May 10, 2016

Perlunya Pengawalan Dan Penyatuan Akidah


BBB,  02 Sha`ban 1437 = 09 Mei 2016 (Ithnin):
Akidah – maksudnya, Akidah Tauhid Islam adalah amat penting lantaran ianya menjadi pegangan dan menyatukan umat Islam. Akidah Tauhid adalah prinsip terpenting yang menjadi prinsip dan doktrin umat Islam yang mampu berdepan dengan sebarang fahaman, falsafah dan ideologi umat Islam dari dahulu hingga sekarang. Kejituan Akidah Islam perlu dipertahan, bahkan perlu diperkukuhkan di dalam mendepani cabaran dan serangan pemikiran dan falsafah, termasuk moden. Misalnya serangan-serangan pemikiran-pemikiran mutakhir yang diistilahkan sebagai liberalisme dan pluralisme, di samping serangan fizikal yang sedang menjadi-jadi terhadap negara-negara Islam.
Akidah Islam sebenarnya telah digugat dan tercabar oleh pelbagai aliran yang melibatkan akidah di dalam Islam, sebagaimana dirakam oleh Tuan Haji Said bin Ibrahim di dalam bukunya  `Perbandingan akidah dan fahaman umat Islam` dan perlu diperjelaskan agar dapat dinilai antara yang benar atau sebaliknya. Terdapat dua belas aliran akidah yang telah berlaku di dalam Islam. Iaitu :
1)       Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah    
2)      Khawarij
3)      Shi`ah
4)      Mu`tazilah
5)      Murjiah
6)      Najariyyah
7)      Jabariyyah
8)      Mushabbihah
9)      Ibn Taimiyah
10)   Wahabi
11)   11) Baha`iyyah
12)   Qadyani
Sedang di dalam Shi`ah terpecah kepada 8 pecahan sebagaimana dibincangkan oleh Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah di dalam bukunya `Aliran Politik Dan Akidah Dalam Islam`  iaitu:
1)       Saba`iyyah
2)      Ghurabiyyah
3)      Al-Kaisaniyyah
4)      Zaidiyyah
5)      Imamiyyah 12
6)      Isma`iliyyah
7)      Hakimiyyah dan Druz
8)      Nashiriyyah
Tuan Haji Said lebih detail mencatatkan bahawa di dalam berbagai aliran Shi`ah itu berpecah lagi sehingga kepada 72 pecahan.
Perpecahan dalaman ini lebih dari bebenan yang memecahbelahkan umat Islam. Sepatutnya tidak seharusnya berlaku perpecahan, khususnya di dalam bidang akidah umat dan tidak sepatutnya berlaku di dalam bidang-bidang lain di kalangan umat Islam.
Namun akidah umat Islam dipersatu dan dipertahankan, khususnya Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah melalui antaranya faktor-faktor berikut:
Penyatu Utama:
1)      Al-Qur`an dan Rasulullah
Penyatu utama umat Islam tidak lain dari Al-Qur`an dan Al-Sunnah. Di dalamnya mengandungi berbagai-bagai prinsip akidah tentang Ketuhanan dan segala bidang yang lain. Keharmonian pegangan berlaku pada zaman Rasulullah dan tidak timbul perpecahan akidah pegangan. Jika timbul apa-apa persoalan terus dikemukakan kepada Rasulullah.
2)      Gugatan Akidah
Akibat dari berlaku pertikaian di dalam kalangan umat Islam dan timbulnya aliran seperti Khawarijh, Qadariyyah, Mu`tazilah dan Jabariyyah. Namun lahir ulama`-`ulama mempertahankan aqidah seperti Al-Ash`ari, Al-Maturidi dan Al-Tahawi (pendekatan bersifat Salaf) dan pendukung-pendukung mereka. Masing-masing mengambil pendekatan yang hampir sama di dalam pendekatan keilmuan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
3)      Menghasilkan karangan-karangan
Bagi mempertahankan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah mereka menghasilkan karangan-karangan yang memantapkan akidah Ahlu al-Sunnah wa Al-Jama`ah seperti Ash`arii menghasilkan  Maqalat al-Islamiyyin dan Al-Ibanah fi Usul al-Diyanah dan Al-Maturidi menghasilkan seperti Kitab al-Usul dan Kitab al-Tauhid, manakala Al-Tahawi menghasilkan Usul al-`Aqidat al-Islamiyyah. Karangan-karangan mereka menjadi induk bagi pendekatan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
4)      Perlanjutan oleh Pendukung-Pendukung
Pemantapan pendekatan-pendekatan tokoh-tokoh akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`h ini diperkukuh dengan  adanya pendukung-pendukung yang melanjutakan pengajaran mereka dan memperluaskannya oleh  pendukung bagi Ash`ari seperi Al-Juwaini dan al-Baqillani dan bagi Al-Maturidi ialah al-Taftazani. Turut memperkembangkan aliran Sunni di alam Melayu seperti oleh Shaykh Daud al-Fatani, Shaykh Muhammad Zain al-Fatani, Shaykh Abdul Malik Terengganu , Tuan Hussein Kedah , Tuan Tabal dan Tuan  Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani. Masil-masing menghasilkan kitab-kitab memantapkan aliran akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
5)      Institusi Pengajian
Institusi pendidikan Islam baik berbentuk masjid, surau, pondok, sekolah agama membawalah kepada pengajian tinggi yang menagadakan fakulti dan jabatan yang mengajar agama Islam, khususnya bidang akidah keislaman adalah sama memainkan peranan di dalam memantapkan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang di warisi hingga kini.
6)       Pengawalan dari Pihak Pemerintah yang berhubung dengan bidang Agama
Untuk menjaga kemantapan akidah Islam, khususnya mempertahankan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah pihak pemerintah seharusnya di dalam mentadbir perjalanan agama,  memberi perhatian terhadap bidang akidah dengan mempekembangkannya melalui pengajaran dan pengawalan dan pencegahan dari timbulnya ajaran sesat dan menyeleweng dan membasmikannya jika wujud. Dengan demikianlah tidak berlaku pertambahan aliran-aliran akidah yang bercanggah dengan Islam.
7. Pakatan Pada Peringkat Antarabangsa (Umat).
Adanya kerjasama antara negara-negara Islam seperti OIC dan sebagainya seharusnya menjadi mekanisme yang menyatukan umat Islam, tetapi apa yang selalu dibincangkan di dalam pertemuan dan persidangan ialah berhubung dengan politik dan ekonomi, sewajarnya diberi perhatian dari segi pengajian  dan penumpuan mempersatukan umat Islam termasuklah memperdekatkan kesatuan akidah yang dapat mendepani cabaran akidah terhadap umat Islam semasa.
Berbagai pendekatan lagi dapat difikirkan bagi penyatuan dan pengukuhan umat Islam terutama dari segi akidah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment