May 4, 2016

Zaidiyyah Shi`ah Sederhana Dekat Dengan Sunni


BBB,  25  Rajab 1437 = 03  Mei 2016 (Selasa):


Salah sebuah dari firqah Shi`ah ialah aliran Shi`ah Zaidiyyah. Aliran  ini dianggap mempunyai pendekatan sederhana dan paling dekat dengan aliran Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah berbanding dengan aliran-aliran Shi`ah yang lain.
Sebagaimana nama aliran ini Zaidiyyah, maka aliran Zaidiyyah dinisbahkan kepada Zaid bin `Ali bin Zainal Abidin – turunan Rasulullah s.a.w. Keberadaannya ialah pada zaman Khalifah Umawiyyah – Hisham bin Abdul Malik (105-125H.). Zaid dikatakan seorang yang  sentiasa di dalam jama`ah Islam. Dia adalah mencintai ilmu pengetahuan, mendalami banyak bidang keilmuan dan rapat dengan ulama`-ulama` pada zamannya. Bahkan tergolong sebagai ulama`. Menurut Prof. Dr. Imam Muhammad Abu Zahrah, antara yang berguru dengannya ialah Wasil bin `Ata` Pengasas Mu`tazilah dan juga Abu Hanifah yang dikatakan Abu Hanifah simpati dan berpihak kepadanya. Zaid lebih mendalam di dalam bidang fiqh dan ilmu al-kalam. Di dalam bidang fiqh beliau mempunyai karangannya sendiri iaitu  berjudul `Al-Majmu`.
Di atas ketokohan ini beliau dilihat layak sebagai Imam Shi`ah yang kemudian dinisbahkan kepadanya. Seteru utamanya tidak lain dari pemerintah Umawiyyah dan beliau terlibat di dalam peperangan-peperangan bagi menegakkan aliran Shi`ahnya. Ironinya di samping menghadapi musuh utama dari kerajaan Umawiyyah, kepimpinannya ditentang oleh saudaranya sendiri iaitu Muhammad al-Baqir yang menganggap Zaid masih tidak berkelayakan.
Keterlibatannya dengan banyak bidang keilmuan membentuk pandangannya yang sederhana. Antara pendiriannya:
1)       Imam Tidak Ditentu Nabi
Zaidiyyah menganggap Imam tidak ditentu dan ditunjuk Nabi secara langsung, tetapi diberi tentang sifat-sifat. Namun dengan sifat-sifat  yang dicirikan, `Ali adalah bertepatan dan mencukupi syarat.
2)      Menerima Perlantikan Abu Bakar Dan `Umar
Zaidiyyah menerima perlantikan Abu Bakar dan `Umar sebagai khalifah yang dilantik secara al-Hallu wa al-`aqd dengan mengutamakan maslahah umat.
3)      Tidak Mengkafirkan Para Sahabat
Zaidiyyah tidak mengkafirkan para sahabat sebagai pendirian banyak dari aliran Shi`ah.
4)      Perlantikan Imam Tidak Semestinya Dari Kalangan Terbaik
Boleh dilantik bila mencukupi syarat dan terpilih
5)      Boleh Dilantik Lebih Imam Di Tempat Berlainan
Pada dasarnya hanya satu imam pada suatu masa.
Namun dengan pendirian sederhana Zaidiyyah yang dekat dengan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah  dan percanggahan-percanggahan pendapatnya dari kebiasaan dari satu pihak mengundang musuh menentangnya. Pendapatnya bahawa perlantikan `Imam` tidak semestinya dari kalangan terbaik dari pemimpin, boleh dari kalangan yang ssedikit kurang baik. Pendapat ini memakan dirinya yang dilihat oleh musuh-musuhnya tidak mencukupi syarat sebagai imam. Toleransi Zaidiyyah terhadap perlantikan Abu Bakar dan `Umar tidak disetujui Shi`ah banyak. Pendapat Zaidiyyah yang mempunyai kemiripan dengan aliran Mu`tazilah, lantaran Wasil bin Ata` berguru dengannya. Dan Zaidiyyah selari dengan pendapat Mu`tazilah bahawa yang berdosa besar kekal di dalam nereka. Oleh kerana ada hubungan keilmuan antara Zaid dan Wasil bin `Ata`, maka banyak persoalan akidah Zaidiyyah bersamaan dengan Mu`tazilah dan tidak bersesuaian dengan Ash`ariyyah dan Maturidiyyah. Faktor ini juga menyebabkan beliau tidak disenangi.
Juga pendapat boleh disifat ganjil dan bertentang dengan prinsip imamiah, bahawa boleh dilantik imam pada daerah yang lain yang tidak menimbulkan konflik dengan imam yang ada. Ini kemungkinan untuk memberi ruang kepada perlantikan beliau kepada  tahap Imam ?  Imam seharusnya seorang pada satu masa.
Pendirian Zaidiyyah yang dengan sifat sederhana, mungkin dilihat sebagai baik dan tidak ekstrim bagi yang mau melihat keserasiannya dengan aliran-aliran yang lain, khususnya dengan  Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Tetapi dari satu segi dilihat oleh kalangan Shi`ah terutama yang bersifat ekstrim sebagai pendirian yang lemah dan menggugat Shi`ah itu sendiri, sebab itu Zaidiyyah dan pengikut-pengikutnya menempah seteru dalam masa pengikutnya makin berkurangan kerana protes terhadap pendiriannya yang bercanggah dengan prinsip dan faham Shi`ah yang boleh disifatkan sebagai ekstrim yang  menimbulkan keadaan tidak puas hati di kalangan pengikut-pengikut.
Pada akhirnya Zaidiyyah terpaksa menentang saudaranya sendiri Muhammad al-Baqir yang tidak menyetujuinya, juga menentang Pimpinan Yusuf ibn Amru al-Thaqafi  dan lebih dari itu ancaman berterusan dari pihak pemerintah Khalifah Hisham bin Abdul Malik Khalifah kerajaan Umawiyyah pada zamannya. Akhirnya di tangan pemerintah inilah Zaid gugur. Pimpinannya digantikan oleh Yahya, tetapi dalam masa terdekat Yahya turut terbunuh di dalam peperangan pihak tentera pemerintah Umawiyyah. Kemudian kepimpinan diambil alih dan diteruskan oleh Muhammad al-Imam dan Ibrahim yang kedua-duanya ialah anak Abdullah bin al-Hasan yang juga menjadi guru bagi Imam Abu Hanifah. Dikatakan dari hubungan keilmuan  dan peribadi ini akibat peperangan yang dipimpin Ibrahim di Iraq menyebabkan Imam Abu Hanifah yang bertempat di sana disiksa oleh pemerintah Umawiyyah sedang Muhammad yang memimpin pasukan peperangan di Madinah menyebabkan Imam Malik yang rapat dengannya turut diseksa, lantaran dengan adanya perhubungan berkenaan  mereka dituduh memberi sokongan dan galakan..
Oleh kerana masalah dalaman Zaidiyyah yang bercanggah dengan aliran Shiah yang ektrim dan kepimpinan yang berganti makin lemah, maka aliran Zaidiyyah sendiri berpecah kepada dua firqah, iaitu satu ialah berpihak kepada Aliran Zaidiyyah lama yang diasaskan oleh Zaid dan kedua Aliran Zaidiyyah Baru (Kemudian) yang mengubah pendirian dan mengambil sikap ekstrim dengan tujuan untuk menselarikan aliran Zaidiyyah dengan aliran-aliran Shi`ah yang lain. Aliran Zaidiyyah masih berterusan walaupun tidak popular dan bukan sebagai aliran utama Shi`ah. Adalah dikatakan Aliran Zaidiyyah yang ada di Yaman pada masa ini adalah berpegang pada aliran Zaidiyyah lama. 
Demikianlah akibat dari pergolakan politik dalaman dan luaran Zaidiyyah lemah dan berpecah kepada yang masih lagi bersifat sederhana, di samping lahir aliran Zaidiyyah ekstrim.

Sekian.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                          

No comments:

Post a Comment