May 1, 2016

Kepimpinan Shi`ah Berdasarkan Imamiah


BBB,  22 Rajab 1437 = 30 April 2016 (Sabtu):
Politik kepimpinan adalah faktor utama yang melahirkan Shi`ah. Pihak kepimpinan Shi`ah dan pengikut-pengikut tidak mengiktiraf perlantikan khalifah-khalifah Abu Bakar, Umar dan `Uthman. Mereka berpendiririan Sayyiduna Ali k.w. adalah pimpinan yang  `legitimate`  dan berhak menjadi khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Mereka berpendapat ketiga-tiga pimpinan adalah berdosa kerana mengambil kepimpinan dari pihak yang berhak, iaitu Sayyiduna Ali k.w. Mereka tidak mengiktiraf konsep `Penunjukan` dan `Pemilihan` secara majoriti yang berlaku di dalam pemilihan termasuk antaranya disertai Sayyiduna Ali. Misalnya pemilihan pimpinan ketiga ialah Sayyiduna Uthman bin Affan., pihak yang diberi mandat memilih ialah Sayyiduna Ali, Sayyiduna `Uthman bin `Affan, Zubair bin al-`Awwam, Sa`ad bin Abi Waqqas, Abdul Rahman bin `Auf, Talhah bin `Ubaidillah dan Abdullah bin `Umar. Sayyiduna Ali memberi kerjasama yang baik dengan khalifajh-khalifah yang dilantik. Misalnga semasa Sayyiduna Umar al-Khattab ke Baitul Maqdis kerana menerima penyerahan Kota Baitul Maqdis dari Kerajaan Rum Timur, maka Sayyiduna Ali k.w. dilantik oleh Khalifah `Umar Ibn al-Khattab mengganti beliau menjalankan pemerintahan dan pentadbiran di Madinah semasa pemergiannya.
Sebagai ganti kalangan Shi`ah mewujudkan konsep kepimpinan di dalam Shi`ah ialah kepimpinan `Imam`. Mereka berpendapat `Imam` ialah pangkat tertinggi menurut Shi`ah di dalam Islam, bahkan menjadi rukun di dalam pengakuan Islam, iaitu (Menurut Shorter Encyc. of Islam, 1974: 535):
Percaya kepada keesaan Allah
Percaya kepada wahyu Al-Qur`an yang bersifat abadi. dan bukan diciptakan dan
Percaya kepimpinan Imam adalah dipilih oleh Allah – Pimpinan lahiri dan rohani .
Mereka berpendapat kedudukan kepimpinan begitu tinggi, sebab itu pimpinan tidak boleh dibiarkan kepada pengikut-pengikut yang rendah dari segi kedudukan dan kerohanian membuat pilihan terhadap kepimpinan. Menurut mereka Imam hendaklah melalui pilihan dan tunjukan sebagaimana pendapat mereka bahawa Sayyiduna Ali ditunjuk oleh Nabi Muhammad s.a.w. Dan Imam-imam seterusnya ditunjuk pula oleh imam-imam berkedudukan pada zamannya. Mereka berpendapat orang-orang yang memilih khalifah secara bermesyuarat (syura) adalah mereka yang berdosa.
Pihak Shiah juga berpendapat bahawa Imam-imam yang dilantik adalah mereka yang `ma`sum` (tidak berdosa), sebab itu mereka tidak boleh diganggu-gugat dan tidak boleh dikritik.
Bagi kaum Shi`ah, Imam-Imam bagi kaum Shiah, mewarisi Nabi, dan masih menerima wahyu dari Tuhan, walaupun tidak melalui Jibril. Mereka berpendapat imam-imam Shi`ah masih mewarisi kenabian atau jawatan Nabi, walaupun bukan nabi.
Kaum Shi`ah meletakkan Sayyiduna Ali sebagai imam pertama mereka, walaupun konsep kepimpinan Imam dan Shi`ah belum lahir pada zaman Sayyiduna Ali k.w. dan Sayyiduna Ali terlibat sama memilih antara kepimpinan khalifah-khalifah.
Pihak Shi`ah juga meletakkan beberapa sahabat yang tidak rapat dengan khalifah dan suka menyendiri sebagai pendukung-pendukung Shi`ah seperti Abu Dharr al-Ghifari,, Salman Al-Farisi, Al-Miqdad dan beberapa yang lain, pada hal mereka tidak ada kaitan dengan Shi`ah dan tidak terlibat.
Adalah ironi, menurut kepercayaan Shi`ah bahawa imam-imam mereka adalah ma`sum dan dilantik dengan penunjukan dari imam-imam berkedudukan. Tetapi jika dilihat kepada pengiktirafan mereka terhadap Imam sebenarnya lebih kepada keturunan sebagaimana Imam 12 mereka, iaitu:
1.       Sayyiduna `Ali k.w. (m. 40H.)
2.       Sayyiduna Hassan bin Ali bin Abi Talib (m. 50H.)
3.       Sayyiduna Hussein bin Ali bin Abi Talib (m. 61H.)
4.       Ali Zainal Abidin bin Hussein bin Ali bin Abi Talib (m.94H.)
5.       Muhammad al-Baqir bin Ali bin Zainal Abidin (m.117H.)
6.       Ja`afar al-Siddiq bin Muhammad al-Baqir (m. 148H.)
7.       Musa al-Kazim bin Ja`far al-Siddiq (m. 183H.),
8.       Ali Reda bin Musa al-Kazim (m.202H.)
9.       Muhammad al-Jawab bin Ali Reda (m. 220H.)
10.   Ali bin Muhammad bin Ali Reda (m. 254 H.)
11.   Hassan bin Ali bin Muhammad al-`Askari (m. 260H.)
12.   Muhammad bin al-Mahdi (Mereka percaya Ghaib 260H.).
Menurut kepercayaan Shi`ah Imam mereka yang kedua belas iaitu Muhammad bin Hussein al-Mahdi, ialah Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Mereka mempercayai ianya tidak meninggal, tetapi ghaib dan akan kembali pada akhir zaman bagi  menegakkan kebenaran dan keadilan di dunia dan akan menghukum orang-orang yang tidak menerima kepercayaan Shi`ah !
Dari segi pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang diiktiraf selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. ialah kepimpinan Khulafa` al-Rashidin, iaitu Abu Bakar, Umar, `Uthman dan Ali.
Pihak Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah tidak menerima dakwaan pihak Shi`ah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. berwasiat, bahawa hendaklah melantik khalifah pertama Islam selepas kewafatan Baginda ialah Sayyiduna Ali k.w.
Pada zaman moden ini selain dari konsep melantik pimpinan secara penunjukkan seperti berlaku kepada Imam Khumaini, tetapi pemilihan presiden turut dilakukan pemilihan secara pilihanraya seperti berlaku kepada Rafsanjani, Ahmad bin Nijad dan Hassan Rohani Presiden kini.
Walau bagaimana pemilihan terhadap pimpinan Shi`ah 12 di atas sebagai turunan Rasulullah s.a.w. anak cucu bagi Sayyiduna `Ali dan sebagai Aal al-Bayt adalah dihormati dan dimuliakan, tetapi bukan meletakkan mereka pada tahap Imam atau khalifah.
Jelaslah kelahiran Shi`ah merupakan akibat dari politik pemerintahan, khususnya dari pemilihan Khalifah. Pendukung-pendukung Sayyiduna Ali merasakan Sayyiduna Ali sewajarnya dilantik sebagai khalifah pertama di dalam Islam, walaupun bagi Sayyiduna Ali tidak timbul soal melantiknya atau tidak. Yang memasalahkan ialah pengikut-pengikut ramai yang merasa tidak puashati bukan saja mengenai perlatikan khalifah, tetapi juga persoalan Tahkim dan peristiwa di Padang Karbala`  yang menyayat hati terhadap turunan Rasulullah, iaitu dengan terbunuhnya Sayyiduna Hussein di Padang Kerbala yang terus ditangisi golongan Shi`ah terhadap Sayyiduna Ali dan turunan dan turunan Rasulullah s.a.w. Himpunan segala peristiwa yang menyayat hati meningkatkan pembelaan terhadap Sayyiduna Ali k.w. dan menjadi episod-episod yang terus diingati dan ditangisi dan meneruskan pembelaan terhadap Sayyiduna Ali dan turunannya yang juga merupakan turunan Rasulullah s.a.w.
Demikianlah perjalanan sejarah yang merakam peristiwa.

Sekian.

No comments:

Post a Comment