April 27, 2016

Beriman Dengan Al-Kitab: Status Ahli Al-Kitab


BBB, 18 Rajab 1437 =  26 April 2016 (Selasa):
Salah satu daripada rukun iman ialah percayakan kitab  yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-rasul. Dengan penurunan kitab-kitab kepada rasul-rasul itu, walaupun tidak semua rasul menerima kitab, maka umat-umat bagi rasul-rasul dikenali dengan  `Ahlu al-Kitab`. Dengannya membezakan status mereka dari kalangan kuffar dan pagan. Dengan penerimaan kitab dan pengenalan sebagai Ahlu al-Kitab` mempunyai significant berbanding dengan golongan kuffar wathaniyy  yang menyembah berhala dan pagan yang primitif.
1)       Adanya kitab bagi kerasulan seorang Rasul adalah pengkuhan baginya.
2)      Ada sumber kerasulan yang dapat dirujuk bagi seseorang Rasul
3)      Menjadi istinbat bagi akidah dan hukum hakam
4)      Melambangkan tradisi keilmuan
5)      Sumber berbagai-bagai maklumat
Dengan penurunan kitab kepada rasul, bahawa apa yang didakwa oleh seseorang Rasul tidak semata-mata dakwaan, sebaliknya boleh diperiksa kebenarannya melalui kitab dan kandungan kitab yang diterimanya. Ianya menjadi dokumen sahih yang membuktikan kerasulan seorang Rasul.  Mempercayai kitab sebagai salah satu rukun iman terkandung di dalam ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Wahai orang-orang yang beriman tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasulnya dan kepada Kitab Al-Qur`an yang telah diturunkan kepada Rasulnya (Muhammad s.a.w.) dan juga kepada kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu.`` (Al-Nisa`: 136).
Tidak ada permasalahan dari segi pendekatan oleh pengarang (Tuan Haji Said bin Haji Ibrahim) tentang al-Kitab. Sumber-sumbernya di dalam Al-Qur`an.
Sebagaimana umum wajib diketahui dan berpegang dari segi akidah bahawa terdapat 4 kitab utama yang wajib bagi orang Islam beriman dengannya, iaitu:
1)       Kitab Al-Taurat
Diturunkan ke atas Nabi Musa a.s. dengan bahasa Qibti. Mengandungi persoalan akidah dan  shariat. Serta menjelaskan tentang bakal bangkit Nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w dari turunan Ismail bin Ibrahim a.s yang membawa shari`at baru dan tidak berubah dari segi akidah. Walau bagaimana Taurat sekarang telah diubah. Berubah tentang pertanda Rasullah. Tidak menyebut soal syurga, neraka, kebangkitan, soal hisab, perhitungan pada mahshar, mizan dan lain-lain yang berkaitan dengan kiamat.
2)      Kitab Al-Injil
Diturunkan ke atas Nabi Isa a.s. dengan bahasa Siryani. Memuatkan kenyataan-kenyataan yang benar dan nyata, tentang mentauhidkan Allah dan melarang dari menyengutukanNya, Di dalam Injil yang asal juga ada keterangan mengenai kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. Kitab Injil juga mengalami perubahan yang dilakukan oleh pengikut yang tidak bertanggungjawab.
3)      Kitab Al-Zabur
Diturunkan ke atas Nabi Daud a.s.  dengan bahasa Ibrani. Kitab Zabur  mengandungi fatwa-fatwa dan nasihat-nasihat dan peringatan yang mesti dijalankan oleh umatnya. Kitab Zabur tidak mengandungi shariah dan hukum-hukum, kerana Nabi Daud diperintah Allah Ta`ala mengikut shariat yang diturunkan kepada Nabi Musa
4)      Kitab Al-Qur`an
Diturunkan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dengan bahasa `Arab. Al-Qur`an mengesahkan kitab-kitab  yang terdahulu.  Kitab al-Qur`an  bersih dari perubahan. Al-Qur`an mengandungi akidah tauhid, hukum shari`at, tentang akhirat dan balasan syurga neraka. Maklumat-maklumat mengenai kejadian alam, keilmuan, cerita dan peristiwa-peristiwa.
Selain dari kitab utama empat buah berkenaan, turut diturunkan dari Allah Ta`ala ialah risalah-risalah kecil yang dikenali dengan sahifat atau pluralnya `suhuf` Sejumlah 100 atau 110 suhuf telah diturunkan. Suhuf diturunkan kepada:
1)       Nabi Adam   10  suhuf
2)      Nabi Shith      50  suhuf
3)      Nabi Ibrahim 10  suhuf
4)      Nabi Idris       30  suhuf
5)      Nabi  Musa    10  suhuf
Sebagaimana kitab-kitab suci utama yang empat, demikian suhuf ialah kalam Allah diwahyukan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul yang tidak terkumpul dan tidak dijadikan sebuah kitab khas. Antaranya bersifat lembaran-lembaran sahaja. Di dalam suhuf mengandungi perintah dan  kenyataan-kenyataan. Antara firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Sesungguhnya  (keterangan-keterangan yang dinyatakan) ini ada (disebutkan) di dalam suhuf yang terdahulu (iaitu) suhuf Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.`` (Al-A`la: 18-19).
Dapat diambil kesimpulan, bahawa agama Islam sejak dari Nabi Allah Adam a.s. adalah berasaskan tradisi yang kukuh, iaitu berdasarkan tradisi kitab dan suhuf yang di dalamnya terakam undang-undang, aturan-aturan dan keilmuan. Tradisi aturan, undang-undang dan keilmuan berterusan dan berkesinambungan diterima oleh rasul-rasul yang seterusnya menerima kitab atau suhuf sebagai panduan. Ianya juga menjadi bukti kukuh bahawa agama Islam dan tradisi berterusaan adalah berasaskan ilmu pengetahuan yang diturunkan oleh Allah Ta`ala kepada rasul-rasulnya dan ini dipelajari oleh pengikut-pengikut. Bayangkan penurunan kitab Al-Qur`an, betapa besar pengaruhnya kepada tradisi peraturan, perundangan, keilmuan dan nilai-nilai daripadanya. Berbagai keilmuan yang dapat ditimba dan dipelajari darinya dari keilmuan yang dikenali sebagai ilmu agama seperti akidah, fiqh, tasawuf, tafsir, balaghah dan nahu membawalah kepada keilmuan moden yang sumber darinya dapat dipelajari tentang ilmu bumi, tumbuh-tumbuhan, astronomi, perubatan, matematik dan berbagai-bagai lagi. Ertinya dengan kitab-kitab dan suhuf bererti Islam melalui kitab-kitab dan suhuf-suhuf mengasaskan tradisi keilmuan yang berkembang sepanjang zaman dan tradisi ini berterusan hingga zaman moden ianya dipelajari di institusi surau, masjid, madrasah membawalah kepada pengajian tinggi yang kini dikenali dengan universiuti. Keilmuan yang dicetus Islam melalui wahyu dan tradisi keilmuan terus berkembang membina tamadun dan peradaban manusia.

Sekian.

No comments:

Post a Comment