April 1, 2016

Kepercayaan Kepada Mala`ikat Dan Kematian: Soal Roh Dan Akal


BBB, 22 Jamadil Akhir 1437 = 22
Sebagaimana antara rukun iman ialah percayakan mala`ikat, maka demikianlah Penggubah Matan Jauharat al-Tauhid Shaykh Ibrahim al-Laqani menyatakan:
Setiap hamba ada penjaganya daripada  *  Malaikat yang menulis baik-buruk sentiasa
Dari segala amalan tanpa tinggalan          *  Walaupun rintihan ketika sakit dinukilkan
Muhasabahlah dengan diri dari lalai              * Semoga dengan prehatin diri terbelai
Kata Sharih:
Wajib atas tiap-tiap yang mukallaf itu mengi`tiqadkan bahawasanya tiap-tiap manusia yang akil baligh lelaki atau perempuan, iaitu ada malaikat yang hafazah (memelihara), dan iaitu sepuluh malaikat dan malaikat yang menyurat amal manusia yang dinamai keduanya Kiraman-Katibin – menyurat yang baik dan jahat.
Kata Sharih:
``Apabila telah mengenal engkau barang yang telah tersebut itu, maka janganlah zahir akan tubuhmu dan hawa nafsumu dan cita-cita kamu daripada perbuatan yang tiada ada manfaatnya.
Seterusnya kata Nazim:
Dan wajib beriman dengan ajal maut  *   Mencabut nyawa oleh Malakul Maut
Kematian pasti datang dengan apa cara *  Sama ada terbunuh atau mati biasa
Semua tahu bahawa setiap yang bernyawa akan mengalami kematian. Banyak ayat Al-Qur`an menyebut tentang maut antaranya ayat yang bermaksud:
``Apabila tiba ajal mereka itu tidak akan tertangguh walau sesaat dan tidak mendahului (Al-A`raf: 34). 
Kematian tetap datang dan ia adalah ketentuan dari Allah Ta`ala sama ada mati terbunuh, kemalangan atau mati biasa.
Dalam soal selepas kematian ada khilaf pendapat. Ini diperturunkan oleh Penggubah di dalam susunan matan berikut:
Selepas  binasa bertiupnya sangkakala  *  Menyatakan Imam al-Sabki kekalnya perkara
`Ajbu al-dhanab seperti ruh tetapi ditashih * Al-Muzani akan binasa sebagai sahih
Sesungguhnya segala sesuatu adalah binasa *  Peganglah pada ketentuan tentang segala

Bahawa selepas berlaku kiamat adalah semuanya binasa kecuali Allah yang Maha Berkuasa. Pensharih ada menyebut tentang ``Ajbu al-Dhanab` (tulang seni pada bahagian belakang), yang merupakan bahagian dari diri jasmani manusia sebagai `benih` bagi kebangkitannya kelak seperti yang dikatakan oleh Imam Sabki, tetapi Imam Muzani tidak menerimanya, sebaliknya mengatakan semuanya binasa. Ayat Al-Qur`an jelas menyatakan bahawa bermaksud:
``Segala yang ada di muka bumi itu akan binasa.
Dan akan kekallah Dhat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan,`` (Al-Rahman: 26-27).
Berhubung dengan orang yang mati tiada khilaf bahawa:
Bagi roh orang yang mu`min di dalam rihat, sebaliknya bagi roh bagi yang kafir di dalam kesiksaan.
Berhubung dengan soal roh, kata Penggubah Nazam:
Jangan engkau bicara soal roh sebagai disebut   *  Nas dalam shara` akan tetapi berikut
Tujuan mengenal hakikat  ia adalah kejadian  * Cukup dengan nas sebagai panduan
Penggubah matan dan Pensharah menyebut tentang pendapat `ulama`  mengenai pembicaraan tentang roh oleh kerana ada nas yang melarang membicarakannya .
Ayat bermaksud:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang roh, katakanlah ``Roh itu dari perkara urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan, melainkan sedikit sahaja.`` (Al-Isra`: 85).
Ikhtilaf ulama tentang membicarakannya ada yang berpendapat, harus membicarakannya, tetapi ada yang berpendapat, tiada harus melainkan kita i`tiqadkan bahawasanya roh itu wujud yang baharu yang dijadikan oleh Allah Ta`ala, halnya ada di dalam tubuh kita  selagi kita hidup, tetapi tiada khusus tempatnya.
Menurut jumhur Malikiyyah, roh itu maujud yang ada rupanya seperti jasad di dalam shakal (bentuk), bukan kasarnya, maka memadalah bagimu nas Qur`an dengan isnad ini, bahawasanya hakikat roh itu tiada mengetahui dia melainkan Allah Ta`ala, maka kata jumhur Malikiyyah itu marjuh dengan zahir nas Qur`an dan tempat roh kata jumhur al-Malikiyyah itu di dalam hati.
Menurut pendapat lain, `` Syahadan dalam membicarakan hakikat roh itu makruh di atas qaul yang rajih
Dan bagi setiap orang itu satu roh jua, tiada berbilang-bilang. Inilah pendapat ulama` yang rajih.``
Seperti roh ialah akal kata Penggubah:
Dan akal seperti roh, tetapi  ada khilaf pendapat  * Lihatlah tafsiran tiada serumit roh dilihat
Akal kata Penggubah dan Sharih adalah sebagai maujud yang baharu yang dijadikan Allah. Ia adalah alat bagi memikirkan termasuk bagi mengenal Allah. Sifatnya waras berada pada diri manusia yang letaknya adalah pada tempat yang mulia iaitu pada kepala. Akal dapat disuburkan dari segi fizikal dengan zat makan minum yang sihat dan dari segi maknawinya ialah meningkatkannya dengan ilmu pengetahuan. Ianya adalah keperluan bagi manusia bagi kehidupan dan bagi amal ibadat. Adalah bermanfaat mengenalinya dan meningkatkan potensi perkembangannya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment