BBB, 10 Rajab 1437 = 18
April 2016 (Isnin):
Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah (cetakan
pertama 1995) di dalam tulisan jawi yang diterbitkan oleh Penerbit Dar
al-Ma`rifat, Kuala Lumpur dan dicetak oleh Yayasan Terengganu Sdn. Bhd. Kuala
Terengganu.
Sedikit lagi tambahan mengenai Penulis dan
latar dari muqaddimah Penulis menyatakan:
``Kandungan kitab ini disusun berdasarkan
kurikulum kelas pengajian ta`mir masjid dan surau yang diterbitkan oleh bahagian Hal Ehwal
Islam Jabatan Perdana Menteri dan tajuk-tajuk penting yang berkaitan dengan
akidah.``
Ini mencerminkan bahawa buku yang dihasilkan
adalah memenuhi kehendak kurikulum yang disusun oleh Bahagian Hal Ehwal Islam
Jabatan Perdana Menteri. Ini bererti buku ini digunakan termasuk oleh Tuan Haji
Said mengajar di masjid dan surau dan sudah tentulah bahan yang menjadi
kandungan buku ini ialah bahan-bahan yang telah biasa digunakan termasuk oleh
Haji Said bin Haji Ibrahim sebagai Imam dan guru yang mengajar termasuk di
dalam bidang akidah di masjid dan surau.
Dari segi format pendekatan dan penyusunan
buku berbanding dengan buku I`tiqad Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah oleh K.H. Sirajuddin Abbas adalah berlainan.
Di dalam buku I`tiqad Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah oleh K.H. Sirajuddin Abbas,
beliau membicarakan di dalam satu buku tersebut tentang akidah Ahlu al-Sunnah
wa al-Jamaah berserta dengan akidah-akidah yang lain seperti Mu`tazilah,
Qadariyyah, Jabariyyah, Shi`ah, Murjiah, Ibn Taimiyah, Wahabi dan lain-lain,
sambil membandingkan akidah-akidah yang bukan dari Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah dengan akidah Ahli al-Sunnah
wa al-Jama`ah. Tetapi bagi Haji Said bin Haji Ibrahim beliau mengambil
pendekatan membicarakan semua yang berkait dengan akidah Al-Sunnah wa
al-Jama`ah di dalam satu buku Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Ini adalah
bertujuan:
1) Bagi memenuhi kehendak kurikulum
Pengajian Akidah yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana
Menteri.
2) Kandungan buku Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah yang khusus adalah
sesuai untuk digunakan bagi pengajaran orang ramai yang hadir selaku jamaah
masjid-surau bagi pengajian akidah bagi tahap awam.
3) Memasukkan akidah-akidah yang bukan dari Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah
seperti Shi`ah, Mu`tazilah, Qadariyyah,
Jabariyyah, Wahabi dan sebagainya tidak sesuai sebagai bahan pengajaran bagi
orang awam dan boleh mengelirukan mereka. Buku K.H. Sirajuddin sesuai sebagai
buku yang dipelajari secara khusus dan menjadi rujukan pada pengajian yang
lebih tinggi.
4) Dengan persamaan kurikulum dan persamaan pengajaran dapat menyatukan kaedah
pengajian dan kandungan akidah di dalam masayrakat umat.
5) Mudah menjalankan ujian.
Walau bagaimana Tuan Haji Said bin Haji
Ibrahim menyedari tentang berbagai-bagai akidah yang bukan Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah yang lahir di dalam kalangan umat Islam. Akidah-akidah yang bukan
Ahli al-Sunnah wa al-Jama`ah perlu diketahui oleh umat Islam, terutama bagi
kalangan yang mempunyai keilmuan yang lebih tinggi, agar dapat memahami dan
membezakan pendekatan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dengan akidah-akidah bukan dari Ahlu
al-Sunnah wa al-Jama`ah agar dapat mengenal pasti penyelewengan dan kesilapan
mereka dan menghuraikannya kepada mereka yang berkelayakan bagi memahami dan
menghendari dari terjebak di dalam akidah-akidah yang salah.
Memahami perlunya difahami oleh kalangan yang
lebih tinggi keilmuan terhadap akidah-akidah yang bukan Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah, maka Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim mengarang secara khusus di
dalam buku yang berlainan yang diberi judul:
Perbandingan Akidah dan Fahaman Umat Islam
Buku ini dihasilkan dalam masa berdekatan
dengan buku `Akidah Ahlu al-Sunnah wal Jama`ah (1995), sedang buku di atas bagi
cetakan pertama (1997) yang diterbitkan oleh Dar al-Ma`rifat dan sama dicetak
oleh Percetakan Yayasan Terengganu Sdn. Bhd., Kuala Terengganu.
Kesedaran Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim
untuk menyedarkan kepelbagaian akidah yang tumbuh dan berkembang dan perlu
mengelak dari terjebak di dalam akidah-akidah yang salah, maka kata Tuan Haji Said
bin Haji Ibrahim di dalam buku `Perbandingan Akidah Dan Fahaman Umat Islam,
katanya:
``Sungguhpun umat Islam di negara ini sejak
dahulu lagi menganut fahaman dan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah, tetapi
kini mereka telah banyak diresapi oleh fahaman akidah-akidah yang berlawanan
dan bertentangan dengan fahaman dan
Akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`h, sehingga sudah ada yang dipengaruhi oleh
fahaman dan akidah Shi`ah dan
Mu`tazilah, bahkan ada pula yang telah
terpengaruh dan menganut fahaman dan
Akidah Ibn Taimiyah dan lain-lain.``
Bagi menjelas
dan membetulkan fahaman dan mengukuhkan
pegangan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah kata Tuan Haji Said:
``Justeru itu saya merasa bertanggungjawab dan
berkewajipan untuk mengkaji perbezaan akidah fahaman umat Islam itu dan membuat
perbandingan di antara akidah dan fahaman Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dengan
akidah dan fahaman firqah-firqah umat Islam tersebut, dan juga membuat
perbandingan perbezaan di antara fahaman
dan akidah aliran salaf dan khalaf.``
Usaha yang dilakukan oleh Tuan Haji Said bin Haji
Ibrahim ini sudah tentulah bukan setakat perbandingan dan kefahaman, tetapi
sebagai kata Tuan Haji Said lagi sebagai harapannya, tambahnya,
``Kitab ini menjadi garis panduan untuk menentukan akidah mereka itu bercanggah
dengan akidah Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah dan terkeluar dari akidah Islam,
atau sebaliknya. Dan adalah diharapkan kitab ini menjadi sumbangan dari
penyusun dan akan memberi manfaat dan faidah kepada semua umat Islam untuk
mengenalpasti dan menilai isi kandungannya dan memahami perbandingan di antara akidah dan fahaman Ahlu al-Sunnah wa
al-Jama`ah dengan akidah dan fahaman umat Islam yang lain.
Dalam kata lain kefahaman terhadap akidah-akidah
lain diharap akan lebih menyerlahkan kebenaran dan kekuatan akidah Ahlu
al-Sunnah wa al-Jamaah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment