May 11, 2016

Cabaran Dan Gugatan Akidah Terkini


BBB, 03 Sha`ban 1437 = 10 Mei 2-16 (Selasa):


Dalam kita menghormati dan menyanjung tinggi peranan ulama`-`ulama` yang mengambil inisiatif memurnikan dan mempertahankan Akidah Islam yang kita kenali sebagai Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Dan dalam kita mensyukuri Allah bahawa terus menerus Islam mendapat sanjungan dan penghayatan dari generasi kini dan ianya berkembang ke luar dari geografi dan kawasan tradisi budaya umat Islam selama ini, ianya mulai mendapat tempat dan sambutan di luar dari kawasan tradisi geografi dan tradisi umat Islam. Maksud kita Islam diterima secara meluas dan terdapat kelompok yang menganut Islam di luar kawasan tradisi umat. Mereka berada misalnya di Kota London, di German, di Luxemberge, di Paris, Tokyo, di Australia dan lain-lain. Mereka penganut-penganut Islam yang menerima Islam secara sukarela dan setia, walaupun di tengah-tengah majoriti bukan Islam. Logik dari penerimaan mereka yang bukan dari lingkungan geografi dan budaya umat Islam , maka sewajarnya Islam makin kuat dan teguh di kawasan geografi dan budaya umat yang sedia bertapak. Tetapi di sebalik dari penerimaan positif terhadap Islam, namun di sana ada suara-suara dan pendapat yang menggugat yang menjadi cabaran bagi umat sama ada bersifat tempatan atau global.
Apa yang ditimbulkan di atas memang ada kebenaran, dalam perkembangan ilmu dan kepesatan teknologi komunikasi, masyarakat termasuk dari kalangan  umat Islam menerima gugatan dan cabaran akidah semasa. Kelahiran kelompok dan golongan yang mencanggahi akidah bukan saja dari luar dari lingkungan umat, tetapi dari kalangan umat Islam itu sendiri. Kalau dulu motif politik, kedudukan, keturunan dan sanjungan menjadi motif kelahiran aliran-aliran akidah yang bercanggah dan menggugat akidah umat. Kini gugatan dan cabaran juga terus wujud dalam wadah dan wajah lain yang sesuai dengan zaman kini. Gugatan dan cabaran kini muncul dengan berbagai aliran dan slogan yang turut mempengaruhi sebahagian dari generasi kini. Mereka dilahirkan oleh acuan pendidikan semasa, bahkan oleh arus pemikiran global. Dalam masa Islam dilihat mesra didampingi dan dihayati generasi muda, tetapi gugatan dan cabaran juga lahir dari kalangan mereka. Dari mereka tercetus umpamanya slogan-slogan seperti `Dunia hak semua`, `Globalisasi & Diskriminasi, `Masyarakat Tanpa Kelas`, Human Rights`, Global Civil Society, `Kesamaan Gender`, `Global Ethic` dan sebagainya. Tercermin di dalam slogan-slogan berkenaan sifat penentangan, menuntut keadilan, nilai sejagat,  kesamarataan dan dunia tanpa sempadan.
Mungkin dilihat dari slogan-slogan di atas lebih kepada perjuangan politik, kemanusiaan, pembelaan, keadilan dan kesamaan dan tiada hubungan dengan Islam dan adalah kelihatan baik. Tetapi dari slogan dan perjuangan di atas  menelurkan berbagai gagasan, cadangan, desakan  dan pendekatan. Antaranya terpercik sama kepada persoalan Islam, seperti:
1.       Faham Pluralisme
Faham ini lebih meraikan pihak banyak biarpun bercanggah dan menentang prinsip. Sebagai contohnya
a)      Menganjur faham semua agama adalah sama dan menuju kebenaran. Sebab itu tidak wajar dibeza dan dipersalahkan antara satu agama dengan  agama yang lain.
b)      Menganjurkan kebebasan untuk menganut mana-mana agama tanpa syarat dan sekatan.
c)       Berkongsi sama sambutan adat-budaya dan upacara yang kadang-kadang melibatkan keagamaan.
d)      Menganjurkan kebebasan pergaulan
e)      Anjuran mengikuti Millah `Ibrahim` sebagai sumber utama dan sama bagi penyatuan agama.
2)  Faham Liberalisme
Menekankan kebebasan dan hak diri perseorangan (individu)
a)      Hak untuk murtad
b)      Dengan ibu bapa Islam tidak seharusnya anak mesti ikut Islam
c)       Membenarkan individu yang Islam kembali kepada agama asal tanpa sekatan
d)      Bukan Islam kahwin dengan Islam tidak perlu masuk Islam
e)      Anak dari bapa tidak Islam tidak wajar diberi di bawah jagaan  ibu Islam
3)  Sekularisme
Memandang kehidupan hanya di dunia, tiada akhirat. Pentingkan kekinian.
a)   Al-Qur`an perlu ditafsir semula menurut keperluan kini
b)   Mempertikaikan Hadith, terkenal sebagai Anti Hadith
c)   Mempertikaikan hukum Syara` – Contoh Hudud.
d)  Meragukan penyusunan al-Qur`an
e)  Mempersoalkan amalan yang dianggap mengganggu ketenteraman

4)  Kebebasan Wanita
a)  Mempersoalkan keadilan pembahagian harta pusaka antara lelaki dan perempuan
b)  Mempersoalkan hukum poligami.
c)  Kuasa `Tolak = Cerai` juga harus diberi kepada perempuan
d)  Wanita patut  juga menjadi imam
e)  Persoal pakaian wanita yang menuntut menutup aurat

Di atas antara perkara-perkara yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang anti Islam yang melibatkan akidah pegangan dan amalan. Jika perkara seperti di atas datang dari mereka yang bukan Islam mungkin adalah normal, namun perkara-perkara yang berkenaan turut datangnya dari kalangan orang Islam sendiri. Gugatan ini perlu ditangani terutama oleh pihak yang berwibawa agar ianya tidak terus dijadikan sebagai senjata oleh musuh bagi menikam Islam.

Sekian.


No comments:

Post a Comment