revolusi pelajar pada 4 November
1979 yang membawa kepada pendudukan pelajar di kedutaan Amerika, seterusnya
berlaku revolusi yang menjatuhkan Bani Sadr yang memimpin parti Mujahidin
al-Khalq dan membawa kepada kenaikan Rafsanjani yang menguasai parlimen Jun 1981 (pilihanraya 1980).
Berikutnya Iran berada di bawah golongan Mulla
bersifat rohani melalui Dewan Tertinggi revolusi Islam ala Iran memilih
Pemimpin Ayatullah Ali Khameini. Selepas kematian Ayatullah Ruhullah Khomeini
(4 Julai 1989) Iran memilih pimpinan secara pilihanraya dan melantik Presiden pertama
Rafsanjani menjadi Presiden pada Ogos
1989. Kemudian diikuti perlantikan Ahmadinejad (Teknokrat) dan terakhir kini
ialah Hasan Rohani dengan imej Mullah.
Jelas berlaku perubahan dan penyesuaian konsep
Imamiyyah di Iran yang dengan Ayatullah Ruhullah Khomeini bersifat sebagai
Pemimpin kerohanian. Ada percubaan oleh pihak terpengaruh dengan pemerintahan
lama untuk mengekalkan Iran sebagai negara sekular seperti di bawah pimpinan
Bani Sadr dengan parti Mujahidin Khalqnya. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati
di kalangan pimpinan muda dan melancarkan penentangan yang menjatuhkan Bani Sadr.
Selepas kematian Imam Khomeini Iran memilih pemimpin melalui pilihanraya dan
melantik Presiden. Kini kepimpinan yang meneruskan konsep Imamiyyah 12 atas
nama Presiden ditunjuk melalui pilihanraya meneruskan bersama kepimpinan
keriohanian ?
Sekian.
No comments:
Post a Comment