BBB, 29 Rajab 1437 = 07 Mei 2016 (Sabtu):
Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim di dalam
bukunya memberi tumpuan pembicaraan
tentang Shi`ah melibatkan satu pertiga dari bahagian bukunya pada bahagian
permulaan - Fasal 2 (hlm. 17) hingga Fasal 8 (hlm. 227) daripada jumlah halaman
buku (630 hlm.). Berbanding dengan fasal-fasal yang lain yang tidak diberi
huraian panjang lebar sebagaimana berhubung denngan Shi`ah, iaitu tentang
khawarij, Mu`tazilah, Qadariyyah, Jabariyyah, Murjiah, Najariyyah, Mushabbihah, Baha`iyyah, Qadyani
(Ahmadiyyah), Ibn Taymiyyah dan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Kita tidak akan membicarakan kembali
aliran-aliran berbagai (12 aliran dalam buku Haji Said) selepas membicarakan
tentang Shi`ah dengan agak menyeluruh yang tidak tertumpu kepada buku
`Perbandingan Akidah dan Fahaman Umat Islam) sahaja, tetapi juga dengan
tambahan maklumat-maklumat dari buku-buku lain mengenai Shi`ah. Secara kasar
kita telah memahami kesemua aliran akidah dan fahaman umat Islam. Kita akan
melihat secara kasar tentang semua aliran di atas secara `Perbandingan` kerana
pendekatan inilah juga yang diambil oleh Tuan Haji Said di dalam bukunya di
atas.
Kalau kita kembali kepada pendekatan akidah
Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, maka topik dan persoalan-persoalan yang utama
diberi perhatian dan pokok segala pembicaraan ialah tentang Ketuhanan, dari
konsep Dhat, sifat, pecahan-pecahan sifat dan ta`alluq berhubung dengan
makhluk, dalil dan burhan yang bersifat
akli dan naqli. Juga membicarakan tentang kerasulan, kemudian berpindah kepada
rukun-rukun iman yang lain yang tumpuan bagi rukun-rukun iman yang lain
tidaklah sepanjang pembicaraan terhadap kepercayaan kepada Allah, juga
rasulnya.
Antara ciri yang ketara berbeza pendekatan
Sunni dengan Shi`ah, bahawa pembicaraan akidah Shi`ah bukan murni akidah
terhadap Yang Maha Tinggi `Ketuhanan`. Bagi Shi`ah bukan bertolak dari segi
Ketuhanan, tetapi kepada `Manusia` yang diberi status `Imam` yang melahirkan
status imam ini akibat dari pergolakan politik sebagaimana telah maklum. Adalah
dilihat pada watak Imam inilah berkisar jika boleh dikatakan `akidah` bagi
aliran Shi`ah. Pergerakan persoalan juga adalah bersifat alamiah, bahawa Imam
ini `ditunjuk` oleh nabi sebagai authoriti tertinggi dan konsep tunjuk ini
berterusan digunakan bagi perlantikan seterusnya. Ada elemen sentimen dan
ta`assub yang tinggi di dalam perlantikan, lantaran perlantikan berdasarkan
keturunan sebagai Shi`ah 12. Dari segi logik dan rasional adalah kemungkinan
bahawa tidak semua yang dilantik berdasarkan keturunan mempunyai kelayakan dari
segi kepimpinam, keilmuan dan kelayakan-kelayakan kepimpinan yang lain,
walaupun tidak dapat dinafikan antara mereka ada yang berwibawa seperti Musa
al-Kazim dan beberapa lagi. Ini tidak bererti kita prajudis terhadap turunan
Rasulullah s.a.w. sebagaimana kita tidak boleh prajudis terhadap kalangan umat
Islam dan pimpinan Khulafa` al-Rashidin yang tidak memilih Sayyiduna `Ali pada
peringkat awal, tetapi dipilih sebagai khalifah yang keempat. Di situ ada
konsep kebebasan memilih di samping ada konsep cadangan dan tunjukan seperti
kepada Sayyiduna `Umar Ibn al-Khattab. Bermakna adanya konsep kebebasan
pemilihan di samping ada konsep bimbingan.
Pendekatan pemilihan kepimpinan pada zaman
Khulafa` al-Rashidin adalah merupakan pendekatan pemilihan pimpinan yang diakui
sebagai pendekatan dan pengakuan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah.
Kalau kita lihat kepimpinan Khulafa`
al-Rashidin yang empat dari Abu Bakar, Umar, Uthman dan `Ali, maka bagi
kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak meletakkan mereka di luar dari
kepimpinan manusia biasa. Dalam maksud tidak ada digambarkan sebagai mempunyai
kehebatan super-natural atau mempunyai kelebihan luar dari batas manusia.
Perjalanan pemerintahan adalah bersifat rasional dan kerajaan yang dibangunkan
mereka ialah kerajaan manusia berprinsip dan berakidahkan Ketuhanan dan
Kerasulan. Mereka tidak membuat undang-undang dan hukum-hukum sendiri, tetapi
adalah berpandukan kepada Al-Qur`an dan Al-Hadith, Ijma` dan Kias yang ciri
sedemikian menjadi panduan dan berterusan hingga kini.
Berlainan dengan konsep kepimpinan dalam
Shi`ah, pada imam diberi authoriti tanpa batas, bahkan bagi setengah aliran
dalam Shi`ah pada pimpinan dilihat sebagai jelmaan dari Tuhan, iaitu sesuatu
yang tidak ada kompromi bagi Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Bahawa antara
manusia dan makhluk ada batas yang tidak mungkin manusia boleh meningkat kepada
Tahap Ketuhanan. Pada Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak mungkin memberi hak
pada kepimpinan yang kata-katanya (selain dari Rasulullah) sebagai hukum yang
tidak boleh dipersoal dan dibantah. Hak hamba adalah pada batas kehambaannya
dan Ketuhanan adalah dengan KetuhananNya.
Pada pimpinan seperti Khulafa` al-Rashidin,
tiada pada mereka apa yang distilah di dalam Shi`ah konsep zahir dan batin yang
kepimpinan seolah-olah mengetahui apa yang ghaib dan batin. Aspek ini dijadikan
makenisme yang harus diterima oleh golongan Shi`ah yang sebenarnya lebih
bersifat authoriti yang tidak boleh dibantah. Mekanisme ini digunakan di dalam
perlanjutan pimpinan. Bahkan mekanisme ini digunakan sebagai skeptis dan tidak normal di dalam perlantikan
berdasarkan `batin dan rahsia` bagi perlantikan seperti Muhammad al-Maktum
sebagai mengambil tapak bapanya Ismail dan membelakangi hak tradisi terhadap
Muhammad al-Kazim. Mekanisme ini sebagai memberi authoriti, tetapi juga memberi
laluan kepada perpecahan yang tiap pimpinan boleh menggunakan authoriti ini
bagi mewujudkan aliran tersendiri seperti Ismailiyyah dan pecahan-pecahan
daripadanya. Ianya seolah-olah tanpa kawalan dan terus mewujudkan kepelbagaian
dan perpecahan sebagaimana terdapatnya pecahan-pecahan di dalam Shi`ah itu
sendiri.
Di dalam Shi`ah elemen politik, kepimpiunan
dan turunan menjadi isu utama di dalam
perkembangan Shi`ah itu sendiri, tetapi kalau kita lihat di dalam pendekatan
Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah persoalan ilmu, penafsiran dan pengolahan menjadi
pokok pembicaraan. Pertentangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah misalnya dengan
Mu`tazilah, Qadariyyah dan Jabariyyah berhubung dengan persoalan-persoalan
ilmu. Misalnya penentuan persoalan baik dan buruk, konsep dosa besar, solah dan
aslah, soal iktiar, qadha` dan qadar dan sebagainya adalah berasaskan ilmu dan
ilmiah. Perbahasan keilmuan berasaskan rasional akal yang mengangkat perbahasan
bernilai ilmiah yang tinggi. Hujah-hujah
yang dikemukakan yang bersifat akal dan naqal mengukuhkan perbahasan. Ianya
memperkembangkan keilmuan sebagai tradisi ilmu yang bersifat budaya
intelektual. Berbanding dengan perbahasan di dalam Shi`ah berligar pada
pimpinan yang bersifat turunan dan penggunaan authoriti dan kuasa yang bersifat
rahsia yang dapat dipersoal dari segi rasional yang juga dipersoalkan dari segi
intelektual. Tiada kawalan dan tiada disiplin keilmuan menyebabkan makin
bertambahnya aliran-aliran bercanggahan yang sukar diterima secara ilmu dan
sukar dijadikan asas pegangan dan keyakinan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment