April 30, 2016

Tumpuan Utama Pada Faham Shi`ah


BBB, 21 Rajab 1437 = 29 April 2016 (Jumaat):
Dalam bukunya berjudul `Perbandingan Akidah Dan Fahaman Umat Islam` yang setebal 630 halaman tumpuan utama perbincangan oleh Pengarangnya Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim ialah tentang Shi`ah bermula dari Fasal 2 (hlm. 22) hingga Fasal 8 (hlm. 226). Ini bererti satu pertiga daripada kandungan buku Tuan Haji Said ini membicarakan tentang Shi`ah. Berbanding dengan buku I`tiqad Ahlussunnah Wal-Jamaah karangan K.H. Sirajuddin Abbas yang mempunyai topik-topik yang sama hanya memperuntukkan persoalan mengenai Shi`ah ialah mulai pecahan IV –V (hlm. 77-136) daripada jumlah halaman buku (356hlm.). Ini bererti tumpuan utama yang diberi perhatian oleh Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim ialah tentang Shi`ah.
Mengapa tumpuan diberi terhadap Shi`ah ?
Antara faktor-faktor mengapa persoalan Shi`ah menjadi tumpuan pembicaraan antaranya:
1)      Faktor Sejarah Perlantikan Khalifah
Tidak seperti setengah-setangah faham yang lain yang antaranya bersifat cetusan  persoalan  seperti mushabbihah yang akibat dari sumber dan interpretasi terhadap ayat Al-Qur`an menyebabkan timbulnya fahaman berkenaan, tetapi Shi`ah adalah  timbul dari faktor sejarah dan pergolakan di dalam kalangan umat Islam seperti kaitan Sayyidina Ali k.w. dengan perlantikan khalifah yang dianggap oleh golongan  Shi`ah sepatutnya menjadi khalifah pertama – dengan bukti Hadith yang dipegangi oleh pihak Shi`ah, walaupun pada hakikatnya Sayyiduna Ali tidak terlibat dengan perlantikan, bahkan pada perlantikan khalifah-kahlaifah kedua dan ketiga tidak menunjukkan Sayyiduna Ali berminat dengan jawatan berkenaan. Di dalam pemilihan beliau tidak terpilih dan tidak menjadi persoalan baginya. Namun faktor tidak terpilihnya beliau dari peringkat awal dijadikan hujah tidak puas hati oleh kalangan Shi`ah yang terbentuk kemudian tentang tidak terlantiknya Sayyiduna Ali.
2)      Perebutan Pengaruh Antara Turunan
Pada satu pihak keengganan pembesar-pembesar Quraisy terutama Abu Sufyan dari Bani Hashim pada peringkat awal tidak menerima Islam, kerana Nabi Muhammad yang dari turunan Abdul Muttalib membawa Islam mencabar tradisi dan budaya yang dipegangi mereka, bukan dari segi salah dan benar. Pertikaian antara Muawiyah bin Abi Sufyan dan Sayyiduna Ali ada unsur asabiyyah turunan Abi Sufyan yang mau mengembalikan kepimpinan mereka dalam masyarakat melalui perebutan Khalifah oleh Muawiyah dari Sayyiduna Ali. Faktor ini menyemarakkan pertentangan antara dua keturunan.
3)       Sentimen Terhadap Sayyiduna Ali
Sayyiduna Ali seorang yang amat rapat dengan Rasulullah s.a.w. Beliau bukan saja sepupu Nabi Muhammad s.a.w. Beliau adalah kalangan anak yang terawal menerima Islam. Tatkala Rasulullah s.a.w. hendak berlepas untuk hijrah ke Madinah, Sayyiduna Ali adalah orang yang  mengambil risiko mengambil tempat tidur nabi menggantikan Nabi yang keluar ke Madinah. Tindakan Sayyiduna Ali mengambil risiko bagi keselamatan Nabi menunjukkan pengorbanan Sayyiduna Ali kepada Nabi.
4. Menantu Nabi
Sayyiduna Ali adalah menjadi menantu Nabi. Sayyiduna Ali mengahwini puteri Nabi iaitu Sayyidatina Fatimah Al-Zahra`, puteri Nabi yang amat dikasihi oleh Rasulullah s.a.w.
5. Jalur Keturunan Nabi
Melalui Sayyiduna Ali dan Fatimah al-Zahra`  jalur keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Melalui mereka lahirnya turunan Nabi s.a.w., iaitu Sayyidina Hassan dan Hussain. Anak-anak Rasulullah s.a.w. yang lain sama ada meninggal awal atau tidak mewariskan turunan. Hassan dan Hussein adalah permata kesayangan Rasulullah s.a.w.
6. Kedukaan Dan Simpati
Bagi pendukung-pendukung Shi`ah dan yang menjadi faktor kelahiran Shi`ah dan firqah  seperti Khawarij, bahawa peperangan Siffin antara Sayyiduna Ali dan pendukung-pendukungnya dan disebelah pihak lawan, iaitu Muawiyah dan pendukung-pendukung yang membawa kepada pereistiwa Tahkim, yang menyebabkan kekalahan dari segi diplomasi antara pihakj Sayyiduna Ali yang diwakili oleh Abu Musa Ash`ari yang kurang dari tektik berunding dan diplomasi dengan  Amru Ibn al-`As yang mewakili pihak Mu`awiyah yang membawa kepada kemenangan diplomasi bagi pihak Mu`awiyah memberi kesan dan kekeciwaan yang mendalam terhadap peristiwa berkenaan. Ianya dari satu pihak  menambahkan simpati dan sokongan terhadap Sayyidua Ali.
7. Peristiwa Kerbala`
Adalah titik hitam di dalam sejarah umat Islam dalam mana Sayyiduna Hussein terbunuh angkara Yazid bin Mu`awiyah. Ianya ditangisi oleh penyokong kepada  keluarga Sayyiduna Ali dan memberi kesan dari segi sentimen dan penentangan yang mengukuh Shi`ah.
8. Pembelaan Terhadap Al-Bayt
Rentetan peristiwa-peristiwa di atas amat memberi kesan dan simpati terhadap keluarga Nabi yang dikenali sebagai Aal al-Bayt. Berbagai peristiwa memupuk golongan yang membelanya  yang dikenali dengan Shi`ah.
Pembentukan golongan Shi`ah ini lebih besar kesannya berbanding dengan cetusan-cetusan pandangan  yang melahirkan aliran-aliran tertentu di dalam akidah. Tetapi Shiah melibatkan lahirnya faham Shiah yang melibatkan politik yang melahirkan pemerintahan-pemerintahan seperti Iran dan pengaruhnya di negara-negara lain. Lebih dari itu membentuk padangan akidah yang berlainan dari akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Pembentukan akidah tersendiri sebagai akidah Shiah lebih parah dari perpecahan politik semata-mata, lantaran dengan akidah akan menjauh dari penyatuan di kalangan  umat  dan lebih menyukarkan untuk mengembalikan kepada penyatuan sebagaimana di alami sekarang antara faham Sunni dengan faham Shi`ah. Kelainan faham akidah ini menjadi faktor perseteruan bahkan peperangan sebagaimana dialami di negara-negara Islam di Asia Barat sekarang seperti Iraq, Syria dan Yaman dan begitu sukar pula untuk mencari perdamaian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment