BBB, 27 Jamadil Akhir 1437 = 05 April 2016
(Selasa):
Selepas membicarakan tentang Imam selaku yang
memerintah dan masyarakat umat selaku
yang diperintah dan bagaimana seharusnya sikap kedua pihak di dalam sebuah
negara atau sebuah kawasan yang mempunyai kedaulatan memerintah, maka Penggubah
Nazam menumpukan perhatian pada membicarakan bagaimana meningkatkan kualiti
diri individu di dalam khalayak masyarakat ummah. Kata Penggubah:
Jadilah dirimu menjejaki sebaik makhluk
pilihan * Bersikap lembut menurut jalan kebenaran
Maka setiap kebaikan menurut generasi salaf
* Setiap kejahatan menurut
bid`ah khalaf
Setiap pertunjuk dari Nabi pendapat yang tepat *
Yang harus boleh buat tinggalkan yang disekat
Ikutlah para salihin
dari kalangan
salaf *
Jauhlah bid`ah dari
kalangan khalaf
Baik pihak Penggubah Nazam Jauharat al-Tauhid
maupun dari pihak Sharih mereka teguh berpendapat sebagaimana yang ditegaskan
oleh Rasulullah s.a.w. bahawa sebaik-baik generasi ialah dari generasi zaman Baginda
yang terdiri dari khalifah-khalifah al-Rashidin, para sahabat, tabi`in, ulama,
para auliya` dan salihin, selepas dari generasi Baginda diikuti generasi
berikutnya dan seterusnya generasi-generasi seterusnya. Logiknya jika generasi
terbaik ialah generasi awal, iaitu generasi Baginda, maka seharusnya nereka
yang dari generasi terawal ini menjadi ikutan bermula dari Nabi sendiri membawa
kepada khalifah-khalifah, sahabat, tabi`in, ulama, auliya` dan para salihin.
Itulah sebagaimana realiti.
Ini adalah sebagaimana kata Sharih
``Terlebih afdal makhluk Allah Ta`ala daripada
sekalian Nabi dan Rasul dan segala sahabat, dan ulama`, dan shuhada`, saluha`
dan sekalian auliya` Allah Ta`ala yang telah masyhur, istimewa penghulu
sekalian mereka itu, dan iaitu Nabi Muhammad s.a.w. yang bersifat mereka itu
dengan menyungguh-nyungguh daripada mukhalafah ia akan syaitan dan hawa
nafsunya lagi menanggung ia atas masyaqqah ibadat dan memerang nafsunya dan
menjauh barang ditegahkan oleh Allah Ta`ala dan kerana bahawasanya perangai
mereka itu yang telah memahdudah kepada Allah Ta`ala lagi mengikut ia akan
mengerjakan yang benar, kerana bahawasanya tiap-tiap kebajikan ia dalam
mengikut sekalian orang yang telah tersebut itu. Dan kerana bahawasanya
tiap-tiap kejahatan ia hasil dalam mengikut bagi orang yang bid`ah daripada
orang yang kemudian yang membuangkan ia akan shari`at yang telah zahir lagi
suci dan lagi meninggalkan ia akan i`tiqad Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah radiya
Allah `anhum.
Dengan berpandukan kepada perjalanan Nabi,
sahabat, tabi`in dan seterusnya maka kata Sharih:
``Maka barang yang diharuskan ia oleh shara`,
maka engkau kerjakanlah akan dia, halnya wajib, jikalau ada ia wajib, dan sunat
jikalau ada ia sunat, dan mubah jikalau ada ia mubah. Dan engkau tinggalkan
mengerjakan barang yang tiada harus daripada pekerjaan yang haram atau makruh.
Maka engkau ikutlah akan perangai orang yang salih daripada orang yang
dahulu-dahulu daripada segala sahabat dan auliya` Allah Ta`ala dan engkau
jauhkanlah akan perangai sekalian orang yang bid`ah daripada orang yang
kemudian yang meninggalkan sembahyang lima waktu dan berbuat barang yang
ditegahkan Allah Ta`ala dan barang sebagainya.
Adalah diterima bahawa generasi terawal zaman
Rasulullah adalah generasi terbaik. Mereka menjadi generasi terawal menegakkan Islam, walaupun di tengah-tengah halangan dan
cabaran mereka berjihad dan berjaya menegakkan Islam. Mereka menjadi generasi
contoh dan tauladan, bahkan panduan bagi akidah, hukum hakam, kepimpinan dan
perjalanan pemerintahan. Mereka yang dirumuskan sebagai generasi `salaf` adalah
generasi `Puncak`, generasi `qudwah` dan `uswah`. Tidak ada siapa yang
meragukan dari kedudukan ini.
Tetapi Penggubah Matan dan Sharih meletakkan
bahawa:
``Setiap kejahatan menurut bid`ah khalaf` dan kata Penggubah lagI;
`Jauhilah bid`ah dari kalangan khalaf`
Mereka mewarnakan bahawa khalaf adalah sebagai tidak
baik, menimbulkan perkara bid`ah.
Seolah-olah melihat bahawa banyak perkara yang
tidak baik adalah dari kalangan khalaf. Mungkin tidak semuanya sebagaimana yang
dianggap dan digambarkan. Kalangan khalaf juga adalah mempunyai kedudukan dan
pujian dari Nabi, bahawa mereka yang merupakan generasi yang jauh dari zaman
nabi dan jauh pula dari segi fizikal dan geografi, tidak kurang daripada mereka
yang berjihad dan berdakwah mengembangkan agama Islam hingga sampai kepada
segala penjuru dunia. Mereka juga mempunyai saham kebaikan dari segi jihad,
menghuraikan agama Islam dan
menyebarkannya ke seluruh dunia. Mereka diakui oleh faktor zaman banyak
menghadapi perkara-perkara bid`ah, tetapi tidak bererti semua yang bid`ah itu
tidak baik, lantaran bid`ah ada yang baik dan ada yang tidak baik. Yang baik
banyak memberi kemudahan dan kebaikan.
Walau bagaimana adalah diakui memanglah banyak
permasalahan timbul dari generasai khalaf sama ada dari watak manusianya yang
menentang agama, atau dari faham yang dibawa yang tidak jarang bercanggah
dengan Islam atau dari komitmen mereka yang tidak sepenuhnya, tetapi sebagaimana pada peringkat salaf ada
watak-watak yang jelas menentang Islam, ada musuh-musuh dari dalam dan dari
luar, maka demikian pada zaman khalaf. Walau bagaimana dalam penerusan generasi
dari zaman Nabi Muhammad - generasai Baginda dan generasi demi generasi selepas
Baginda sehingga kini sudah tentu ada mereka yang komited dengan perjuangan dan
dakwah Islam memperperkembangkan keilmuan, memperluas dan mendalamkan pengajian
Islam hingga mampu menentang sebarang perkembangan dan kefahaman moden yang
bercanggah dengan Islam dan Islam mampu menentang dan mencabar, bermakna ianya
merupakan hasil dari perjuangan mereka yang ikhlas terus mendukung perjuangan.
Semua pihak dari generasi ke generasi adalah merupakan mata-mata rantaian yang
kukuh yang tiap satu bersambung menyambung dari generasi salaf kepada khalaf,
mereka sebenarnya satu rantaian yang
terus sambung bersambung meneruakan perkembangan akidah Islam, menjunjung
syariat dan nilai yang dibawa oleh Islam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment