BBB, 24
Rajab 1437 = 02 Mei 2016 (Isnin):
Kelahiran Shi`ah pada asalnya adalah digerakkan oleh pembelaan
terhadap Sayyiduna `Ali dan keluarganya, khususnya Hasan dan Husain sebagai
cucu Rasulullah. Mereka dikenali sebagai `Aal al-Bayt`. Namun motif bagi yang
berjuang bagi `pembelaan berlainan`. Bagi
aliran Saba`iyyah yang dipelopori oleh Abdullah bin Saba` Pendeta Yahudi,
masuk Islam dan keterlibatannya di dalam membela `Ali dapat dibaca bahawa
beliau mempunyai motif tersembunyi bertujuan merosakkan Islam, khususnya dari
segi akidah dari dalam, sebagaimana telah dibicarakan.
Sebuah aliran Shi`ah yang penting ialah
dikenali dengan nama `Al-Kaisaniyyah`. Aliran ini dipelopori oleh watak yang
dikenali sebagai Al-Mukhtar bin `Ubaid
al-Thaqafi. Mukhtar pada asalnya adalah pendukung faham Khawarij yang keluar dari menyokong sama ada
kepada `Ali atau Mu`awiyah. Tetapi kemudian ia bertukar pendirian kepada
menyokong `Ali. Istilah Kaisaniyyah dikatakan adalah nama kedua bagi
Al-Mukhtar. Sementara pendapat yang lain mengatakan ialah nama orang yang
dimerdekakan oleh `Ali dan juga dikatakan nama kedua bagi cucu `Ali, iaitu
Muhammad bin al-Hanafiyyah yang menjadi watak penting dalam perjuangan
Al-Mukhtar.
Atas misi untuk membela Al-Husain, Al-Mukhtar berhijrah ke Kufah, tetapi beliau
bertembung dengan kumpulan penyokong lain antaranya Muslim bin `Aqil dan juga
pimpinan Abdullah bin Ziyad, mungkin Al-Mukhtar dicurigai, lantaran beliau
sebelumnya pengikut Khawarij, sebab itu beliau ditangkap dan diseksa. Atas permintaan
Abdullah bin `Umar beliau dibebaskan dan keluar dari Kufah menuju ke Hijaz.
Di Madinah ia bergabung dengan Abdullah bin
Al-Zubayr yang menguasai Madinah dan berjanji memubaya`ahkan Ibn al-Zubayr di
dalam perjuangan pembelaan. Mereka juga mendapat sokongan dari penduduk Sham,
tetapi kemudiannya selepas Khalifah Yazid bin Mu`awiyah meninggal, beliau
kembali ke Kufah dan memberi tahu penduduk Kufah, bahawa perkembaliannya pada
kali ini ialah dengan tugas suci dan besar, iaitu bagi mengambil tindakan ke
atas mereka yang menyebabkan Al-Husayn terbunuh. Iaitu dengan mengambil
strategi menyokong Muhammad bin Hanafiyyah cucu bagi Sayyiduna `Ali yang rapat
dengan Al-Husain. Muhammad al-Hanafiyyah seorang yang mempunyai perwatakan
pahlawan, berilmu pengetahuan, tajam fikiran dan dikasihi oleh masyarakat di
Kufah. Muhammad Al-Hanafiyyah diberi gelaran sebagai `Al-Mahdi Yang Diwasiatkan`.
Al-Mukhtar mengambil kesempatan atas nama Muhammad Hanafiyyah bertindak dan
melakukan perbuatan yang setengahnya tidak disenangi oleh Muhammad Hanafiyyah.
Memang ramai yang simpati dan menyokong Muhammad Hanafiyyah dan ramai yang
diperang dan ramai dibunuh di atas nama pembelaan dan tindakan mereka terhadap yang
menyebabkan Al-Husayn terbunuh. Namun Muhammad Hanafiyyah mengingatkan kepada
masyarakat yang dia tidak bertanggungjawab di atas tindakan Al-Mukhtar yang di
luar batas. Dalam peperangan yang dipimpin Mukhtar yang menyokong Muhammad
Hanafiyyah atas nama pembelaan terhadap Al-Husayn akhirnya Mukhtar dibunuh oleh
Mus`ab bin al-Zubayr.
Dilihat dari segi pegangan akidah aliran
Kaisaniyyah mempunyai pegangan akidah yang sama dan tidak sama dengan aliran-aliran dalam shi`ah sendiri. Antara
pegangannya.
1) Konsep Imam adalah Suci
Kaisaniyyah mempercayai konsep kepimpinan
`Imamiah`, tetapi Kaisaniyyah mempunyai pegangan tersendiri mengenai imam,
bahawa ia adalah bersifat suci dan patut dipatuhi. Dia adalah yang berilmu dan
adalah ma`sum.
2) Imam Akan Kembali
Sebagaimana pegangan Shi`ah yang lain mereka
mempercayai imam-imam. Mereka ini akan kembali ke dunia pada masa akan datang..
3) Imam Utama Mereka
Adalah empat iaitui `Ali, Hasan, Hussain dan
Muhammad bin Hanafiyyah. Mereka mempercayai Muhammad bin Hanafiyyah tidak mati,
tetapi ghaib di dalam peperangan dan masih berada di gunung Radhwa yang
dikelilingi madu dan air.
4) Mempercayai Allah Mengubah
Ketetapan
Allah boleh mengubahkan ketentuan selari
dengan keilmuanNya
5) Wahyu Dan Risalah
Mukhtar yang memimpin Kaisaniyyah mendakwa
mengetahui perkara mendatang dan menerima wahyu dan risalah dari imam, tetapi
bukan mendakwa sebagai rasul atau Nabi.
6) Percaya Pada Penjelmaan
Al-Kaisaniyyah mempercayai penjelmaan atau inkarnasi, juga
percaya bahawa berlaku perpindahan roh dari jasad kepada jasad yang lain dan
Imam kepada Imam yang lain. Konsep
penjelmaan atai inkarnasi merupakan
pengaruh dari agama Hindu.
7) Tiap satu ada zahir dan batin
Aliran Kaisaniyyah ini mempercayai tiap
sesuatu ada aspek zahir dan aspek batinnya dan setiap suatu ada roh.
Aliran Kaisaniyyah adalah lahir dari
pertikaian politik. Akibat dari politik melahirkan pimpinan yang mempunyai
pandangan tertentu dari segi akidah. Oleh kerana pimpinan kebanyakannya bukan
dariu kalangan ilmuan mereka berpegang dan mengeluarkan pendapat yang antaranya
tidak mantap dan bercanggah antara satu sama lain dan bercanggah dengan prinsip
keislaman. Pandangan dikaitkan dengan kelompok perjuangan mereka, iaitu Shi`ah.
Jelaslah akidah Al-Kaisaniyyah dengan
ciri-ciri Shi`ahnya membawa akidah yang
bercanggah dengan pendapat Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Sekian.
terdapat banyak kesalahan kecil di dalam artikel ini. sebagai contoh Muhammad ibn al-Hanafiyyah adalah anak ketiga Ali RA (bukan cucu) dan merupakan adik tiri al-Hasan.
ReplyDelete